Melayu perlukan Khilafah, bukannya kolaborasi agung mahu pun payung besar

Cadangan Presiden Umno di dalam Persidangan Agung Umno baru-baru ini untuk membentuk “kolaborasi agung” parti-parti dan NGO-NGO Melayu hakikatnya hanyalah ulangan skrip lama politik perkauman yang telah berdekad-dekad gagal mengangkat nasib orang Melayu. Padahal Umno ialah parti yang paling lama memerintah, yang boleh sahaja membela dan mengangkat nasib orang Melayu jika mereka mahu, tetapi realitinya Umno-lah yang telah “merosakkan” bangsa Melayu sejak sekian lama, sehingga ia telah ditolak oleh orang Melayu secara besar-besaran.

Tidak lama sebelum ini, Tun Mahathir dan beberapa parti Melayu cuba membentuk satu gagasan yang dikenali sebagai “payung besar”, yang lebih bersifat politik berbanding “kolaborasi agung” yang menurut Presiden Umno merupakan gabungan di luar politik.

Dibungkus dengan retorik basi “demi bangsa, agama dan negara”, kedua-dua gagasan tersebut hakikatnya hanya berpusing pada elit politik yang sama, dan dalam kerangka sistem yang sama. Malah, tujuannya juga sama iaitu demi kuasa, tidak lebih dari itu – sama ada untuk mengekalkan kekuasaan atau merebut kekuasaan.

Usaha menyatukan parti-parti politik Melayu di bawah nama kolaborasi atau payung tertentu bukanlah penyatuan atas dasar akidah Islam, tetapi penyatuan berdasarkan bangsa, walaupun ia cuba dipakaikan pakaian Islam. Kedua-dua gagasan tersebut bukannya bertujuan untuk menegakkan hukum Allah pun, sebaliknya hanyalah usaha memberi nafas baru kepada elit politik lama yang telah terbukti gagal, agar dilihat masih relevan dalam gelanggang politik, khususnya bagi menghadapi PRU yang akan datang.

Penyatuan parti-parti politik Melayu di bawah demokrasi hanyalah penyatuan atas dasar manfaat semata-mata, jika pun bukan trend bermusim. Selama ada manfaat, maka penyatuannya dapat bertahan. Apabila hilang manfaat, maka keluarlah segala fitnah, kemunafikan, tuduh-menuduh, maki-hamun dan sebagainya di antara sesama mereka. Hari ini mereka berkawan, esok bermusuhan, lusa berkawan kembali dan tulat bermusuhan lagi; hari ini tuduh pengkhianat, esok duduk semeja dengan pengkhianat. Inilah wajah sebenar politik pragmatik yang tidak berprinsip.

Inilah gabungan parti politik demokrasi. Hari ini mereka bergabung dan melaungkan demi bangsa, esok mereka akan makan bangsa mereka sendiri; hari ini mereka melaungkan “menentang rasuah”, esok mereka akan bergabung dengan perasuah; hari ini mereka bercakap tentang “kuasa dan maruah Melayu dan Islam”, esok mereka akan memberi kekuasaan kepada orang kafir, dan mengekalkan sistem ribawi, cukai yang menindas dan undang-undang penjajah, yang semuanya jelas haram di sisi Islam. Inilah wajah sebenar politik demokrasi yang membelakangkan akidah Islam, di sebalik seruan mereka untuk bergabung demi Islam.

Apa yang pasti, cadangan pembentukan gagasan kolaborasi agung mahupun payung besar langsung tidak menyentuh punca sebenar kerosakan negara iaitu penerapan sistem sekular-kapitalis yang memisahkan Islam daripada pemerintahan. Ia juga tidak menyentuh, malah menyembunyikan, punca kerosakan negara yang selama ini disebabkan oleh tangan-tangan mereka sendiri.

Selagi sistem demokrasi yang berasal dari kafir penjajah ini dikekalkan, tidak kira siapa yang mengepalai atau berada di bawah kolaborasi agung atau payung besar, hasilnya tetap sama. Ini kerana, ia adalah kerjasama politik berasaskan manfaat tanpa mengubah sistem. Orang yang menawarkan gagasan ini sebenarnya sedang menjual ilusi perubahan. Mereka menawarkan penyelesaian kosmetik – menukar gabungan, menukar nama, menukar logo – tetapi mengekalkan pemimpin dan sistem yang telah terbukti rosak. Ibarat pentas drama, tajuknya diberi nama baru, tetapi pelakon dan skripnya sama sahaja.

Siapa pun yang celik politik akan sedar bahawa gagasan ini hanyalah usaha untuk menyelamatkan dan mendapatkan kerusi, tidak lebih dari itu. Orang-orang Melayu yang beragama Islam seterusnya perlu sedar akan permainan kuasa para pemimpin mereka, dan perlu sedar bahawa kita, umat Islam, tidak memerlukan kolaborasi agung mahupun payung besar di bawah sistem demokrasi-sekular. Ini bukan jalan perubahan, dan bukan penyelesaian masalah umat.

Sesungguhnya perubahan hakiki tidak akan datang daripada gabungan parti-parti yang terus “berimankan” demokrasi, tetapi hanya akan datang daripada perubahan sistem – daripada demokrasi sekular kepada pemerintahan Islam (Khilafah) yang menerapkan hukum Allah sepenuhnya. Sebagaimana disebut oleh ramai ulama, bahawa Khalifah merupakan Imam al-a’dzam (pemimpin agung), yang mana umat Islam wajib bernaung di bawah payung pemerintahannya. Inilah (Khilafah) satu-satunya solusi untuk umat Islam jika mereka benar-benar mahu bersatu dan melihat hukum Allah diterapkan.

Wallahu a’lam.