Babi: Jurucakap HTM perjelas hak dan had non-Muslim

BULETIN HTM – Isu penternakan babi berskala besar, penjualan arak, dan pembinaan rumah ibadat non-Muslim di negara ini wajib dilihat dan ditangani berdasarkan hukum syarak yang menetapkan batas tegas terhadap penzahiran (izhar) syiar kekufuran di ruang awam. Demikian tegas Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam siri “Kupas Tuntas” minggu ini (23/01/2026).

Beliau menegaskan bahawa walaupun Islam mengiktiraf hak peribadi golongan Kafir Zimmi (warganegara bukan Islam), hak tersebut terikat dengan syarat ketat agar syiar dan aktiviti kekufuran mereka tidak dizahirkan di kawasan umum, lebih-lebih lagi di kawasan yang ada umat Islam di situ.

Dalam kupasannya yang bertajuk “Babi: Sejauh Mana Hak dan Batas Non-Muslim Dalam Negara Islam?”, Ustaz Abdul Hakim menjelaskan dengan panjang lebar bahawa berdasarkan nas syarak dan pandangan Imam empat mazhab, golongan non-Muslim hanya dibenarkan melakukan amalan peribadi mereka seperti memakan babi atau meminum arak di dalam rumah atau komuniti tertutup mereka sahaja.

Beliau memetik Perjanjian Umariah (Syurut Umariah) di zaman Khalifah Umar Al-Khattab yang menetapkan bahawa non-Muslim dilarang sama sekali menzahirkan salib, babi, dan arak di pasar-pasar, jalan raya, atau kawasan penempatan umat Islam. Tegas beliau, sebarang bentuk penzahiran secara terbuka adalah satu pelanggaran terhadap kedaulatan hukum Islam dan pemerintah wajib menghalangnya, dan seseorang Kafir Zimmi itu boleh terlucut hak zimmah (perlindungan) dengan pelanggaran tersebut.

Beliau turut membidas tindakan kerajaan negeri dan pusat yang membenarkan projek penternakan babi moden berskala besar seperti yang dicadangkan di Bukit Tagar, Selangor, serta kewujudan kilang arak dan pusat judi gergasi di negara ini. Menurutnya, alasan penggunaan teknologi canggih atau manfaat ekonomi tidak boleh menghalalkan perkara yang haram di sisi Allah.

Ustaz Abdul Hakim menyifatkan realiti ini sebagai manifestasi kegagalan sistem sekularisme yang memisahkan agama daripada pemerintahan, di mana keputusan dibuat berdasarkan manfaat dan keuntungan material semata-mata tanpa mempedulikan halal dan haram.

Di akhir sesi tersebut, Jurucakap HTM itu menyeru umat Islam untuk menyedari bahawa isu babi dan arak ini hanyalah sebahagian daripada kerosakan akibat ketiadaan penerapan hukum Islam secara menyeluruh. Beliau menegaskan bahawa penyelesaian tuntas hanya akan tercapai dengan usaha mengembalikan semula kehidupan Islam melalui penegakan negara Khilafah, yang akan menerapkan syariat Islam secara kaffah dan meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya yang sebenar mengikut neraca wahyu, bukannya hawa nafsu.