Generasi Dambaan Lahir Dari Ibu Yang Hebat

Menjadi ibu adalah satu anugerah mulia. Status mulia sebagai ibu ditunjukkan dengan banyaknya ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh berbuat baik kepada ibubapa. Malah, ada hadis yang menyebut tentang kecenderungan untuk memenuhi keperluan ibu terlebih dahulu, melebihi bapa. Seandainya seseorang solat sunat, beliau hendaklah menyahut panggilan ibunya apabila dikehendaki, walaupun ketika masih solat, menunjukkan betapa tingginya darjat ibu di sisi Allah sehingga ada kiasan Arab mengatakan bahawa syurga terletak di telapak kakinya.

Sungguhpun begitu, kemuliaan sebagai ibu bukan hanya kerana anak yang dikandungnya dengan susah payah di rahimnya selama sembilan bulan dan fasa-fasa seterusnya dalam kehidupan seorang anak sehingga dia boleh berdikari dan mandiri. Kemuliaan jauh dari jangkauan sehingga seseorang ibu berusaha untuk memahami akan peranannya dan siapakah idolanya, sehingga pada akhirnya dia mampu memaksimakan peranannya untuk melahirkan generasi soleh dan solehah penerus perjuangan memartabatkan Islam sebagaimana generasi salaf terdahulu.

Ketiadaan sistem kehidupan Islam yang melaksanakan hukum-hakam Islam secara keseluruhan, tidak adanya pemimpin untuk melindungi umat Islam agar mereka sejahtera di bawah lindungan seorang pemimpin dan tidak adanya negara Islam menyebabkan umat Islam dan ibu-ibu Muslimah khususnya, keliru dalam mencari siapakah idola mereka dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Jika idolanya adalah pemenang anugerah-anugerah ‘ibu mithali’ kerana kejayaan anak-anak mereka meraih ijazah selepas berhempas pulas di menara gading, maka peranan ibu hanya sebatas menghayati perjuangan ibu-ibu yang menerima anugerah-anugerah tersebut. Seterusnya, ibu-ibu ini akan membesarkan anak-anak sesuai dengan teladan yang ditunjukkan oleh ibu-ibu mithali ini tadi. Tidak hairan jika kita menyaksikan sesetengah ibu beranggapan, usai anak meraih segulung ijazah, maka permainan telah tamat atau ‘game over’. Di hari penyampaian anugerah cemerlang dan di hari konvokesyen, begitu gah ibu-ibu berswafoto bersama anak-anak dan berkongsi di laman sosial. Adakah cukup sekadar itu sahaja?

Jika ditelusuri sejarah, kita akan dapat melihat bagaimanakah ibu-ibu membesarkan dan mendidik anak-anak hingga menjadi ulamak dan ilmuwan hebat.

Ibu Imam Malik

Aliyah binti Syuraik adalah ibu kepada Imam Malik yang merupakan anak kepada Anas bin Malik, seorang sahabat Rasulullah SAW. Setelah kematian ayahnya, ibunya tidak pernah lalai mendidiknya sehingga Imam Malik hafaz al-Quran dalam usia muda dan seterusnya menghantarnya meneruskan pengajian hingga menguasai ilmu hadis. Suasana keilmuwan kota Madinah Munawwarah membantu Imam Malik dalam usaha gigihnya menuntut ilmu. Imam Malik memberitahu;

Aku berkata kepada ibuku, “Aku akan pergi untuk belajar” Ibuku berkata, “Kemarilah! Pakailah pakaian ilmu!” Lalu ibuku memakaikan aku mismarah (suatu jenis pakaian) dan meletakkan kopiah di kepalaku, kemudian memakaikan serban di atas kopiah itu. Setelah itu dia berpesan, “Sekarang, pergilah untuk belajar!” Dia juga pernah mengatakan, “Pergilah kepada Rabi’ah (guru Imam Malik)! Pelajarilah adabnya sebelum engkau pelajari ilmunya!” (‘Audatul Hijaab 2/207, Muhammad Ahmad Al-Muqaddam, Dar Ibul Jauzi, Kahirah, cet. Ke-1, 1426 H, Asy-Syamilah).

Ibu Imam As Syafie

Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah adalah ibu Imam As Syafie. Menurut Al Baihaqi, Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah berasal dari keturunan Al Azd di Yaman. Manakala sejarahwan lain menyebut bahawa beliau adalah ahlul bait iaitu keturunan Rasulullah SAW dari jalur Ubaidillah bin Hassan bin Hussein bin Ali bin Abi Thalib. Beliau merupakan seorang wanita cerdas dan merupakan madrasah pertama Imam Syafie. Ketika suaminya meninggal dalam usia muda dan Imam Syafie masih kecil, tiada harta yang diwarisi kepadanya namun beliau tetap berjuang memberikan pendidikan yang terbaik untuk anaknya.

Beliau membawa Imam Syafie berhijrah dari Gaza ke Mekah untuk mempelajari al-Quran dan menghafalnya ketika berusia 7 tahun. Setelah itu beliau dihantar ibunya ke penempatan yang masih mengekalkan bahasa Arab fushah. Belajar menunggang kuda dan memanah. Kekurangan harta sehingga beliau hanya mampu menulis di atas tulang kerana tidak mampu membeli kertas tidak sedikit menjejaskan kecintaannya terhadap ilmu. Kecerdasannya yang tinggi melayakkannya berfatwa ketika beliau berusia 15 tahun dibawah pengawasan gurunya iaitu Imam Malik.

