Modul PLKN Tidak Akan Mampu Melahirkan Orang Yang Hebat

plknPendidikan Kesihatan Reproduktif di dalam PLKN

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) akan dilaksanakan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mulai Mei ini bagi mendidik remaja mengenai bahaya gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat sekarang.  Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) diberi tempoh sehingga April untuk merangka modul dan menyediakan latihan kepada jurulatih sebelum ia dilaksanakan kepada kumpulan kedua PLKN tahun ini.  Beliau bagaimanapun menegaskan, PKRS bukan modul pendidikan seks, sebaliknya ia modul yang diperkenalkan bagi membina kekuatan minda remaja agar berupaya membangun menjadi seorang insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling menghormati antara satu sama lain.  “Ini bukan modul pendidikan seks. Ia adalah modul untuk mendedahkan para pelatih dengan permasalahan yang berlaku di kalangan masyarakat terutamanya yang melibatkan remaja. Ini adalah kokurikulum yang bersesuaian dengan kehendak semasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelepasan kumpulan pertama pelatih PLKN seramai 1,200 orang, bagi siri lapan untuk tahun 2011, di padang Bangunan Zetro, di Wangsa Maju di sini hari ini.  Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin serta Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.  Menurut Ahmad Zahid, modul baru itu mengambil kira keperluan serta sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini, berdasarkan konsep 1Malaysia dan pihaknya juga sudah mengarahkan JLKN supaya memastikan tiada pertindihan antara PKRS dengan modul sedia ada.  Dalam pada itu, beliau berkata, kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan PLKN semakin meningkat apabila seramai 3,000 remaja yang tidak terpilih telah memohon untuk menyertai program tersebut secara sukarela bagi tahun ini.  Katanya, ia merupakan satu perkembangan yang membanggakan berbanding ketika PLKN mula-mula diperkenalkan dahulu apabila rata-rata ibu bapa pada ketika itu membuat permohonan supaya penyertaan anak-anak mereka ditangguh atau dibatalkan.

Sumber: Utusan Malaysia 02/01/11

Modul PLKN Tidak Akan Mampu Melahirkan Orang Yang Hebat

Setelah masyarakat didedahkan kepada isu gejala sosial yang semakin serius, pelbagai pendekatan, modul dan program motivasi telah diperkenalkan oleh pihak pemerintah sekular Malaysia hari ini yang kononnya bertujuan untuk menyedarkan/memperbaiki individu-individu yang terlibat terutamanya golongan remaja. Salah satunya adalah dengan memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara. Di antara objektifnya adalah untuk menghasilkan individu yang perwatakan positif dengan memupuk nilai-nilai murni. Dari satu sudut, niatnya kelihatannya baik. Tetapi perlu difahami bahawa niat yang baik sahaja tidak memadai jika  ianya tidak disandarkan kepada amal perbuatan yang mengikuti kaedah yang betul. Bagi seorang Islam, kaedah yang betul di dalam melakukan perbuatan itu adalah dengan memastikan setiap perbuatan yang hendak dilakukan  wajib terikat dengan hukum-hakam syara’. Begitu jugalah dengan Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang akan dilaksanakan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mulai Mei ini. Apakah rujukan di dalam melaksanakan kaedahnya? Di manakah diletakkan Al Quran dan As Sunnah? Jika ianya tidak bersandarkan kepada Islam maka ianya langsung tidak ada ertinya di sisi Allah dan gejala sosial yang sedang melanda akan terus berlanjutan.

Zaid Hamidi seharusnya tahu bahawa acuan yang digunakan di dalam modul itu adalah acuan yang berakar umbi dari fahaman sekular. Di mana sekularisme adalah suatu aqidah yang melahirkan ideologi  kapitalisme sebagaimana yang sedang diguna pakai oleh pemerintah yang ada. Dan kita dapat melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana kerosakan yang berlaku di dalam kehidupan masyarakat hari ini yang berpunca daripada ideologi Kapitalisme. Suatu ideologi yang mengagungkan prinsip kebebasan di dalam bertingkah laku sehingga akhirnya melahirkan sebahagian besar manusia yang bersifat seperti binatang sepertimana yang dapat kita saksikan hari ini kerana hidup bertuhankan hawa nafsu. Hanya sistem pendidikan Islam yang diterapkan oleh Khilafah sahaja yang akan mampu melahirkan insan-insan yang hebat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Fakta sejarah telah membuktikannya.

“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. [TMQ Al Jumu’ah (62) : 2].