Ketakutan sebenar Barat: Dunia Islam yang bersatu
Dalam satu temubual Fox News baru-baru ini bersama Sean Hannity, Setiausaha Negara AS Marco Rubio telah membangkitkan semula retorik yang telah sebelum-sebelum ini mengenai isu “Islam radikal,” Khilafah yang bersifat tanpa sempadan, dan ancaman terhadap Barat. Komen beliau bukan sahaja melantunkan naratif dua dekad pasca-9/11, tetapi juga membongkar sesuatu yang lebih mendalam – ketakutan mendasar AS terhadap kemunculan sebuah dunia Islam (Khilafah) yang kuat dan bersatu.
Hannity mengarahkan soalannya dalam konteks doktrin “America First” yang diperjuangkan oleh Trump. Untuk memahami jawapan Rubio, seseorang mesti mengimbau kembali era neo-konservatif tahun 2000-an, apabila dasar luar AS berkisar pada pencerobohan, perubahan rejim, pembinaan negara dan “pendemokrasian” Timur Tengah. Ini dilakukan dan terus dilaksanakan dengan bertopengkan promosi tatanan liberal, sedangkan ia sebenarnya memperluaskan pengaruh global AS dan mengukuhkan projek Zionis serta dominasi serantaunya.
AS telah membelanjakan trilion dolar di Iraq dan Afghanistan, hanya untuk menghadapi jalan buntu, penghinaan dan reputasi global yang tercemar akibat peperangan tanpa henti. Namun demikian, retorik “Make America Great Again” hari ini, walaupun mendakwa menolak neo-konservatisme era Bush, hakikatnya mencerminkan logik yang sama – ketakutan terhadap Islam, ketakutan terhadap entiti Islam “tanpa sempadan”, bercakap tentang senjata pemusnah besar-besaran (WMD), penggambaran jahat terhadap pesaing geopolitik dan memanipulasi sokongan awam untuk campur tangan ketenteraan.
Bahasa yang digunakan baru-baru ini ke atas Venezuela yang mengaitkan kerajaan Venezuela dengan “pengganas-narko” yang bersekutu dengan “Islam radikal” adalah contoh terbaik mengenai mesej neo-konservatif yang dihidupkan semula, di bawah jenama berbeza, tetapi dengan cita-cita imperialis yang sama.
Rubio menakut-nakutkan orang ramai dengan “Islam radikal” sebagai kuasa revolusioner yang bertekad untuk mendominasi dunia. Dia menyatakan, “mereka tidak akan pernah berpuas hati dengan keKhilafahan kecil mereka sendiri…mereka mahu berkembang… menguasai lebih banyak wilayah…mereka mempunyai rancangan terhadap Barat, terhadap AS, terhadap Eropah…” Namun, si Rubio buta terhadap kemunafikan imperialisme Amerika yang mengekalkan lebih 750 pangkalan tentera di seluruh dunia, menempatkan ribuan tentera di Jepun, Korea Selatan, Jerman, Itali dan dunia Islam, serta terus menyokong perluasan wilayah entiti Zionis yang pada dasarnya berfungsi sebagai pangkalan operasi hadapan Amerika di tengah-tengah dunia Islam.
Di seluruh dunia Islam, penentangan terhadap kuasa AS secara konsisten berpusat pada dasar luarnya yang melantik atau menyokong rejim autoritarian, merancang rampasan kuasa, menduduki dan mengebom tanah umat Islam, menguatkuasakan sekatan ekonomi, campur tangan dalam pemerintahan, memaksakan sekularisme, dan menentang Islam. Kesan kumulatif dasar-dasar ini dapat dilihat di Afghanistan, Iraq, Libya, Pakistan, Palestin, Somalia, Sudan, Yaman dan sekitarnya. Ribuan nyawa telah terkorban, jutaan kehilangan tempat tinggal, infrastruktur hancur, dan keruntuhan ekonomi bukanlah sesuatu yang abstrak; sebaliknya, ia adalah realiti yang dihadapi. Melabelkan penentangan terhadap hasil sebegini sebagai permusuhan terhadap “kebebasan” merupakan satu tindakan membesarkan diri sendiri oleh AS yang bersifat khayalan.
Menentang Khilafah
Selama lebih satu abad, doktrin strategik Barat secara konsisten menentang kemunculan semula kuasa politik Islam yang bersatu dalam bentuk Khilafah. Penentangan ini tidak berakar umbi semata-mata daripada ketidakselesaan budaya atau kebimbangan mengenai radikalisme, sebaliknya, ia didorong oleh realiti geopolitik, ekonomi, dan ideologi. Khilafah secara sejarahnya berfungsi sebagai kuasa besar dan kejatuhannya telah membolehkan dominasi Barat ke atas dunia Islam. Penegakannya untuk kali yang kedua akan mengancam tatanan global semasa melalui geografi yang strategik, sumber yang melimpah ruah, saiz penduduk yang besar dan ideologinya yang tersendiri.
