SN257 – SUMPAH LAKNAT – IKUT HUKUM, JANGAN IKUT HAWA!
SN Keluaran 22 April 2011
SUMPAH LAKNAT – IKUT HUKUM, JANGAN IKUT HAWA!
Berdasarkan pendedahan di atas, nampaknya kes video seks yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim itu telah melangkah ke babak seterusnya iaitu babak ‘sumpah laknat’ pula, demi membuktikan dakwaan pihak terbabit. Dalam babak sebelum ini, Ketua Polis Negara telah membuat pengesahan bahawa video tersebut adalah tulen setelah dilakukan ujian ke atasnya. Selepas itu pula, entah macamana video tersebut telah terlepas ke laman youtube. Pihak polis menafikan bahawa mereka yang memuatnaik video tersebut. Trio Datuk T juga menafikan yang mereka berbuat demikian. Aneh sungguh, video tersebut yang disahkan hanya ada dalam pemilikan Datuk T dan pihak polis sahaja, namun kedua-dua pihak menafikan memuatnaikkannya ke laman youtube! Jadi, entah siapalah yang melakukannya, hanya Allah dan pelakunya sahajalah yang mengetahui. Apa pun, beberapa babak telah berlalu sebelum kes ini mungkin dibawa ke mahkamah sebagai babak berikutnya.
Pada siri yang lalu (SN254), kami telah pun menjelaskan bahawa ‘video’ tidak boleh dijadikan sebagai bukti di dalam kes zina kerana ia menyalahi hukum pembuktian (ahkamul baiyyinat) zina di dalam Islam. Kali ini, Sautun Nahdhah akan menjelaskan kesalahan berhubung ‘sumpah laknat’ yang ingin dilakukan oleh si penuduh di dalam kes qadzaf (tuduhan zina) ini. Sebagai Muslim, kita wajib melihat kes ini dari perspektif hukum Islam semata-mata dan bukannya terus membuat ‘keputusan’ seseorang itu bersalah atau tidak, atas dasar emosi atau mengikut sesuka hati. Menurut nidzamul uqubat (sistem hukuman) dalam Islam, sesungguhnya tidak ada ‘sumpah laknat’ di dalam kes qadzaf. Siapa yang melakukan qadzaf (menuduh orang berzina), dia hendaklah membuktikan tuduhannya dengan mendatangkan empat orang saksi (lelaki dan adil) dan sekiranya dia gagal berbuat demikian, maka dia telah berdosa dan dikira pendusta dan wajib dihukum (hudud) dengan dikenakan 80 kali sebatan. Sumpah laknat tidak dilakukan di dalam kes qadzaf tetapi hanya berlaku di dalam kes li’an sahaja, iaitu kes di mana seorang suami menuduh isterinya berzina. Selain dari kes li’an, maka tidak ada sumpah laknat kecuali di dalam kes mubahalah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran.
Li’an
Li’an diambil dari kata al-la’nu (laknat) kerana di dalam kes ini suami-isteri masing-masing melaknat dirinya sendiri pada ucapan yang kelima kalinya, jika dia berdusta. Asal hukum li’an adalah firman Allah SWT,
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima, ‘Bahawa laknat Allah ke atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.’ Isterinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta. Dan (sumpah) yang kelima, ‘Bahawa laknat Allah ke atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar” [TMQ an-Nur (24):6-9].
Imam Abu Daud telah meriwayatkankan hadis dari Ibnu Abbas RA, bahawa dia berkata,
“Hilal ibn Umayah, salah seorang dari tiga orang yang diterima taubatnya oleh Allah, datang dari kampungnya ketika Isya’. Dia mendapati seorang lelaki di sisi isterinya. Dia saksikan dengan mata kepalanya sendiri dan dia dengar dengan telinganya sendiri. Hilal tidak menyerbunya hingga subuh. Esoknya Hilal datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku datang kepada isteriku, tetapi aku mendapati seorang lelaki di sisinya. Aku sungguh melihatnya dengan mata kepalaku sendiri dan mendengarnya dengan telingaku sendiri’. Rasulullah SAW tidak suka atas apa yang disampaikan oleh Hilal. Kegelisahan pun menyelimuti Hilal. Tidak lama kemudian, turunlah dua ayat berikut, “Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima, ‘Bahawa laknat Allah ke atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta” [TMQ an-Nur (24):6-7].