Ibu Imam Ahmad Bin Hanbal

Shafiyah binti Maimunah adalah ibu kepada Imam Ahmad Bin Hanbal. Ayah Imam Ahmad meninggal pada usia 30tahun ketika Imam Ahmad masih kecil. Pengorbanannya membesarkan anak ini tanpa suami disisi telah membantu melahirkan seorang imam besar yang hebat yang dikagumi ilmu dan keperibadiannya. Berkata Adz-Dzahabi rahimahullah: “Yang menghadiri majlis Imam Ahmad ada sekitar 5,000 orang atau lebih. 500 orang menulis (pelajaran) sedangkan sisanya hanya mengambil contoh keluhuran adab dan keperibadiannya” (Siyaru A’lamin Nubala’ 21/373, Mu’assasah Risalah, Asy-syamilah).

Ibu Imam Bukhari 

Imam Bukhari membesar sebagai seorang anak yatim dan diasuh oleh ibunya dengan memberikannya pendidikan yang terbaik seiring dengan mendoakan dan memotivasikannya untuk melakukan amal soleh. Ketika berusia 16 tahun Imam Bukhari mula menimba ilmu di Mekah. Kehebatan Imam Bukhari hasil pengorbanan ibunya telah berjaya menjadikannya seorang ulama hebat, sehingga gurunya sendiri mengakui bahawa tidak ada orang yang lebih hebat darinya (dalam ilmu hadis).

Muslimah yang dirahmati Allah,

Mungkin terlintas di minda kalian bahawa kita dan ibu-ibu hebat kepada imam-imam besar yang disebutkan di atas adalah sangat berbeza. Mereka hidup di zaman kehebatan Islam dan tradisi menuntut ilmu yang amat gilang-gemilang sehingga lahirnya insan-insan cemerlang. Manakala kita hidup di zaman sekular, yang mana kezaliman berleluasa dan kecenderungan menuntut ilmu lebih kepada untuk meraih ganjaran di dunia.

Ketika maksiat dan kefasikan di sana-sini dan iman sangat-sangat diuji; berpegang teguh kepada ajaran Islam seolah-olah menggenggam bara api. Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api” [HR. Tirmidzi no. 2260]. Ketika menggenggam bara api dan keimanan diuji, ia perlukan kesabaran yang amat tinggi. Akan tetapi jika dia bersabar dan istiqamah untuk berpegang teguh kepada ajaran Nabi SAW, ganjaran yang hebat bakal menanti sebagaimana firman Allah SWT; “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” [TMQ Az-Zumar (39): 10].

Maka, jika balasan baik dari Allah yang kita impikan, marilah kita buangkan jauh-jauh bisikan-bisikan yang hanya menjadi justifikasi lemah dan malasnya kita meneladani kisah-kisah ibu-ibu zaman silam dalam mendidik dan membesarkan ulamak-ulamak hebat. Seterusnya, marilah kita perhatikan apakah pengajaran yang boleh kita halusi dan teladani.

Tidakkah kita perhatikan apakah pengorbanan yang diambil oleh ibu-ibu para imam-imam besar sehingga mereka dapat meraih kecemerlangan? Ibu Imam Syafie, Imam Malik dan Imam Ahmad kehilangan suami ketika anak-anak mereka masih kecil. Sebagai ibu tunggal, mereka memfokuskan kepada usaha mendidik anak-anak mereka dengan bersungguh-sungguh. Ibu Imam Malik, sungguhpun mereka hidup mewah akan tetapi beliau tidak pernah mengabaikan pendidikan anaknya, malah memberitahu anaknya untuk menguasai adab sebelum menguasai ilmu menunjukkan peri pentingnya seseorang yang memiliki ilmu yang hebat untuk sentiasa bersikap rendah hati sungguhpun memiliki ilmu yang tinggi.

Kisah ibu-ibu imam-imam besar itu sendiri menunjukkan bahawa melahirkan dan mendidik anak adalah seperti mencetak generasi baru hasil dari rahim ibu-ibu yang hebat. Adakah ibu-ibu hebat ini hanya mengharapkan guru-guru sahaja atau dirinya sendiri turut memiliki ilmu yang tinggi? Jika ibu-ibu para imam ini sendiri adalah orang-orang yang berilmu, ini bermakna untuk mencetak generasi akan datang untuk memperjuangkan Islam, para ibu hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mendalami ilmu.

Kota Rom yang disebutkan dalam bisyarah Nabi SAW menanti untuk dibebaskan.

Ini bermakna, ibu-ibu Muslimah hendaklah melipat gandakan usaha mendalami ilmu dan menggencarkan dakwah. Mendidik anak-anaknya dengan semaksima kemampuannya, sebagai bukti untuk ditunjukkan di hadapan Allah SWT bahawa mereka telah berusaha melahirkan generasi untuk sekali lagi mengembalikan Islam sehingga menjadi rahmatan lil alaamiin. Wallahu alam bisshawab.

Rujukan:

  1. https://muslim.or.id/23489-pelajari-dahulu-adab-dan-akhlaknya-baru-ilmunya.html
  2. http://kisahmuslim.com/5227-ibunda-para-ulama.html
  3. Sumber : https://rumaysho.com/10479-mereka-yang-memegang-bara-api.html
  4. http://ibnuhilmy.blogspot.my/2014/11/mengenal-lebih-dekat-orang-tua-imam.html

Oleh: Pn. Syifa’ Bukhari (Aktivis MHTM)