Skandal RM629,000: Politik demokrasi akan terus melahirkan skandal demi skandal

Malaysia digegarkan lagi dengan skandal terbaru yang melibatkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin yang kini sudah meletakkan jawatannya atas dasar rasa tanggungjawab untuk tidak mencemarkan kerajaan Madani dengan isu yang berlaku. Desakan datang bertubi-tubi dari banyak pihak untuk SPRM menyiasat segera isu ini, padahal nama orang nombor satu SPRM turut disebut dalam video yang telah tular itu.
Dakwaan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, bahawa beliau telah menyalurkan sebanyak RM629,000 kepada Shamsul, walaupun dinafikan oleh bekas Setiausaha Politik Kanan PMX itu, kembali membuka pekung lama yang tidak pernah sembuh – bahawa politik demokrasi di Malaysia terus berlegar di sekitar wang, kuasa dan pengaruh, bukannya amanah dan ketakwaan.
Lebih lanjut, dakwaan itu bukan sekadar berkaitan pemberian wang, tetapi turut melibatkan pembiayaan pengubahsuaian rumah, pembelian perabot mewah, cerut premium, sut tempahan khas, dan pelbagai keperluan peribadi. Semuanya telah disusun rapi untuk dijadikan bukti yang merangkumi bukan sahaja rakaman video, tetapi juga dokumen, resit, tangkap layar WhatsApp dan lain-lain bukti.
Walaupun Shamsul meletak jawatan secepat kilat sebaik sahaja berita menjadi viral, namun faktor ini langsung tidak mencuci keadaan, sebaliknya menjadi permulaan kepada sebuah kekusutan baru dalam kerajaan Madani. Drama terbaru ini bakal menyaksikan kemungkinan goyangnya kerajaan Madani kerana nama PMX sendiri turut terpalit dalam video yang tersebar.
Langkah Shamsul meletak jawatan, walaupun dilihat wajar, namun bukanlah solusi kepada masalah sebesar ini. Kesanggupan meletak jawatan adalah isu integriti peribadi, tetapi skandal rasuah adalah isu sistemik yang tidak akan pernah selesai kecuali solusinya juga adalah dengan sistem.
Sistem demokrasi bukan sahaja membenihkan budaya rasuah, tetapi terus-menerus menyuburkannya. Dengan kata lain, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa bukan dilakukan oleh individu secara terpencil atau terpisah, tetapi lahir daripada struktur politik demokrasi itu sendiri – struktur yang menjadikan kuasa sebagai komoditi, jawatan sebagai peluang, dan rakyat sebagai penonton kepada kerakusan elit politik.
Rasuah di Malaysia: Kitaran Tanpa Pengakhiran
Pendedahan terbaru ini hadir ketika Sabah bakal melangsungkan pilihan raya negeri. Detik politik yang mendesak seperti ini lazimnya mendedahkan wajah sebenar demokrasi dan para politikusnya. Saat inilah segala skandal, yang selama ini ditutup, akan dibongkarkan demi menjatuhkan satu pihak dan menaikkan pihak yang lain, semuanya kerana kuasa. Inilah masa yang paling sesuai untuk mendedahkan segala sogokan, melakukan lobi, barter politik, pembelian pengaruh dan bermacam-macam lagi.
Apa yang berlaku hanyalah merupakan pengesahan betapa sistem ini sudah lama memburuk dan membusuk dari dalam. Jawatan dan wang adalah segala-galanya dalam sistem ini, kerana sememangnya siapa yang berjawatan akan mendapat wang, dan siapa yang berwang akan mendapat jawatan.
Demokrasi terhasil dari ideologi kapitalisme yang menjadikan “manfaat” sebagai asas dalam segala perkara. Atas dasar itu, dalam sistem ini, para kapitalis (pemilik modal) tidak boleh dipisahkan daripada para politikus. Kedua-duanya saling bekerjasama dan ada kalanya kedua-duanya adalah orang yang sama.