Rasulullah SAW merasa gembira dan berkata,
“Bergembiralah wahai Hilal, kerana sesungguhnya Allah telah memberimu kelapangan dan jalan keluar.’ Hilal berkata, ‘Aku memang mengharapkan hal itu dari Tuhanku Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi.’ Rasulullah SAW kemudian bersabda, ‘Utuslah seseorang kepada isterinya’. Dikirimkanlah utusan kepada isterinya. Rasulullah SAW lantas membacakan kepada isteri Hilal ayat yang baru diterimanya seraya mengingatkan keduanya sekaligus memberitahu mereka bahawa azab akhirat lebih pedih berbanding azab dunia. Hilal kemudian berkata, ‘Demi Allah, aku berkata benar mengenai dirinya.’ Isterinya berkata, ‘Dia berdusta.’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Saling melaknatlah di antara kalian berdua!’ Lalu dikatakan kepada Hilal, ‘Bersumpahlah engkau!’ Hilal pun bersumpah empat kali atas nama Allah bahawa dirinya termasuk orang yang yang benar. Tatkala hendak mengucapkan sumpah kelima, dikatakan kepadanya, ‘Hilal, bertakwalah engkau kepada Allah, kerana sesungguhnya azab dunia itu lebih ringan dibandingkan dengan azab akhirat, dan sumpah kelima ini boleh menyebabkan azab atasmu.’ Hilal pun berkata, ‘Demi Allah, Allah tidak akan mengazabku kerana hal ini, sebagaimana Allah juga tidak akan menimpakan hukum sebat kepadaku atas perkara ini.’ Hilal kemudian bersumpah untuk yang kelima kalinya bahawa sesungguhnya laknat Allah akan menimpanya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Setelah itu, Rasulullah SAW berkata kepada isterinya, ‘Sekarang, bersumpahlah engkau!’ Dia pun bersumpah atas nama Allah sebanyak empat kali bahawa suaminya termasuk orang yang berdusta. Ketika hendak mengucapkan sumpah yang kelima, dikatakan kepadanya, ‘Bertakwalah engkau kepada Allah, kerana sesungguhnya azab dunia itu lebih ringan dibandingkan dengan azab akhirat, dan sumpah kelima ini boleh menyebabkan azab atasmu.’ Isteri Hilal teragak-agak seketika, akan tetapi dia kemudian berkata, ‘Demi Allah, aku tidak akan mencemarkan kaumku’. Dia pun bersumpah untuk yang kelima kalinya bahawa laknat Allah ke atas dirinya jika suaminya termasuk orang-orang yang benar. Selanjutnya Rasulullah SAW memisahkan keduanya lalu memutuskan bahawa terhadap isterinya itu, Hilal tidak berkewajiban menyediakan tempat tinggal mahupun memberi makan”.
Maka, jika seorang suami menuduh isterinya telah berzina, misalnya dengan berkata kepadanya, “Kamu telah berzina” atau “Wahai penzina!” atau “Aku telah melihatmu berzina,” sementara dia (suami) tidak dapat mendatangkan bukti apa pun, maka dia (suami) wajib dikenai hukuman (hudud) jika dia menolak melakukan li’an. Tetapi jika dia bersedia melakukan li’an sedangkan isterinya menolak untuk melakukan li’an, maka isterinyalah yang wajib dikenakan hukuman (hudud). Allah SWT berfirman,
“Isterinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah…”[TMQ an-Nur (24):8].
