Peringatan dari HTM kepada PMX: 5 sebab kenapa wajib tolak Trump
PUTRAJAYA, 17 Oktober 2025 – Ratusan peserta telah berhimpun di Dataran Putra, Putrajaya sebelum berarak menuju ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menyerahkan Memorandum Bantahan terhadap Perdana Menteri Malaysia atas jemputan rasmi terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang dijadual hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
Perhimpunan yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu berjalan dengan aman dan tertib, namun penuh semangat dan kesedaran politik Islam. Bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat, para peserta berhimpun di Dataran Putra dengan memegang banner dan sepanduk yang mengecam Trump sebagai pengganas nombor satu dunia, pembunuh, musuh Islam dan kaum Muslimin, dan banyak kecaman lain lagi.
Antara mesej penting yang terdapat dalam banner dan sepanduk ialah bantahan terhadap Perdana Menteri Malaysia atas jemputannya terhadap Trump. Seruan membantah kehadiran Presiden Amerika itu disampaikan oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman.
Dari Dataran Putra, para peserta berarak ke JPM dengan laungan Takbir dan mesej menolak Trump di sepanjang perarakan hingga tiba di hadapan JPM. Ustaz Hakim telah mengetuai delegasi HTM menyerahkan memorandum tersebut yang telah diterima oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Bin Abidin.
Di dalam memorandum tersebut, HTM menegaskan lima sebab utama bantahan terhadap kedatangan Trump, yang sekali gus merupakan bantahan terhadap PMX yang menjemput Presiden AS itu ke sini iaitu kerana Trump ialah pengganas No. 1 dunia, pembunuh umat Islam, penjajah wilayah Islam, pendukung utama Zionis dan merupakan kafir harbi fi’lan.
“Bantahan kami didasarkan kepada hukum syarak yang secara tegas mengharamkan kita mempunyai sebarang bentuk hubungan atau kerjasama apatah lagi memberi penghormatan kepada Trump yang merupakan musuh Allah, musuh Rasul-Nya dan musuh kaum Mukminin”, demikian tegas Abdul Hakim.
“Justeru, jemputan Perdana Menteri Malaysia kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN merupakan sebuah keharaman dan hanya akan mengundang murka Allah, apatah lagi di saat tangannya masih berlumuran dengan darah umat Islam di Gaza”, sambung Jurucakap HTM itu.
HTM turut mengulangi pendirian bahawa penyelesaian terhadap pembantaian dan penjajahan yang dilakukan oleh entiti Yahudi ke atas Gaza hanya akan terealisasi melalui jihad fi sabilillah dan penegakan semula Khilafah. Inilah usaha yang sedang dilakukan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia.
