Kaji Khidmat Negara Singapura, PLKN Jadi Huru-hara

altKhidmat Negara Singapura dikaji

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kerajaan bercadang untuk mempelajari beberapa modul dan aspek yang diguna pakai oleh pihak Khidmat Negara Singapura (SNS) bagi memperkuatkan model Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, JLKN akan melawat Singapura pada 21 Julai ini bagi mengadakan perbincangan mengenai perkara itu termasuk melawat ke beberapa kem SNS.  “Kerjasama itu bukan berhasrat untuk mengikuti modul yang diguna pakai SNS tetapi ia adalah untuk menimba modul dan juga aspek yang boleh diserapkan bagi memperkuatkan modul JLKN.  “Matlamat utama program khidmat negara di Singapura adalah jelas berbeza dengan kita di mana modul yang disediakan JLKN adalah untuk membentuk, membina sahsiah dan keperibadian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN),” katanya.  Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pemilihan Pelatih-Pelatih PLKN Siri 9/2012 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr. Tiki Lafe; Ketua Setiausaha Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.  Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, seramai 140,000 daripada 515,697 remaja yang lahir pada 1994 terpilih untuk menyertai PLKN Siri 9 tahun depan. Kata beliau, 55 peratus daripada jumlah pelatih itu adalah lelaki, manakala selebihnya perempuan yang merangkumi 60 peratus bumiputera, 28 peratus Cina, 10 peratus India dan lain-lain sebanyak 2 peratus.  Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 5 Julai lalu telah mengeluarkan proklamasi bersesuaian dengan peruntukan Akta Latihan Khidmat Negara kepada remaja pada tahun itu dipertanggungkan mengikuti PLKN.  “Pemilihan yang dibuat secara rawak itu membolehkan semua bakal pelatih itu menyertai kursus yang diadakan selama tiga bulan di kem PLKN terpilih tahun depan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia: 09/07/11

Kaji Khidmat Negara Singapura, PLKN Jadi Huru-hara
Selepas memperkenalkan silibus modul Pendidikan Kesihatan Reproduksi Sosial (PKRS) kepada para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kini pihak yang terlibat bercadang pula untuk mempelajari beberapa modul dan aspek yang diguna pakai oleh pihak Khidmat Negara Singapura (SNS). Keadaan ini menggambarkan bagaimana pihak yang terlibat dalam menentukan dasar PLKN ini menggunapakai pendekatan “trial and error” dalam usaha mereka untuk “kononnya” membentuk, membina sahsiah dan keperibadian para pelatih PLKN. Walhal, sebagai sebuah negara yang diperintah oleh orang Islam, segala agenda dan perancangan yang berkaitan masyarakat itu sewajarnya diarahkan kepada usaha untuk melahirkan generasi yang bersahsiah Islam semata-mata. Sebaliknya kita pada hari ini terus mengekori tsaqafah dan hadarah kufur. Lihatlah, apabila pihak kafir barat memperkenalkan Pendidikan Seks dalam usaha mengatasi masalah sosial di kalangan golongan pelajar mereka, maka kita pun turut serta memperkenalkannya. Kini kita ingin menoleh pula kepada program yang diguna pakai oleh orang kafir dalam mengacu dan mencorakkan golongan muda mereka. Bukankah ini suatu tindakan yang hina dan tidak sewajarnya dilakukan oleh orang Islam?

Untuk tujuan itu, sewajibnya pihak yang berkenaan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan tauladan bagi tujuan untuk melahirkan individu-indidvidu yang bersahsiah dan bukannya dengan mengikuti kaedah dan pendekatan yang diguna pakai oleh orang-orang kafir. Rasulullah SAW telah pun membuktikan kepada kita bahawa baginda SAW telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh generasi muda yang bersahsiah hebat seperti generasi para sahabat. Siapa yang tidak mengenali kehebatan sahabat seperti Abu  Bakar, Umar, Uthman, Ali, Mus’ab, Bilal, Salman dan lain-lain. Kesemuanya lahir daripada proses pengkaderan dan pembinaan yang dilakukan oleh baginda SAW. Apakah Zaid dan yang lain tidak terfikir akan hal ini? Mengapakah akal dan hati mereka  tidak berfungsi untuk memahami bagaimana ideologi Islam telah berjaya mencetak dan melahirkan individu-individu yang hebat di sepanjang sejarah Islam? Apakah Zaid mengetahui bahawa untuk menjadikan seseorang individu itu bersahsiah Islam, maka fikrahnya (pola pemikiran) dan nafsiahnya (pola perilakunya) mestilah Islam. Mana mungkin generasi muda ini akan dapat dibentuk menjadi golongan yang bersahsiah Islam jika kita terus mengambil dan mengikuti modul pembinaan kufur untuk diterapkan. Tidak keterlaluan untuk kita mengatakan bahawa agenda PLKN adalah suatu program yang bermimpi di siang hari jika ianya tidak menjadikan Islam sebagai asas dan dasarnya.