Azab yang terhindar dari isteri adalah hukuman (hudud) zina bagi penzina muhsan (penzina yang telah berkahwin), sebab ketika Hilal ibn Umayah menuduh isterinya berzina dan menemui Nabi SAW, Nabi SAW memerintahkan dia untuk mengirim utusan kepada isterinya dan melakukan li’an di antara keduanya. Ini adalah keadaan khusus di antara sejumlah keadaan yang dapat membuktikan terjadinya perzinaan, iaitu keadaan di mana suami melontarkan tuduhan zina kepada isterinya. Dalam keadaan seperti ini, si isteri (dikira) terbukti berzina kerana li’an suaminya dalam keadaan tidak adanya li’an dari si isteri. Jika isterinya melakukan li’an, maka zina tidak (dikira) terbukti. Jadi penolakan isteri untuk melakukan li’an telah membuktikan terjadinya zina pada isteri, sehingga isteri wajib dikenakan hukuman (hudud) kerana li’an suaminya.
Jika keduanya melakukan li’an dan hakim telah memisahkan keduanya, maka keduanya tidak boleh lagi berkumpul selama-lamanya dan si isteri itu haram bagi suaminya untuk selama-lamanya. Sebab Nabi SAW telah memisahkan suami-isteri yang telah saling melakukan li’an. Imam Malik telah meriwayatkan dari Nafi’ dari Ibnu Umar,
“Sesungguhnya seorang lelaki telah melakukan li’an dengan isterinya pada masa Rasulullah SAW dan dia telah mengengkari anak isterinya itu. Rasulullah pun memisahkan keduanya, dan memberikan hak anak itu kepada isterinya.”
Sahal ibn Sa’ad meriwayatkan,
“Telah berlaku ketentuan as-Sunnah mengenai suami-isteri yang telah saling melakukan li’an, bahawa keduanya dipisahkan (diceraikan) dan tidak boleh berkumpul lagi selama-lamanya” [HR Abu Daud].
Pemisahan suami-isteri kerana li’an adalah termasuk ke dalam kategori fasakh, kerana pemisahan tersebut telah mengakibatkan haramnya meneruskan kehidupan suami-isteri untuk selama-lamanya. Kerana itu, isteri itu tidak halal lagi bagi suaminya walau jika suami mengakui telah berbohong sekalipun. Jika terjadi suami menarik li’an-nya dan mengakui kebohongannya, maka wajib menjatuhkan hukuman (hudud) ke atas suami itu dan nasab anaknya diikutkan kepadanya, baik dia mengakui kebohongannya sebelum isterinya melakukan li’an atau sesudahnya.
Li’an dapat membebaskan si suami dari hukuman dan dapat mewajibkan hukuman ke atas isterinya, jika isteri menolak melakukan li’an. Ucapan li’an suami (yang hendaklah dilakukan) di hadapan hakim, ialah dengan mengatakan, “Aku bersaksi atas nama Allah bahawa dia telah berzina,” sambil menunjuk ke arah isterinya. Jika isterinya tidak hadir di sidang pengadilan, suami hendaklah menyebut nama isterinya dan nasabnya. Ucapan sumpahnya harus disempurnakan sebanyak empat kali. Kemudian tatkala hendak mengucapkan sumpah yang kelima, diucapkan kepadanya, “Bertakwalah engkau kepada Allah, sesungguhnya sumpah kelima ini dapat mendatangkan azab kepada engkau, sedangkan azab dunia adalah lebih ringan daripada azab akhirat.” Tidak boleh diterima sumpahnya, kecuali setelah dia menyempurnakan (ucapan) sumpahnya dan mengatakan bahawa laknat Allah ke atas dirinya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta terhadap tuduhan zina yang dia lontarkan kepada isterinya. Setelah itu sang isteri pula hendaklah berkata, “Aku bersaksi atas nama Allah bahawa dia telah berdusta,” sebanyak empat kali. Kemudian ketika hendak mengucapkan sumpah kelima, dia diperingatkan seperti yang telah dilakukan kepada suaminya. Tidak diterima sumpahnya kecuali dia telah menyempurnakan (ucapan) sumpahnya dan mengatakan bahawa laknat Allah atas dirinya jika suaminya termasuk orang yang benar atas tuduhan zina yang dilontarkan kepadanya.
