Dari Penjagaan Wahyu ke Pembentukan Tradisi Ilmu: Tiga Generasi yang Menentukan Arah Peradaban – Siri 3

Apabila Rasulullah SAW wafat, wahyu telah sempurna diturunkan, tetapi tugas umat belum selesai. Generasi sahabat tidak mewarisi sekadar teks al-Qur’an dan sabda Nabi SAW, mereka mewarisi tanggungjawab untuk memastikan bahawa teks itu kekal terpelihara, difahami dengan benar, dan diterapkan secara berterusan dalam kehidupan yang semakin berkembang. Jika generasi pertama dibina secara langsung oleh wahyu, maka generasi berikutnya diuji dengan satu soalan yang lebih halus: bagaimana memastikan kesinambungan itu tidak terputus?

Di sinilah bermulanya fasa yang sangat penting dalam sejarah Islam — peralihan daripada pembinaan generasi kepada pembinaan tradisi ilmu.

Generasi Sahabat: Dari Penghayatan kepada Penjagaan Sistemik

Sahabat adalah generasi yang menyaksikan turunnya wahyu. Mereka bukan sekadar pendengar, tetapi pelaku. Namun selepas kewafatan Rasulullah SAW mereka berhadapan dengan cabaran yang belum pernah dialami sebelumnya: menjaga wahyu tanpa kehadiran Baginda sebagai rujukan langsung.

Perang Yamamah pada zaman Abu Bakar al-Siddiq r.a. menjadi titik kesedaran yang mendalam. Ramai huffaz al-Qur’an syahid dalam peperangan tersebut. Umar al-Khattab melihat risiko yang tidak boleh dipandang ringan. Jika para penghafal terus berkurang, apakah jaminan bahawa seluruh al-Qur’an akan kekal terpelihara dalam bentuk yang sempurna?

Cadangan Umar agar al-Qur’an dihimpunkan dalam satu mushaf pada awalnya dirasakan berat oleh Abu Bakar. Baginda tidak pernah mengarahkan pengumpulan rasmi dalam bentuk tersebut. Namun kefahaman yang lebih mendalam akhirnya muncul: penjagaan wahyu bukan terikat pada bentuk yang statik, tetapi pada hakikat amanah yang mesti dipelihara.

Zaid bin Thabit r.a., seorang sahabat muda yang dikenali dengan ketelitian dan kejujuran, ditugaskan untuk memimpin usaha tersebut. Prosesnya tidak dilakukan secara tergesa-gesa. Setiap ayat diteliti melalui hafalan para sahabat dan disahkan dengan bukti tulisan yang ada. Dua saksi diperlukan bagi setiap catatan. Di sini kita melihat satu prinsip besar dalam sejarah ilmu Islam – kebenaran tidak diserahkan kepada sentimen kolektif, tetapi kepada metod atau kaedah verifikasi yang ketat.

Ilmu mulai bergerak daripada sekadar berada dalam hafalan individu kepada satu bentuk dokumentasi yang tersusun dan boleh diwariskan dengan lebih terjamin. Pengumpulan ini bukan tanda kelemahan hafalan para sahabat, tetapi tanda kematangan mereka dalam memahami tanggungjawab dan amanah.

Beberapa tahun kemudian, pada zaman ‘Uthman ibn ‘Affan r.a., cabaran lain muncul. Futuhat (penaklukan) telah membawa Islam ke Syam, Iraq, Parsi dan Mesir. Umat Islam kini datang daripada pelbagai latar bahasa dan budaya. Perbezaan dalam bacaan yang dibenarkan dalam ruang qira’at mula menjadi punca pertikaian. Hudzaifah bin al-Yaman, yang menyaksikan keadaan ini dalam ekspedisi ketenteraan, menyedari potensi perpecahan yang lebih besar jika ia dibiarkan.

Tindakan ‘Uthman menyatukan umat atas satu mushaf standard bukan sekadar keputusan pentadbiran. Ia adalah langkah menjaga kesatuan epistemik umat. Dengan menyebarkan mushaf rasmi ke wilayah-wilayah utama dan mempiawaikan rasm, beliau memastikan bahawa al-Qur’an kekal sebagai rujukan tunggal yang jelas.

Jika pengumpulan pada zaman Abu Bakar menjaga wahyu daripada hilang, penyatuan pada zaman ‘Uthman menjaga wahyu daripada menjadi punca perpecahan. Kedua-duanya memperlihatkan kesedaran bahawa ilmu yang menjadi asas masyarakat mesti dipelihara melalui struktur yang teratur.

Di sinilah asas tradisi ilmu mula terbentuk: bukan sekadar mencintai wahyu, tetapi menjaganya secara sistemik.

