Dari Warisan Ilmu Andalusia ke Transformasi Tamadun Barat – Siri 6

1. Dua Dunia Intelektual
Ketika tamadun Islam mencapai kemuncak perkembangan intelektualnya antara abad ke-9 hingga ke-12, dunia Mediteranean sebenarnya berada dalam dua suasana intelektual yang sangat berbeza. Di kota-kota Islam seperti Baghdad, Kaherah dan Cordoba, kegiatan ilmiah berkembang dengan pesat melalui jaringan ulama, perpustakaan besar dan institusi pendidikan yang tersusun. Tradisi keilmuan hidup dalam suasana perdebatan ilmiah, penulisan karya yang berterusan serta pengajaran yang diwariskan dari generasi ke generasi.
Sebaliknya di sebahagian besar Eropah, perkembangan ilmu sangat terbatas. Selepas kejatuhan Empayar Rom Barat pada abad ke-5, Eropah secara umumnya mengalami kemerosotan ekonomi dan sosial. Aktiviti pendidikan formal menjadi terhad, dan di banyak tempat, ilmu terpelihara hanya di biara-biara Kristian yang berfungsi sebagai pusat pengajian teologi dan penyalinan manuskrip. Dibandingkan dengan dunia Islam ketika itu, perkembangan ilmu di Eropah terfokus hanya kepada pengajian agama dan tafsiran teologi. Banyak karya falsafah Yunani masih belum diakses secara langsung oleh sarjana Eropah.
Dalam konteks inilah pertemuan antara Eropah dan dunia Islam membawa kesan yang besar terhadap sejarah intelektual Barat.
2. Andalusia dan Pemindahan Tradisi Ilmu
Sebagaimana yang dibincangkan dalam siri sebelumnya, Andalusia memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan dua dunia intelektual ini. Bandar-bandar seperti Cordoba, Seville dan Toledo menjadi pusat pertemuan antara sarjana Muslim, Yahudi dan Kristian. Dalam suasana inilah karya-karya ilmuwan Muslim mula diperkenalkan kepada dunia Latin melalui proses penterjemahan yang sistematik. Gerakan penterjemahan di Toledo pada abad ke-12 menjadi salah satu peristiwa penting dalam sejarah intelektual Eropah. Melalui usaha ini, dunia Latin diperkenalkan semula kepada karya-karya falsafah, terutama Aristotle, yang sebelumnya tidak diketahui secara meluas di Eropah.
Dalam konteks karya falsafah, buku-buku yang sampai ke Eropah bukanlah sekadar terjemahan langsung daripada teks Yunani asal. Sebahagian besar karya tersebut sampai melalui bahasa Arab, bersama tradisi tafsiran dan pengembangan falsafah dalam dunia Islam yang telah wujud selama beberapa abad. Sarjana Muslim seperti al-Farabi, Ibn Sina dan Ibn Rushd bukan sahaja memelihara karya Aristotle dan sarjana Yunani yang lain, tetapi turut menulis ulasan yang mendalam serta menghasilkan pemikiran falsafah yang bersifat asli.
Namun demikian, perlu diperhatikan bahawa walaupun tradisi penterjemahan karya falsafah Yunani serta penulisan komentar terhadapnya berkembang dalam dunia Islam, ia tidak pernah menjadi asas utama pembinaan tamadun Islam. Perkembangan tersebut berlaku sebagai sebahagian daripada dinamika intelektual yang lebih luas, tetapi tidak menentukan arah asas peradaban. Tonggak utama tamadun Islam tetap berakar pada tradisi ilmu yang berpaksikan wahyu, kepada al-Qur’an dan Sunnah. Dalam kerangka ini, akal dan pemikiran rasional mempunyai peranan penting, namun ia berfungsi sebagai alat untuk memahami alam dan menstrukturkan pengetahuan dalam batas pandangan yang dibimbing oleh wahyu.
Oleh itu, meskipun falsafah Yunani diterjemahkan dan dibahaskan oleh sebahagian sarjana Muslim, ia tidak pernah menjadi asas epistemologi kepada tamadun Islam. Sebaliknya, rasionaliti dalam tradisi Islam berkembang dalam keseimbangan dengan dimensi spiritual dan moral yang berpunca daripada wahyu, menjadikan hubungan antara akal dan agama bersifat saling melengkapi, bukan saling menggantikan.
