SN546 – Refleksi Global 2018: Menyerlahkan Kegagalan PBB

Bil: SN546 – 12 Rabiulakhir 1440 / 21 Disember 2018

SN546 - Refleksi Global 2018: Menyerlahkan Kegagalan PBB

Senja terakhir 2018 bakal berlabuh tidak lama lagi. Seperti tahun-tahun sebelumnya, dunia Islam terus dibelenggu pelbagai episod sedih dan menyayat hati. Kita seolah-olah langsung tidak berupaya dalam menentukan nasib  sendiri  dalam  beberapa isu utama melibatkan kepentingan umat Islam.  Sebahagian dari bumi umat Islam masih dijajah secara fizikal, rakyatnya dizalimi, dibunuh dan ditindas manakala sebahagian lainnya dicengkam oleh rejim yang bersekongkol dengan kuasa-kuasa besar dunia dalam memenuhi agenda mereka.

Keadaan umat Islam pada hari ini yang serba lemah menyebabkan segelintir daripada mereka meletakkan harapan pada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai medium untuk memastikan suara mereka didengari dan hak mereka dihormati masyarakat antarabangsa. Setiap kali tercetusnya penindasan dan kezaliman terhadap umat Islam, muncul pihak yang menyarankan agar isu tersebut dibawa ke PBB untuk dibincangkan, serta mendesak agar badan dunia tersebut bertindak dalam memastikannya ditangani mengikut lunas kesepakatan antarabangsa. Tetapi, malangnya PBB kerap kali gagal menjadi pelindung dan penyelamat kepada warga dunia, khususnya kepada dunia Islam. Bahkan tahun 2018 menyaksikan nasib dan keadaan umat Islam semakin parah antaranya:

Palestin. Menjelang tahun 2018 menyaksikan impian negara haram Israel untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara menjadi kenyataan setelah mendapat ‘mandat’ daripada Amerika Syarikat (AS). Malah Donald Trump berazam untuk terus melindungi kepentingan Israel. PBB sebagai bapa yang membenihkan negara haram Israel melalui Resolusi 181 pada tahun 1947 seperti biasa tidak mengenakan apa-apa tindakan kepada Israel walaupun ia suatu tindakan yang bertentangan dengan ketetapan PBB dalam resolusi tersebut dan Resolusi 478. Pelbagai resolusi PBB yang dilihat menggugat kepentingan Israel tidak lain hanyalah sandiwara kuasa besar untuk terus menjaga kewujudan Israel. Ratusan kanak-kanak dan remaja Palestin telah dipenjarakan di kem-kem tahanan Israel sehingga hari ini kerana menentang pencerobohan rejim zionis ke atas tanah air mereka.

Syria. Kuasa besar seperti AS dan Russia terus mengebom Syria sepanjang 2018, manakala Iran, Turki, Arab Saudi dan Jordan menjadi proksi-proksi yang menjalankan misi mereka baik dalam operasi ketenteraan mahupun diplomatik. Terkini sasaran serangan tertumpu di Idlib yang menjadi benteng terakhir briged-briged jihad. Beberapa gencatan senjata yang diusahakan pada hakikatnya memberi kelebihan kepada rejim Bashar. Tanpa mengendahkan amaran dunia, sekutu rejim Bashar terus menggunakan senjata kimia dalam serangan ke atas bumi Syria sehingga mengorbankan kanak-kanak dan menyebabkan yang lain menderita akibat kesan serangan kimia.

Yaman. Pertembungan antara Abdul Rabbouh Mansour Hadi dan Houthis telah menyebab krisis kemanusian yang cukup dahsyat. Mansur Hadi mendapat sokongan Britain dan Arab Saudi manakala Houthis mendapat sokongan Iran dan Hizbollah. AS telah menyediakan pelbagai bantuan strategik ketenteraan dalam serangan-serangan udara yang menghujani Yaman. PBB sekali lagi gagal membela nasib rakyat Yaman yang dilaporkan sebagai krisis kemanusiaan terbesar saat ini, 13 juta rakyat Yaman dalam ancaman kebuluran yang sangat kritikal manakala 1.2 juta dijangkiti wabak kolera.

Rohingya. Nasib umat Islam Rohingya menjadi satu lagi titik hitam dalam sejarah peradaban dunia moden. Amat memalukan bagi PBB, sebuah pertubuhan sedunia gagal membela nasib kaum etnik Rohingya yang langsung dinafikan hak kewarganegaraan mereka oleh rejim Myanmar sehingga memaksa lebih 700,000 warga Rohingya melarikan diri daripada serangan tentera Myanmar. Ada yang ditemui mati lemas akibat bot karam semasa melarikan diri dan ada yang terpaksa menumpang di kem-kem pelarian di sempadan negara jiran dalam keadaan serba dhaif. Hipokrasi PBB sekali terserlah apabila tidak mengambil tindakan yang konkrit seperti sekatan ekonomi mahupun melalui operasi ketenteraan ke atas Myanmar sebagaimana PBB membenarkan AS menceroboh Iraq atas alasan mengembalikan institusi ‘demokrasi’.