Generasi Tabi‘in: Dari Riwayat kepada Disiplin

Apabila generasi sahabat semakin berkurang, umat Islam memasuki fasa baru. Tabi‘in tidak lagi menyaksikan turunnya wahyu, tetapi mereka mewarisi riwayat daripada sahabat. Jarak masa mula memainkan peranan.

Di Madinah, tokoh seperti Sa‘id ibn al-Musayyib menjadi rujukan dalam fiqh dan hadis. Di Kufah, al-Qamah ibn Qays dan kemudian Ibrahim al-Nakha‘i membentuk tradisi pengajian yang kuat. Di Basrah, Hasan al-Basri muncul sebagai tokoh yang mempengaruhi pemikiran rohani dan sosial.

Riwayat kini tidak lagi boleh diterima hanya kerana disebut oleh seseorang yang dihormati. Muncul kesedaran bahawa setiap hadis mesti disertakan dengan rangkaian perawi. Dari sinilah sistem isnad berkembang.

Isnad bukan sekadar menyebut nama. Ia adalah mekanisme kawalan mutu ilmu. Setiap perawi dinilai dari sudut integriti (‘adalah) dan ketepatan (dhabt). Riwayat dibandingkan antara satu sama lain. Lahir disiplin jarh wa ta‘dil yang mengkaji latar belakang dan kredibiliti perawi.

Ini satu pencapaian yang luar biasa dalam sejarah intelektual manusia. Dalam banyak tamadun lain, tradisi lisan diterima secara umum tanpa sistem saringan yang ketat. Dalam Islam, kesahihan menjadi syarat utama.

Tokoh seperti Muhammad ibn Sirin terkenal dengan kenyataannya bahawa dahulu isnad tidak ditanya, tetapi apabila fitnah muncul, orang berkata: “Sebutkan kepada kami perawi-perawi kamu.” Ini menunjukkan bahawa sistem isnad lahir daripada kesedaran terhadap risiko penyimpangan.

Dalam masa yang sama, fiqh berkembang sebagai respons terhadap realiti yang semakin kompleks. Di Kufah, Abdullah ibn Mas‘ud telah meletakkan asas pendekatan yang mengambil kira qiyas dan pertimbangan realiti setempat. Tradisi ini diteruskan oleh murid-muridnya dalam kalangan tabi‘in. Di Madinah pula, tradisi berhati-hati dalam berhukum berkembang melalui tokoh-tokoh seperti Sa‘id ibn al-Musayyib.

Ilmu bukan lagi sekadar riwayat, tetapi mulai membentuk kaedah.

Daripada dinamika ini lahir usaha menyusun prinsip-prinsip istinbat hukum yang kemudian dikenali sebagai usul fiqh. Walaupun istilah tersebut belum digunakan secara formal pada waktu itu, cara berfikir yang teratur dalam menggali hukum sudah terbentuk.

Tradisi ilmu kini mempunyai dua tiang: pemeliharaan teks dan penyusunan kaedah.

Generasi Tabi‘ al-Tabi‘īn: Konsolidasi Kaedah Ilmu dan Ketegangan Intelektual

Zaman tabi‘ al-tabi‘īn merupakan fasa pematangan tradisi ilmu Islam. Jika generasi sahabat menumpukan kepada penjagaan wahyu dan generasi tabi‘in membangunkan disiplin riwayat serta fiqh, maka pada generasi ketiga inilah kaedah ilmu menjadi semakin tersusun dan berinstitusi.

Wilayah Islam telah meluas dari Andalus hingga ke Asia Tengah. Pusat-pusat ilmu muncul di Madinah, Kufah, Basrah, Syam dan kemudian Baghdad. Perkembangan ini melahirkan tokoh-tokoh besar yang bukan sahaja mengajar, tetapi membentuk kerangka pemikiran yang akan mempengaruhi umat selama berabad-abad.

Di Madinah, Imam Malik ibn Anas menyusun al-Muwatta’, sebuah karya yang bukan sekadar menghimpunkan hadis, tetapi merakam amalan penduduk Madinah sebagai manifestasi tradisi hidup yang diwarisi daripada generasi sahabat. Karya ini menunjukkan bahawa ilmu bukan sekadar teks, tetapi juga amalan yang hidup dalam masyarakat.

Di Kufah, Imam Abu Hanifah mengembangkan pendekatan fiqh yang menekankan penggunaan qiyas dan istihsan dalam kerangka dalil. Beliau berhadapan dengan realiti sosial Iraq yang lebih kompleks dan bercampur dengan pelbagai tradisi. Di sini, kemampuan menstrukturkan prinsip menjadi sangat penting.

Kemudian muncul Imam al-Shafi‘i yang menyusun prinsip-prinsip usul fiqh secara lebih sistematik melalui karya seperti al-Risalah. Beliau memperjelaskan kedudukan al-Qur’an, Sunnah, ijma‘ dan qiyas dalam proses istinbat hukum. Dengan ini, kaedah penggalian hukum tidak lagi sekadar tradisi lisan, tetapi menjadi disiplin yang boleh dipelajari dan diwariskan secara formal.

Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa tradisi ilmu Islam pada tahap ini bergerak ke arah penginstitusian kaedah ilmu. Ilmu tidak lagi sekadar diwariskan melalui majlis halaqah, tetapi mula disusun dalam karya, dibahaskan dengan kaedah khusus, dan diajar melalui struktur yang semakin mantap.

Namun pada masa yang sama, perluasan geografi membawa bersama perluasan pertembungan pemikiran.

Futuhat dan Pertembungan Idea

Apabila wilayah Syam, Mesir dan Iraq berada di bawah pemerintahan Islam, umat Islam berhadapan dengan komuniti Kristian yang telah lama bergelumang dengan perbahasan teologi tentang hakikat Tuhan, sifat-sifat-Nya dan hubungan antara ketentuan Ilahi dan kehendak manusia.

Di Iraq dan wilayah bekas Parsi pula, karya-karya falsafah Yunani mula diterjemahkan. Tradisi logik Aristotel dan metafizik Neoplatonik perlahan-lahan memasuki ruang intelektual umat Islam.

Persoalan-persoalan yang sebelum ini tidak dibahaskan secara spekulatif dalam masyarakat awal Islam mula dibincangkan secara sistematik:

  • Adakah sifat-sifat Allah berdiri sendiri atau identik dengan zat-Nya?
  • Jika Allah memiliki sifat yang banyak, adakah ini membawa kepada “ta‘addud al-qudama’” (berbilangnya yang qadim)?
  • Sejauh mana manusia bebas memilih jika Allah telah menentukan segala sesuatu?
  • Apakah status pelaku dosa besar dalam kerangka iman?

Persoalan ini bukan semata-mata lahir daripada sifat ingin tahu intelektual. Ia muncul dalam konteks polemik — perdebatan dengan golongan luar dan juga aliran dalaman.

Kemunculan Mutakallimīn

Dalam konteks inilah muncul golongan mutakallimin. Mereka tidak lahir dalam kekosongan. Mereka adalah produk zaman yang berhadapan dengan cabaran intelektual yang baru.

Antara tokoh terawal yang dikaitkan dengan gerakan ini ialah Wasil ibn ‘Ata’ di Basrah pada awal abad kedua Hijrah. Beliau dan pengikutnya kemudian dikenali sebagai Mu‘tazilah.

Mu‘tazilah membangunkan lima prinsip utama, antaranya tauhid dan keadilan. Dalam usaha mempertahankan tauhid, mereka menafikan sifat-sifat Allah yang difahami secara literal kerana khuatir ia membawa kepada penyerupaan atau penggandaan yang qadim. Dalam usaha mempertahankan keadilan Ilahi, mereka menekankan kebebasan manusia dalam bertindak, sehingga mengembangkan pandangan yang lebih hampir kepada golongan Qadariyyah.

Mereka juga memperkenalkan konsep “manzilah bayna al-manzilatayn” bagi pelaku dosa besar -bukan mukmin sepenuhnya dan bukan kafir sepenuhnya – sebagai usaha menyelesaikan perbahasan yang timbul akibat konflik politik dan sosial selepas fitnah besar.

Niat asas mereka adalah mempertahankan aqidah daripada serangan intelektual dan menjawab persoalan rasional yang dikemukakan oleh pihak luar. Namun persoalan besar yang timbul dari pemikiran mutakallimin bukan sekadar isi jawapan tetapi kaedah yang digunakan.

Isu Kaedah Ilmu : Batas Akal dan Wilayah Ghaib

Perbahasan tentang sifat Allah menjadi contoh jelas ketegangan kaedah ilmu.

Wahyu menyebut sifat-sifat seperti mendengar, melihat, beristiwa’ dan lain-lain. Generasi sahabat menerima sifat-sifat ini tanpa menyerupakan (tashbih) dan tanpa menafikan (ta‘til), serta tanpa menyelami kaifiyyah yang tidak dijelaskan oleh wahyu.

Sebahagian mutakallimin pula membahaskan persoalan: adakah sifat itu berasingan daripada zat? Jika berasingan, adakah ia membawa kepada berbilangnya yang qadim? Jika identik dengan zat, bagaimana memahami perbezaan istilah sifat yang pelbagai?

Perbahasan ini memasuki wilayah metafizik yang sangat abstrak. Soalan tentang “bagaimana” hakikat sifat Allah berfungsi bukan sesuatu yang dituntut oleh wahyu untuk dihuraikan secara rasional dan terperinci.