Ketika karya-karya falsafah dari dunia Islam diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, sarjana Eropah bukan sekadar menerima teks, tetapi juga berhadapan dengan satu tradisi rasional yang telah dikembangkan secara mendalam di dunia Islam. Namun dalam konteks sejarah Eropah, unsur rasional ini berkembang pada arah yang berbeza. Falsafah secara beransur-ansur menjadi asas penting dalam pembentukan tradisi intelektual Barat, khususnya dalam perkembangan universiti, falsafah skolastik dan kemudian rasionalisme moden.
Dengan kata lain, Barat mewarisi unsur rasional yang telah diperkaya oleh sarjana dunia Islam melalui terjemahan dan komentar falsafah, tetapi mengembangkannya dalam kerangka yang semakin memberi autonomi kepada akal manusia. Perkembangan inilah yang akhirnya membentuk trajektori intelektual Barat yang berbeza daripada tradisi ilmu dalam tamadun Islam.
Selain falsafah, karya-karya dalam bidang matematik, astronomi dan perubatan turut diterjemahkan secara meluas. Kitab al-Qanun fi al-Tibb karya Ibn Sina menjadi rujukan utama dalam pengajian perubatan di universiti-universiti Eropah selama beberapa abad. Begitu juga karya pembedahan al-Zahrawi dan karya matematik al-Khwarizmi yang memperkenalkan konsep algebra kepada dunia Barat.
Melalui proses ini, Eropah bukan sekadar menerima teks. Mereka mewarisi satu tradisi intelektual yang menekankan rasionaliti, analisis sistematik dan penyelidikan mendalam terhadap alam.
3. Ilmu dan Ketegangan dengan Gereja
Kemasukan tradisi rasional ini tidak berlaku tanpa ketegangan. Dalam masyarakat Eropah abad pertengahan, gereja bukan sahaja merupakan institusi agama tetapi juga autoriti intelektual utama. Banyak bidang pengetahuan berada di bawah pengawasan teologi, dan tafsiran gereja terhadap alam serta manusia dianggap sebagai satu-satunya kerangka rujukan yang sah.
Falsafah Aristotle yang diperkenalkan melalui ulasan sarjana Muslim memberi penekanan yang kuat kepada peranan akal dalam memahami alam. Pendekatan ini kerap dilihat sebagai mencabar tafsiran teologi yang dominan. Pada awal abad ke-13, beberapa karya Aristotle pernah dihadkan pengajarannya di Universiti Paris kerana dianggap berpotensi menimbulkan kekeliruan teologi. Namun demikian, pengaruh falsafah rasional tersebut semakin meluas dalam kalangan sarjana Eropah, sehingga mencetuskan perdebatan intelektual yang mendalam mengenai hubungan antara rasionaliti dan autoriti gereja.
Ketegangan ini tidak hanya berlaku dalam bentuk perdebatan akademik, tetapi kadangkala membawa kepada tindakan keras terhadap para pemikir. Pada tahun 1600, ahli falsafah Itali Giordano Bruno dihukum mati oleh Inkuisisi Rom selepas mempertahankan pandangan kosmologi yang dianggap bertentangan dengan doktrin gereja. Beberapa dekad kemudian, ahli astronomi Galileo Galilei dibicarakan oleh Inkuisisi kerana menyokong model heliosentrik yang dikemukakan oleh Nicolaus Copernicus, iaitu pandangan bahawa bumi mengelilingi matahari. Galileo akhirnya dipaksa menarik balik pendapatnya dan hidup di bawah tahanan rumah sehingga akhir hayatnya.
Peristiwa-peristiwa seperti ini menggambarkan ketegangan mendalam antara usaha memahami alam melalui rasionaliti dan autoriti teologi yang dominan pada zaman tersebut. Dalam jangka panjang, perdebatan ini menjadi salah satu faktor yang membentuk perubahan besar dalam sejarah intelektual Eropah, apabila ruang bagi pemikiran rasional dan penyelidikan saintifik semakin berkembang di luar kerangka kawalan gereja.