Jika keduanya mempunyai anak, anak itu harus disebutkan dalam li’an. Maka, sekiranya sang suami bersumpah, “Aku bersaksi atas nama Allah bahawa dia telah berzina,” dia juga harus berkata, “Anak ini bukan anakku.” Sementara itu isterinya hendaklah berkata, “Aku bersaksi atas nama Allah bahawa dia telah berdusta dan anak ini adalah anaknya.” Demikianlah cara li’an dan demikian pula ucapan atau redaksi kalimat li’an [Taqiyuddin an-Nabhani, Nidzamul Ijtima’ie Fil Islam].
Qadzaf Dan Hukumannya
Qadzaf bermaksud melemparkan tuduhan. Menuduh wanita-wanita yang suci dan terjaga (kehormatannya) adalah tergolong perbuatan yang haram, kecuali orang yang menuduh itu membawa bukti-bukti. Sekiranya orang yang menuduh (qadzif) itu tidak dapat mendatangkan empat orang saksi, maka di sisi Allah, merekalah orang yang berdusta. Bukan sekadar itu, malah mereka wajib dikenakan hukuman (hudud).
Haramnya qadzaf adalah berdasarkan Al-Quran dan juga As-Sunnah. Allah SWT berfirman,
“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Mereka itulah orang-orang yang fasik, kecuali mereka bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya). Maka sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ an-Nur (24):4-5].
Walaupun ayat ini menyebut tentang tuduhan terhadap perempuan, namun qadzaf juga adalah termasuk tuduhan zina yang dilontarkan kepada kaum lelaki [Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir].
Firman Allah,
“Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi, maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang berdusta” [TMQ an-Nur (24):13].
FirmanNya yang lain,
“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik, yang tidak pernah terlintas lagi beriman (berbuat zina), mereka dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan bagi mereka azab seksa yang besar” [TMQ an-Nur (24):23].
Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW, baginda bersabda,
“Jauhilah tujuh jenis keburukan’. Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah ia?’ Rasulullah menjawab, ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan dan menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina)”.
Berdasarkan nas yang jelas yang disebutkan di atas, barangsiapa yang melakukan qadzaf dan tidak mendatangkan bukti, maka dia akan disebat sebanyak 80 kali. Syaratnya adalah si penuduh itu telah mukallaf dan melakukan qadzaf atas pilihan dan kesedarannya sendiri [Abdul Rahman al-Maliki, Nidzamul Uqubat].
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sekali lagi kami tekankan bahawa sesungguhnya pembuktian bagi tuduhan zina adalah dengan mendatangkan empat orang saksi, dan saksi-saksi ini hendaklah saksi yang adil, bukannya saksi yang fasik! Inilah yang disyaratkan oleh Islam. ‘Sumpah’ tidak ada nilainya sama sekali di dalam membuktikan tuduhan zina. Di dalam kes yang memerlukan sumpah sekalipun, sumpah hendaklah dilakukan di hadapan qadhi/hakim (di dalam mahkamah) dan bukannya di hadapan Kaabah! Sekiranya benar bahawa si penuduh ingin menegakkan kebenaran, maka kebenaran itu hendaklah mengikut Islam, dan bukan mengikut hawa. Dan kebenaran hanya akan dapat dicapai sekiranya kita berhukum dengan hukum Islam, bukannya hukum taghut sebagaimana yang ada sekarang. Mengikut hukum Islam, sekiranya si penuduh gagal membawa empat orang saksi, maka dialah yang wajib dihukum. Oleh itu, janganlah terlalu berani bersumpah sembarangan yang menyalahi Islam, takutlah akan azab Allah atas sumpah yang dilakukan. Firman Allah,
“Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan” [TMQ al-Mujadilah (58):16].