Muslim Uighur. Pada pertengahan tahun 2018, kita dikejutkan dengan berita umat Islam Uighur yang ditindas di wilayah Xinjiang, China. Terdapat kira-kira 1.1 juta orang etnik Muslim Uighur dilaporkan sedang dipenjarakan di kem-kem tahanan oleh kerajaan China. Mereka dipenjara semata-mata kerana mengamalkan ajaran Islam. Sesiapa sahaja yang dilihat mengamalkan ajaran Islam akan  ditahan di malam hari lalu dibawa ke pusat tahanan yang tidak diketahui. Pelbagai tekanan dan seksaan yang telah dikenakan ke atas para tahanan. Ada yang dipaksa makan khinzir dan minum arak, disiksa dengan renjatan elektrik dan pelbagai lagi penyiksaan luar batas kemanusiaan semata-mata kerana gagal memenuhi arahan untuk patuh kepada rejim sehingga ada yang meninggal dunia. PBB sekali lagi hanya memerhati nasib umat Islam Uighur kerana China merupakan salah satu pemegang kuasa veto dalam majlis keselamatan PBB.

Sejarah Manipulasi dan Hipokrasi PBB

Gagasan PBB direalisasikan secara rasminya sebagai sebuah badan dunia pada 24 Oktober 1945. Antara tujuan penubuhan PBB adalah untuk menjamin keamanan sejagat, melindungi hak asasi manusia, dan menegakkan undang-undang antarabangsa. Penubuhan PBB merupakan kesinambungan daripada usaha-usaha kuasa-kuasa besar dunia, terutamanya kuasa-kuasa Eropah dalam mengatur tatacara dunia di sepanjang sejarah permusuhannya terhadap Islam yang panjang. Di antara usaha-usaha yang dilakukan untuk mencapai tujuan tersebut adalah dengan memperkenalkan konsep undang-undang antarabangsa dan pembentukan komuniti antarabangsa semasa Persidangan Westphalia pada tahun 1648 supaya negara-negara Kristian Eropah tidak lagi menyerang di antara satu sama lain dan bersetuju untuk bekerjasama dan bersatu menghadapi Khilafah Uthmaniyyah. Selain itu, persidangan tersebut juga merintis jalan kepada konsep kedaulatan negara bangsa yang mencorakkan tatacara aturan dunia sehingga ke hari ini.

Pada tahun 1818, Kongres Aix-la-Chapelle yang diadakan di antara kuasa besar Eropah ketika itu iaitu Britain, Russia, Perancis, Austria dan Prussia telah bersetuju untuk membenarkan campur tangan ketenteraan jika berlaku sebarang ancaman ke atas mana-mana negara anggota dan mereka telah melantik negara mereka masing-masing sebagai penjaga keamanan dan tatacara komuniti antarabangsa. Setelah komuniti itu dibubarkan, Britain dan Perancis seterusnya menubuhkan Liga Bangsa-Bangsa setelah tamat Perang Dunia Pertama (PDI) dan melantik negara mereka sendiri untuk menjadi pelindung keamanan negara-negara anggotanya. Negara-negara inilah yang menjadi teras kepada keahlian majlis keselamatan PBB. Hizbut Tahrir telah mengingatkan bahawa AS tidak pernah mempedulikan PBB dan resolusinya dalam mencapai tujuan politik AS. Malah AS menggunakan persidangan PBB sebagai alat politiknya. AS akan meminta legitimasi antarabangsa melalui PBB untuk meneruskan tindakan tertentu. Tetapi jika tidak berhasil AS akan mengabaikan keputusan PBB seperti mana mereka melakukan serangan ke atas Iraq ketika Perang Teluk dulu [Mafahim Siyasiyah li Hizbut Tahrir].

Sehingga kini, keanggotaan tetap majlis keselamatan PBB adalah Amerika Syarikat, British, Russia, Perancis dan China. Kesemua negara-negara tersebut diberikan hak kuasa veto.  Legitimasi kuasa veto merupakan antara punca kegagalan PBB malah sekaligus memberikan kesan buruk terhadap umat Islam. Ini dapaat dilihat apabila resolusi demi resolusi yang melibatkan kepentingan umat Islam yang dibawa ke PBB di veto kerana bertentangan dengan kepentingan kuasa-kuasa besar serta sekutunya, misalnya dalam hal melibatkan konflik di wilayah-wilayah umat Islam seperti isu Palestin, Syria, Rohingya dan umat Islam Uighur. Justeru, sejauh manakah keberkesanan PBB dalam menangani kemelut antarabangsa secara telus dan adil di saat kuasa-kuasa besar mempunyai kuasa veto untuk mengubah sebarang ketetapan yang dibuat?