4. Kebangkitan Rasionalisme Barat dan Sekularisme
Dalam beberapa abad berikutnya, tradisi rasional ini berkembang lebih jauh dalam pemikiran Barat. Tokoh seperti Roger Bacon menekankan kepentingan eksperimen dan pemerhatian empirikal dalam memahami alam. Pada abad ke-17, René Descartes memperkenalkan pendekatan falsafah yang menjadikan rasionaliti manusia sebagai asas pencarian kebenaran. Pemikiran ini kemudiannya diteruskan oleh tokoh-tokoh Enlightenment seperti John Locke, Voltaire dan Immanuel Kant yang menekankan kebebasan akal manusia. Dalam kerangka ini, ilmu semakin berkembang dan bergerak bebas daripada autoriti teologi. Rasionaliti manusia menjadi sumber utama penentuan kebenaran.
Perkembangan ini akhirnya melahirkan sebuah tradisi intelektual yang dikenali sebagai sekularisme – pemisahan tradisi agama dari kehidupan dunia.
Transformasi ini membawa perubahan besar dalam pandangan alam dan kehidupan dari kaca mata Barat. Dalam tradisi intelektual Islam, ilmu berkembang dalam kerangka yang menghubungkan wahyu dan akal. Namun dalam konteks sejarah Eropah, konflik antara rasionalisme dan autoriti gereja membawa kepada pemisahan antara agama dan kehidupan dunia yang merangkumi politik, ekonomi, sosial, termasuklah perkembangan ilmu ‘duniawi’. Akibatnya, sains dan falsafah berkembang sebagai disiplin yang bebas daripada kerangka teologi.
Pendekatan ini membawa kepada perkembangan sains yang pesat, tetapi pada masa yang sama membawa kepada pemisahan fatal antara ilmu dan kerohanian.
5. Kapitalisme dan Projek Kuasa Global
Transformasi intelektual ini juga membawa perubahan besar dalam struktur ekonomi dan politik Barat. Apabila rasionaliti tidak dipandu dengan wahyu dan kepentingan material menjadi orientasi utama, sistem kapitalisme berkembang sebagai pegangan ideologi tamadun Barat. Kapitalisme menekankan kebebasan individu serta menjadikan pengumpulan keuntungan material sebagai prinsip asas yang menggerakkan dan membentuk sebahagian besar aktiviti manusia. Walaupun sistem ini membawa kepada kemajuan teknologi dan perkembangan ekonomi yang pesat di Eropah, ia juga membentuk orientasi tamadun yang menilai kemajuan hanya dari sudut manfaat materialistik semata-mata
Perkembangan ini, yang disertai dengan kemajuan pesat dalam ilmu navigasi, kartografi serta teknologi maritim, membuka ruang kepada kuasa-kuasa Eropah untuk memulakan era penjelajahan global sejak abad ke-15. Kapal-kapal yang lebih tahan lasak, penggunaan kompas dan astrolab yang semakin tepat, serta pengetahuan geografi yang berkembang pesat membolehkan pelayaran jarak jauh merentasi lautan, yang sebelum ini dianggap berbahaya. Akhirnya, kegiatan penjelajahan ini secara beransur-ansur berkembang menjadi satu sistem penguasaan geopolitik yang luas.
Kuasa-kuasa Eropah seperti Sepanyol, Portugal, Belanda, Perancis dan Britain mula membina rangkaian pengaruh yang merentasi Asia, Afrika dan benua Amerika. Pada peringkat awal, kegiatan ini sering digambarkan sebagai usaha perdagangan dan penerokaan, namun dalam realiti sejarah ia berkembang menjadi struktur penjajahan yang sistematik. Melalui penguasaan laluan perdagangan, pembinaan pelabuhan strategik serta pengembangan kuasa ketenteraan, wilayah-wilayah yang luas akhirnya berada di bawah dominasi kuasa-kuasa kolonial tersebut.
