Pakaian Daripada Kulit Babi

Babi adalah binatang najis berdasarkan al-Qur`an dan Ijma’ para sahabat Nabi (Ijma’us Sahabat) (Prof Ali Raghib, Ahkamus Solat, hal. 33). Dalil najisnya babi adalah firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“Katakanlah: ‘Tiadalah aku memperoleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali jika makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor (rijsun).” (TMQ  Al-An’aam [6] : 145)

Jika binatang itu termasuk jenis yang najis (babi dan juga anjing), maka semua bahagian tubuhnya adalah najis, tidak kira sama ada dalam keadaan hidup ataupun mati. (Abdurrahman Al-Baghdadi, Babi Halal Babi Haram, hal. 47). Imam al-Kasani dalam kitabnya Bada’i’us Sana’i` fii Tartib asy-Syara’i’  (I/74) mengatakan bahawa babi adalah najis pada zatnya dan babi tidak dapat menjadi suci jika disamak.

Memang  ada sebahagian ulama seperti Yusuf al-Qardhawi yang berpendapat bahawa kulit babi dan anjing  akan menjadi suci jika sudah disamak. Dalilnya adalah hadis-hadis  sabda Rasulullah SAW,

“Kulit apa pun jika sudah disamak, maka sesungguhnya ia menjadi bersih (suci)” [Arab : ayyumaa ihaabin dubigha fa-qad thahura].” (HR Muslim).

Al-Qardhawi mengatakan perkataan “kulit” (ihaab) dalam hadis Nabi tersebut mempunyai maksud umum meliputi kulit anjing dan babi, maka kedua-dua kulit itu akan menjadi suci jika sudah disamak. Yang berpendapat sedemikian adalah mazhab Zahiri, Imam Abu Yusuf dan diperkuatkan oleh Imam asy-Syaukani (Yusuf al-Qardhawi, Halal dan Haram dalam Islam (terj.), hal. 64).

Namun demikian, pendapat tersebut kurang dapat diterima  kerana  walaupun perkataan ‘kulit’ dalam hadis tersebut memang bermaksud umum, tetapi keumumannya telah dikecualikan (ditakhsis) dengan dalil-dalil syar’i yang lain. Dalam hal ini, berlaku kaedah usul fiqh : al-lafzhu alladzy yufiidul ‘umuum tu’khadzu dalaalatuhu fil-‘umum illa idza khushshihat (Lafaz [perkataan] yang bermakna umum diambil pengertiannya dalam keumumannya, kecuali jika terdapat dalil yang mentakhsisnya [mengecualikan keumumannya]). (‘Atha ibn Khalil, Taysir al-Wushul ila al-Ushul, hal. 219-220)

Dalil yang mengecualikan keumuman itu antara lain adalah ayat 145 surah Al-An’aam  di atas yang menyatakan najisnya babi dan dalil hadis sahih yang menyatakan najisnya anjing. Sabda Rasulullah SAW,

“Untuk menyucikan  wadah (bejana) seseorang di antara kamu jika dijilat anjing padanya, hendaklah ia cuci wadah itu tujuh kali, yang pertamanya (dicampur) dengan tanah.” (HR Muslim). (Imam Shan’ani, Subulus Salam, I/22).

Maksudnya, kulit babi dan anjing tetap najis walaupun telah disamak, kerana terdapat dua dalil khusus di atas yang mengecualikan keumuman perkataan ‘kulit’ dalam hadis-hadis sebelumnya. Oleh itu, jelaslah bahawa membuat atau menggunakan kasut (atau pakaian lain) dari kulit babi adalah haram, sebab kulit babi walaupun sudah disamak tetaplah najis yang tidak boleh dimanfaatkan. Wallahua’lam.