Jadi, tidak hairanlah apabila kita melihat adanya ahli perniagaan yang berstatus millionaire atau billionaire akan sentiasa rapat dengan ahli politik, dan ahli politik akan rapat pula dengan mereka. Mereka ibarat isi dan kuku yang tidak boleh dipisahkan. Justeru, skandal yang melibatkan jutaan atau ratusan ribu ringgit antara ahli perniagaan (kapitalis) dan pemerintah (pegawai kerajaan) adalah perkara biasa dalam sebuah sistem demokrasi.
Apabila muncul skandal, maka terbongkarlah hubungan peribadi antara pemilik modal dan ahli politik, dan terbongkarlah sekali bagaimana hubungan peribadi lebih menentukan keputusan awam berbanding kebajikan rakyat yang mereka laungkan. Kedua-dua pihak ini saling “menaungi dan melindungi” (patronage) antara satu sama lain selagi ada kepentingan, dan apabila sudah hilang kepentingan – sesuai dengan politik berasaskan manfaat dalam demokrasi – maka segala peristiwa di dalam kelambu akan terdedah.
Kita semua sedia maklum yang kes seperti Shamsul dan Albert ini bukanlah kes baru seumpamanya, dan bukan juga kes yang ke-seratus. Kes seperti ini ibarat api dalam sekam, yang tak pernah padam, dan hanya menunggu masa untuk apinya keluar. Ya, kes-kes seperti ini hanyalah menunggu masa untuk semua orang melihat apinya.
Kita juga sedia maklum, malah kita yakin bahawa kes ini tidak akan menjadi kes yang terakhir. Kes seumpama ini akan muncul satu demi satu bila tiba masanya. Kita yakin bahawa rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam sistem demokrasi merupakan sebuah kitaran tanpa pengakhiran.
Dari manakah datangnya keyakinan kita? Dari sifat sistem demokrasi itu sendiri, dari sejarahnya, dan dari akal kita yang waras, yang memberitahu kita bahawa sistem kufur yang berasal dari Barat ini, dan yang bertentangan dengan Islam ini, tidak akan melahirkan politikus yang bertakwa, atau yang takutkan Allah, kerana sistem ini telah didesign untuk melahirkan para kapitalis dan politikus yang bertuhankan hawa nafsu.
Demokrasi membenarkan manusia (ahli-ahli politik) menggubal undang-undang, menentukan halal-haram, yang sudah pasti berdasarkan selera politik mereka, dan mengagihkan kekayaan berdasarkan kepentingan kelompok tertentu. Inilah yang menyebabkan pertentangan kepentingan dalam demokrasi suatu norma, bukan kebetulan.
Dalam sistem sebegini, kuasa menjadi modal, modal menjadi senjata, senjata digunakan untuk mengekalkan kuasa, dan rakyat sentiasa merupakan mangsa kepada lingkaran rosak ini.
Justeru, tidak hairanlah jika skandal seperti lesen penerokaan mineral – hasil bumi yang merupakan milik rakyat dan sepatutnya diputuskan atas dasar kepentingan rakyat – tetapi diberikan lesennya kepada siapa yang kerajaan suka, sama ada melalui tender terbuka, perundingan gelap atau manipulasi pengaruh politik. Ini kerana, hasil bumi yang merupakan milik rakyat menurut Islam, tetapi dijadikan milik negara dalam sistem demokrasi,
Melalui undang-undang pemilikan yang bertentangan dengan Islam ini, sumber asli negara, khususnya mineral, menjadi rebutan kelompok elit politik dan kapitalis. Ia bukan lagi dilihat sebagai amanah pengelolaan untuk kepentingan rakyat, tetapi sebagai peluang untuk mengaut keuntungan. Kerosakan seperti ini bukan muncul kerana moral individu semata-mata, tetapi kerana sistem itu sendiri yang membuka ruang kepada segala bentuk korupsi.