Rejim autoritarian di dunia Islam adalah sebahagian daripada agenda Barat untuk menghalang berdirinya kembali Khilafah. Kemarahan rakyat terhadap rejim di negeri-negeri umat Islam bukan berpunca daripada radikalisme abstrak, tetapi daripada pengalaman langsung hidup di bawah pemerintahan autoritarian yang dikendalikan secara berterusan oleh penjajah.
Dalam konteks sedemikian, melihat AS sebagai kuasa pemusnah bukanlah hasil indoktrinasi ekstremis; sebaliknya, ia adalah ungkapan rasional dari penindasan yang berterusan. Komen Rubio mendedahkan ketakutan mendalam AS terhadap penyatuan sebenar umat Islam. Ia mendedahkan kebimbangan mengenai penghakisan hegemoni AS secara beransur-ansur dan kemungkinan munculnya satu blok tamadun utama yang akan melakar haluannya sendiri.
Jadi, amat penting untuk kita memahami perkara ini – tindakan AS yang menakut-nakutkan dunia dengan “Islam radikal” dan ancaman keselamatan dalam konteks ini bukanlah sebenarnya persoalan melindungi rakyat atau persoalan ketakutan terhadap agama Islam itu sendiri, sebaliknya, ia adalah persoalan memelihara empayar AS.
Menyatukan Ummah & Hizbut Tahrir
Penegakan semula Khilafah bukanlah “Islam radikal”, sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada Islam normatif. Khilafah ialah kepimpinan politik global umat Islam yang menerapkan Islam. Ia adalah kewajipan, bukan pilihan. Ketiadaannya adalah satu dosa.
“Mereka (para ulama) bersepakat bahawa adalah satu kewajipan ke atas umat Islam untuk melantik seorang Khalifah, dan kewajipannya adalah berdasarkan wahyu, bukan akal.” [Imam an-Nawawi, Syarah Sahih Muslim]
Hizbut Tahrir telah berada di barisan hadapan selama beberapa dekad dalam usaha menegakkan semula Khilafah dan mempersatukan umat Islam. Hizbut Tahrir sangat menonjol sebagai sebuah parti politik Islam global yang terkenal dengan konsistensi visinya dan kedalaman asas intelektualnya. Sejak penubuhannya pada tahun 1953 di al-Quds (Baitul Maqdis), Hizbut Tahrir muncul dengan satu objektif dan membangun material terperinci yang menggariskan struktur Khilafah, mekanisme pemerintahan dan pentadbirannya, sistem ekonomi, kehakiman dan politiknya serta perlembagaannya.
Karya-karya ini tidak dihasilkan sebagai latihan akademik atau spekulasi falsafah, atau semata-mata sebagai apologetik yang menjawab pengkritik Islam, sebaliknya, ia bertujuan sebagai kerangka praktikal untuk sebuah penerapan berstruktur yang jelas. Orientasi praktikal ini mencerminkan visi yang jauh ke depan — bukan nostalgia masa lalu — tetapi keyakinan terhadap keupayaan Islam untuk menawarkan penyelesaian untuk masa kini dan masa depan. Visi Hizbut Tahrir adalah untuk kebangkitan tatanan global baharu yang berpaksikan keadilan, akauntabiliti, dan petunjuk Ilahi, yang menjelma dalam bentuk kembalinya Khilafah ar-Rasyidah, insha Allah.
Hari ini, Hizbut Tahrir beroperasi sebagai parti politik global yang merentas dari Amerika hingga ke Australia. Ia merentasi pelbagai persekitaran budaya dan politik, dan kekal konsisten dengan ideologi serta disiplin metodologinya. Walaupun menghadapi pelbagai penganiayaan, rintangan dan dipinggirkan oleh media di banyak bahagian dunia, Hizbut Tahrir terus menyuarakan mesejnya dengan gigih dan penuh tekad, menggembleng tenaga melalui jalan politik dan ideologi tanpa kekerasan demi mendirikan kembali Khilafah di dunia Islam.
Selama beberapa dekad, Hizbut Tahrir telah menyumbang secara signifikan untuk meningkatkan perbincangan dalam kalangan umat Islam, terutamanya dengan memusatkan semula pemikiran politik di sekitar objektif penubuhan semula Khilafah. Pengaruhnya bukan sahaja terletak pada pendirian yang telah diambilnya, tetapi juga pada desakannya agar umat Islam berfikir melangkaui politik reaktif dan penyelesaian jangka pendek, ke arah visi komprehensif yang berakar umbi dalam Islam itu sendiri. Dalam dunia yang sedang mencari alternatif kepada tatanan dunia semasa yang semakin gagal, Hizbut Tahrir terus membentangkan seruan yang koheren, berprinsip, dan berlandaskan intelek untuk membentuk semula dunia ke arah masa depan yang adil dan bermaruah bagi umat Islam dan manusia sejagat.
ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّة
“Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian” [Musnad Ahmad]
[Terjemahan dari artikel asal: https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/leaflet/america/28822.html]