Begitu juga dalam isu qadar. Perbahasan berkembang sehingga menyentuh persoalan yang sangat teknikal: adakah perbuatan manusia dicipta oleh Allah secara langsung atau melalui kuasa yang diberikan? Bagaimana hubungan antara iradah Ilahi dan iradah manusia?

Apabila perbahasan terlalu terperinci berlaku dalam wilayah yang berada di luar kemampuan pengalaman manusia, ia cenderung menjadi polemik yang panjang tanpa kesan langsung terhadap pembinaan amal.

Di sinilah terlihat satu garis pemisah yang penting dalam sejarah ilmu Islam – antara respons terhadap cabaran intelektual dan penjagaan batas wahyu.

Mihnah (ujian) dan Implikasi Politik

Perbahasan tidak kekal dalam ruang akademik semata-mata. Pada zaman Abbasiyah, khususnya di bawah al-Ma’mun, pandangan Mu‘tazilah tentang “khalq al-Qur’an” atau penciptaan Quran diangkat sebagai doktrin rasmi negara.

Peristiwa Mihnah (ujian) memaksa para ulama menerima pandangan bahawa al-Qur’an adalah makhluk. Tokoh seperti Imam Ahmad ibn Hanbal menolak dan menghadapi penahanan serta tekanan.

Peristiwa ini menunjukkan bahawa apabila perbahasan teologi menjadi alat kuasa, ketegangan antara ilmu dan autoriti politik boleh menjadi sangat tajam.

Di sini kita melihat bahawa perkembangan intelektual tidak pernah neutral. Ia mempunyai implikasi sosial dan politik.

Ketegangan yang Membentuk Kematangan

Walaupun sebahagian perbahasan mutakallimin dianggap melampaui batas, kewujudan mereka juga mencerminkan satu hakikat penting: umat Islam tidak pasif terhadap cabaran zaman. Mereka cuba menjawab, mempertahankan dan berhujah.

Namun sejarah juga menunjukkan bahawa tidak semua perkembangan intelektual membawa kepada keseimbangan. Ilmu memerlukan disiplin bukan sahaja dalam kaedah, tetapi juga dalam menentukan ruang lingkupnya.

Apabila perbahasan memasuki wilayah yang tidak diberi panduan terperinci oleh wahyu, risiko spekulasi menjadi lebih besar daripada manfaatnya.

Walhasil, dalam konteks generasi tabi‘ al-tabi‘īn, kita melihat dua arus berjalan serentak:

  1. Arus konsolidasi kaedah – penyusunan usul fiqh, pemantapan disiplin hadis, penginstitusian pengajian.
  2. Arus polemik teologi – perbahasan metafizik yang cuba menjawab cabaran luar tetapi kerap spekulatif dan melampaui batas pemikiran manusiawi.

Kedua-duanya menjadi sebahagian daripada sejarah ilmu Islam.

Ilmu berkembang. Tetapi perkembangan itu tidak sentiasa seimbang. Di sinilah kematangan umat diuji – bagaimana membezakan antara usaha mempertahankan aqidah dan kecenderungan memasuki wilayah yang tidak dituntut.

Namun, dari ketegangan inilah, tradisi ilmu Islam terus bergerak – bukan dalam keseragaman mutlak, tetapi dalam dinamika yang akan membentuk institusi, mazhab dan peradaban yang lebih luas pada tahap seterusnya.

Tradisi Ilmu sebagai Asas Peradaban

Secara keseluruhan, tiga generasi terbaik telah meletakkan asas yang sangat kukuh.

Sahabat memelihara wahyu secara sistemik.
Tabi‘in membangunkan disiplin riwayat dan fiqh.
Tabi‘ al-tabi‘in mengkonsolidasikan kaedah dan memulakan penginstitusian yang lebih jelas.

Tradisi ilmu lahir daripada kesinambungan ini.

Peradaban Islam tidak muncul secara tiba-tiba dengan universiti dan perpustakaan besar. Ia tumbuh daripada kesedaran bahawa wahyu mesti dijaga, difahami dan diterapkan dengan kaedah yang tersusun. Daripada pengumpulan mushaf, kepada sistem isnad, kepada penyusunan fiqh,
kepada perbahasan yang menguji batas akal – terbentuklah satu rangka yang memungkinkan kelahiran institusi-institusi ilmu yang lebih formal pada tahap seterusnya.

Peradaban bukan sekadar hasil kekuatan politik. Ia lahir apabila ilmu yang dijaga dengan disiplin dan diwariskan dengan kesedaran sejarah.

Tiga generasi terbaik dalam sejarah Islam bukan hanya generasi yang soleh. Mereka adalah generasi yang memahami bahawa ilmu adalah amanah, dan amanah itu mesti dipelihara melalui kaedah yang dipandu oleh wahyu.

Daripada kaedah inilah, tamadun Islam yang agung, bangkit.