Islam Menutup Ruang Korupsi Dari Akar
Dalam Islam, pemimpin bukanlah “wakil rakyat” yang mencari undi, apatah lagi mencari jawatan dan kekayaan, tetapi merupakan penanggung amanah untuk menerapkan hukum Allah. Pemimpin juga bukan peniaga, apatah lagi perampas harta rakyat, tetapi penjaga rakyat.
Sistem pemerintahan Islam menetapkan Qadhi Madzalim sebagai pihak yang akan membicarakan dan memecat Khalifah (dan siapa sahaja yang memegang jawatan pemerintahan) apabila mereka melakukan kefasikan (kemaksiatan) atau menzalimi rakyat. Islam melarang keras penerimaan hadiah oleh pegawai negara. Sabda Rasulullah (saw):
مَنِ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ
“Siapa sahaja yang kami angkat untuk satu tugas dan telah kami tetapkan pemberian untuknya (gaji) maka apa yang dia ambil selain itu adalah harta ghulul” [HR Abu Daud, Ibn Khuzaimah dan al-Hakim]
Harta yang ada dalam negara tidak dibenarkan berlegar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja, dan menimbun harta (kanz al-mal) adalah dilarang. Islam tidak membenarkan ruang yang membolehkan individu memperdagangkan kedudukan atau “melobi” projek. Setiap bentuk pemberian yang berkaitan dengan jawatan dianggap khianat, dan pemimpin bukan sahaja dipertanggungjawabkan di dunia, tetapi sentiasa diingatkan bahawa azab di akhirat adalah lebih berat.
Dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), dengan pelaksanaan hukum Islam secara kaffah berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah, dan suasana Islami yang ada dalam negara, semua ini secara automatik menjadi pencegah kepada berlakunya rasuah atau sebarang bentuk kemaksiatan kepada Allah.
Namun, di sebalik kesempurnaan hukum Islam ini, tidak dinafikan bahawa akan tetap ada mereka yang melakukan kesalahan. Maka, atas dasar itu akan ada uqubat (hukuman Islam) yang akan dikenakan ke atas mereka yang bersalah, yang mana pelaksanaannya turut merupakan sebuah kebaikan. Sabda Rasulullah (saw):
حَدٌّ يُعْمَلُ بِهِ فِي اْلأَرْضِ خَيْرٌ ِلأَهْلِ اْلأَرْضِ مِنْ أَنْ يُمْطَرُوْا أَرْبَعِيْنَ صَبَاحًا
“Had (hudud) yang diberlakukan di muka bumi lebih baik bagi penduduk bumi daripada dijatuhkan hujan kepada mereka selama 40 pagi.”
Kesimpulan
Sesungguhnya skandal ini, dan skandal-skandal lainnya yang tidak pernah sunyi sejak zaman berzaman, bukanlah aib individu semata-mata, tetapi “aib” sistem. Dakwaan rasuah RM629,000 ini bukanlah sekadar polemik antara seorang ahli perniagaan dan seorang pegawai kerajaan, tetapi ia adalah refleksi kepada kebusukan budaya politik patronage di bawah demokrasi. Sistem ini telah rosak dari akarnya, yang sudah tidak dapat diperbaiki lagi.
Malaysia tidak akan keluar daripada kitaran skandal sebegini selagi demokrasi terus dijunjung sebagai jalan politik. Peletakan jawatan, perubahan kosmetik atau pertukaran individu tidak akan pernah menghapuskan kerosakan struktural yang disebabkan oleh sistem. Apa yang perlu diubah ialah keseluruhan sistem itu sendiri – dari buatan manusia kepada buatan Ilahi.
Selagi sistem demokrasi yang lahir daripada rahim ideologi kapitalisme ini wujud dan dipertahankan, maka skandal demi skandal akan terus lahir. Selagi manusia menjadi sumber undang-undang, hawa nafsu akan terus mengatasi syariat, dan selagi kuasa ditentukan oleh wang dan pengaruh, rakyat dan negara akan terus menderita.
Wallahu a’lam.