Sejarah menunjukkan bahawa perluasan kuasa Eropah sejak awal zaman moden meliputi eksploitasi sumber alam dan tenaga manusia secara besar-besaran. Kekayaan dari wilayah-wilayah yang dikuasai – sama ada dalam bentuk logam berharga, hasil pertanian, atau tenaga buruh – dialirkan secara sistematik ke pusat-pusat kuasa di Eropah. Dalam banyak keadaan, proses ini membawa kepada kemusnahan struktur sosial tempatan, pemaksaan sistem politik dan ekonomi baharu, serta penderitaan yang berpanjangan bagi masyarakat yang berada di bawah pemerintahan kolonial. Oleh itu, pembinaan kekuatan ekonomi dan politik dunia Barat moden tidak dapat dipisahkan daripada sejarah panjang penguasaan kolonial yang membentuk sebahagian besar struktur dunia hari ini.
Perkembangan ini berlaku seiring dengan kemajuan pesat dalam ilmu pengetahuan dan teknologi di Eropah. Kemajuan saintifik yang lahir daripada revolusi intelektual Barat memberikan keupayaan teknikal yang besar kepada kuasa-kuasa Eropah untuk menguasai wilayah yang luas serta mengawal jaringan perdagangan global. Namun dalam konteks sejarah kolonialisme, kemajuan ilmu tersebut tidak hanya berfungsi sebagai alat untuk memahami alam, tetapi juga menjadi instrumen kuasa yang memperkukuh dominasi politik dan ekonomi kuasa kolonial di pelbagai bahagian dunia.
Perjalanan sejarah ini sekali gus memperlihatkan perbezaan yang mendasar dalam cara dua tamadun besar memahami kedudukan ilmu dalam kehidupan manusia. Dalam tradisi intelektual Islam, ilmu tidak dilihat sekadar sarana untuk mencapai kemajuan material atau penguasaan terhadap alam. Ia berkait rapat dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di bumi serta hubungan manusia dengan Tuhan. Pengetahuan tentang alam dianggap sebagai sebahagian daripada usaha memahami tanda-tanda kebesaran Ilahi, dan penggunaannya perlu sentiasa berada dalam kerangka etika serta tanggungjawab moral yang dibentuk oleh wahyu.
Sebaliknya, dalam perkembangan pemikiran Barat moden, ilmu semakin difahami dalam kerangka sekular yang memisahkan kegiatan intelektual daripada panduan wahyu. Dalam kerangka ini, rasionaliti manusia dan kemampuan saintifik menjadi asas utama dalam menentukan arah perkembangan pengetahuan. Kemajuan teknologi dan penguasaan terhadap alam sering dijadikan ukuran utama kemajuan tamadun, manakala dimensi spiritual semakin terpinggir daripada struktur pengetahuan yang dominan.
Perbezaan pandangan alam ini membantu menjelaskan mengapa perkembangan ilmu dalam dua tamadun yang sama-sama memiliki tradisi intelektual yang kaya akhirnya menghasilkan trajektori sejarah yang berbeza. Asas falsafah yang berlainan terhadap makna ilmu, tujuan kemajuan dan hubungan manusia dengan alam membentuk corak perkembangan tamadun yang tidak sama, serta meninggalkan kesan yang berpanjangan terhadap perjalanan sejarah dunia.
6. Persoalan Tamadun
Sejarah perpindahan ilmu dari dunia Islam ke Eropah memperlihatkan satu ironi yang mendalam. Tradisi intelektual yang berkembang pesat dalam tamadun Islam akhirnya memberi sumbangan penting kepada kebangkitan Barat. Namun dalam konteks sejarah Barat, tradisi tersebut mengalami transformasi yang melahirkan satu bentuk tamadun yang bergerak pada arah yang berbeza dari tamadun Islam.
Perkembangan ini membawa kepada satu persoalan besar dalam sejarah tamadun manusia. Mengapa dunia Islam yang pernah memimpin dunia dalam bidang ilmu akhirnya kehilangan momentum intelektualnya? Mengapa pula warisan ilmu yang sama berkembang dengan begitu pesat di Barat?
Persoalan ini tidak dapat dijawab hanya dengan melihat pemindahan ilmu semata-mata. Ia menuntut penelitian terhadap hubungan yang lebih mendalam antara ilmu, struktur politik, kestabilan sosial dan visi tamadun. Ia merupakan sebuah persoalan ideologis.
Persoalan inilah yang akan menjadi fokus dalam siri seterusnya, apabila kita meneliti faktor-faktor yang membawa kepada kemerosotan budaya ilmu dalam dunia Islam.