Jual bayi untuk bahan pornografi

Seorang ibu di Indianapolis didakwa di mahkamah kerana menjual anaknya yang baru berusia 18 bulan kepada seorang lelaki untuk dijadikan bahan pornografi. Walaupun bayaran untuk transaksi itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah, Natisha Hillard dipercayai mengetahui bahawa anak perempuannya itu akan dijadikan bahan filem lucah oleh Christopher Bour. Bour berdepan dakwaan menghasilkan bahan pornografi membabitkan kanak-kanak. [1]

Kebejatan apa lagi yang belum pernah dilakukan oleh masyarakat barat sehingga bayi yang baru berusia 18 bulan juga menjadi mangsa daripada kebejatan ibunya sendiri yang sanggup menjualnya untuk aktiviti filem porno. Sememangnya industri filem porno bukanlah suatu perkara yang menyalahi undang-undang di barat. Sebuah kajian yang dilakukan oleh Eric Schlosser pada tahun 2003 menganggarkan bahawa hasil pendapatan daripada pornografi keterlaluan di Amerika Syarikat adalah setanding dengan hasil Hollywood di dalam negara itu [2]. Menurut kajian tersebut, video pornografi keterlaluan, laman internet, serta persembahan seks di hadapan penonton dan televisyen kabel menjana AS$10 bilion setahun.
Aktivis anti-pornografi, John L. Harmer yang pernah berkhidmat sebagai leftenan gabenor kepada Ronald Reagan, menganggarkan bahawa seluruh industri pornografi boleh menjana sehingga AS$500 juta setahun.[3]

Inilah secebis daripada kerosakan sistem kapitalisme yang diterapkan di barat. Negara Amerika yang merupakan kiblat ideologi kapitalis pada saat ini sudah tidak dapat menyembunyikan lagi pekung dan kebusukan idea-idea yang dijaja oleh mereka selama ini. Idea Hak Asasi Manusia yang sememangnya menjadi salah satu asas dalam sistem demokrasi telah menyebabkan masyarakatnya hidup dalam keadaan penuh dengan pelbagai kehinaan. Sudah sampai saatnya seluruh dunia berpaling daripada idea-idea yang rosak dan bejat ini serta kembali mengambil sistem yang dapat menjaga seluruh kemaslahatan mereka baik di dunia mahupun akhirat melalui penerapan syariah Islam di bawah naungan Khilafah Islamiyyah.

Sumber: Harian Metro, guardian.co.uk,
washingtonpost.com