Bahkan negara-negara kapitalis juga memanfaatkan PBB untuk mengatur sistem tatacara dunia memandangkan aspek keselamatan hanyalah topeng untuk mereka meraih manfaat daripada negara-negara anggota. Mereka lakukan ini dengan menubuhkan pelbagai organisasi dan agensi di bawah naungan PBB seperti IMF, WTO, WHO dan lain-lain untuk mengikat dan memaksa negara-negara anggota tunduk kepada kehendak mereka dan jika wujud sebarang bentuk penentangan, mereka bakal menghadapi tekanan samada dari aspek politik, sekatan atau campur tangan ketenteraan.

Dalam pada itu, PBB juga menjadi alat dalam menyebarkan produk pemikiran yang berkiblatkan Barat. Idea-idea seperti sekularisme, liberalisme, dan hak asasi manusia mengikut acuan Barat turut dipromosikan melalui agensi-agensi PBB ke dalam dunia Islam. Misalnya, PBB turut berusaha menyebarluaskan prinsip Hak Asasi Manusia (HAM) ala Barat melalui deklarasi HAM (UDHR) yang secara zahirnya kelihatan murni namun di sebaliknya penuh dengan hipokrasi dan kebatilan. Produk pemikiran Barat ini lahir daripada hadharah kufur berlandaskan akal manusia yang bersifat terbatas serta dipengaruhi persekitarannya.

Kewajipan Menolak Kekuasaan Sistem Kufur yang menguasai PBB

Tatacara dunia pada hari ini dikawal oleh kuasa besar dunia khasnya AS. Sudah semestinya mereka akan berusaha untuk mengekalkannya dan menghalang mana-mana pihak yang cuba menggugatnya. Mereka juga bersungguh-sungguh memastikan umat Islam terus berada dalam keadaan yang lemah dan berpecah-belah agar dapat terus dikuasai. Atas dasar itulah mereka ingin memastikan umat Islam menerima pakai konsep negara bangsa dan perlembagaan serta undang-undang yang diwarisi daripada penjajah. Langkah ini bertujuan agar umat Islam kekal dalam aturan tersebut serta bersungguh-sungguh untuk mempertahankannya. Mereka juga berusaha memastikan umat Islam mematuhi tatacara dunia yang dicorakkan oleh undang-undang antarabangsa mengikut acuan mereka, serta menjadikan PBB sebagai rujukan bagi menangani sebarang perselisihan dan kemelut..

Ingatlah kepada firman Allah SWT, “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya” [TMQ al-Baqarah (2):11-12].

Selagi umat Islam menjadikan PBB sebagai tempat meminta pertolongan dan bantuan, maka  selama itulah mereka akan mendapati diri mereka tertipu apatah lagi memperjuangkan serta menyebarluaskan idea-idea sekularisme samada disedari atau tidak. Sesungguhnya Islam hadir dengan pakej lengkap dalam mengatur segenap aturan kehidupan, termasuklah dalam menjamin hak manusiawi serta jaminan-jaminan kehidupan lainnya. Islam juga merupakan sebuah mabda’ yang lengkap dengan bentuk pemerintahannya sendiri. Sebagai seorang Muslim, wajib bagi kita untuk terikat dengan aturan syarak dalam kesemua aspek kehidupan, termasuklah dalam hal-hal kenegaraan serta hubungan antarabangsa. Pemisahan agama daripada urusan kehidupan yang menjadi asas sekularisme merupakan satu bentuk perlanggaran terhadap ketetapan syariat Islam yang berkait rapat dengan soal akidah dan keimanan kita.

Justeru, kita sewajarnya mengambil pendirian yang benar dalam menanggapi isu ini, iaitu dengan;

  1. Menyedari bahawa PBB dan agensi-agensi di bawahnya dikuasai oleh AS.
  2. Menolak sebarang bentuk undang-undang antarabangsa, prinsip, dan konsep pemikiran kufur yang ditaja oleh badan kufur seperti PBB yang menjadi alat kuasa-kuasa kuffar.
  3. Menyedari bahawa Kewujudan PBB itu sebenarnya adalah untuk memastikan agar umat Islam terus berpecah belah mengikut bangsa terus kekal di dalam konsep negara bangsa.
  4. Kembali ke landasan kebangkitan yang benar iaitu, menyedari kesatuan sebenar umat Islam adalah bersatu di bawah naungan Khilafah.

Meletakkan Islam pada tempatnya yang mulia, bersandarkan sabda Rasulullah SAW, “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya,” [HR Baihaqi].

Download PDF