Pelatih PLKN Dijadikan Bahan Ujikaji

Cadangan Pendidikan Seks Di Kem PLKN Akan Dibincangkan Bulan Ini

KUCHING: Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan membincangkan cadangan memperkenalkan modul pendidikan seks dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dalam mesyuarat majlis itu pada bulan ini. Pengerusi MLKN Datuk Dr Tiki Lafe berkata mesyuarat majlis itu akan membincangkan pandangan dan maklum balas yang dikumpul dari pelbagai pihak oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara.  “Kami mahu mengajar pelatih lebih dari hanya penyakit HIV dan AIDS seperti yang dilakukan sekarang. Kami mahu memperkenalkan sebuah program yang lebih tersusun bagi mencapai objektif kami,” katanya.  

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan 81 peserta PKLN siri 7/2010 dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini semalam.  Dr Tiki mencadangkan supaya istilah pendidikan seks diubah kepada pendidikan gender agar ia lebih diplomatik, menyenangkan serta tidak mengelirukan rakyat.  Sementara itu, katanya, seramai 140,000 pelatih akan mengikuti PLKN bagi siri 7/2010 di 79 kem di seluruh negara tahun ini.  Beliau juga berkata Jabatan Latihan Khidmat Negara terpaksa menutup lima kem PLKN di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kerana tidak sesuai dan tidak selamat.  Antara sebab penutupan kem tersebut ialah infrastruktur yang sedia ada sudah usang dan tidak selamat serta pemilik tanah tidak memperbaharui perjanjian pajakan tanah dengan pengusaha kem, katanya.  “Kita akan memberi tempoh satu hingga dua tahun kepada pengusaha kem untuk menaiktaraf kem yang usang dan tidak selamat,” katanya sambil menambah sebelum ini terdapat 10 kem telah diarah tutup atas sebab yang sama. –BERNAMA

Sumber : mStar Online, 02/01/10

Pelatih PLKN Dijadikan Bahan Ujikaji

Inilah dunia kehidupan Kapitalisme. Manusia kerapkali dijadikan bahan uji atau istilahnya “trial and error” dalam membuat dasar ataupun polisi negara. Salah satu contohnya ialah cadangan untuk memperkenalkan modul pendidikan seks kepada para pelatih PLKN. Persoalannya ialah apakah yang akan menjadi kandungan modul pendidikan seks itu? Negara Barat seperti Amerika Syarikat sebagai contoh telah lama memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah mereka tetapi sehingga ke hari ini segala usaha mereka gagal untuk menyelesaikan masalah yang timbul dari gejala hubungan seks di kalangan masyarakat di sana. Diberitakan bahawa penyakit kelamin makin berleluasa di Amerika Syarikat (AS). Data yang ada menunjukkan bahawa jumlah kes chlamydia dan gonorea pada tahun lepas (2009) bertambah berbanding tahun sebelumnya. Para gadis yang berusia antara 15 – 19 tahun mendapat jangkitan chlamydia tertinggi berbanding kumpulan usia yang lain. 

Nampaknya pendekatan mereka dalam pencegahan penyakit ini dengan menekankan aktiviti seks yang selamat telah gagal menyelamatkan masyarakatnya.  Jika kita perhatikan secara menyeluruh masalah yang muncul,  punca sebenarnya adalah tidak diterapkan sistem sosial yang benar dalam kehidupan umat. Sistem ini adalah Islam. Masyarakat umat Islam pada hari ini telah disuntik dengan virus kebebasan bertingkah laku seperti mana kehidupan masyarakat kuffar Barat. Inilah sebahagian racun sekular yang menjalar dan membunuh secara senyap batang tubuh umat Islam.  Yakinlah wahai umat manusia! Berkumpullah seluruh cerdik pandai di kalangan kalian untuk mencari penyelesaian bagi pelbagai masalah manusia dan barang pasti kamu tidak akan dapat menemukan ubat yang paling mujarab kecuali Islam. Islamlah satu-satunya cara hidup yang dijamin oleh Allah SWT mampu menyelesaikan seluruh persoalan manusia sejak dulu, kini dan sehinggalah ke hari kiamat.

“dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam”. [TMQ An Nahl (16) : 89].

Hanya Khilafahlah satu-satunya institusi yang akan mampu dan bersedia untuk menerapkan Islam di dalam kehidupan manusia saat ini.