RCI Tabung Haji: Cerminan kerosakan sistem kapitalisme – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengejutkan negara dengan pembongkaran kerugian, kelemahan pengurusan, pembahagian keuntungan dan bonus yang tidak wajar, perakaunan kreatif, dan pelbagai masalah lagi yang membelenggu institusi tersebut.
Lebih menimbulkan tanda tanya, laporan yang dikatakan siap sejak 2022 itu hanya didedahkan selepas tiga tahun, tambahan pula di saat berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan parti-parti kerajaan berada dalam keadaan lemah dalam menghadapi pasukan pembangkang.
Namun, adakah skandal ini sekadar soal segelintir individu yang tamak, atau cerminan kepada sesuatu yang jauh lebih mendasar? Demikian antara persoalan yang dikupas oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam siaran langsung program mingguan Kupas Tuntas bertajuk “RCI Tabung Haji: Membongkar Hakikat Sistem Kapitalisme” pada 1 Ogos 2026.
Mengulas dari sudut muamalah — satu sudut yang menurut beliau tidak disentuh banyak pihak — Jurucakap HTM itu menyoroti tiga perkara dalam laporan tersebut. Pertama, dividen yang dibayar kepada pendeposit pada hakikatnya sama statusnya dengan riba, cuma menggunakan nama yang berbeza.
Kedua, hibah atau keuntungan yang dihasilkan oleh Tabung Haji, dan dikongsikan dengan pendeposit adalah salah, kerana akad antara pendeposit dengan TH adalah akad simpanan, bukan akad syirkah (perkongsian perniagaan); sesiapa yang menyimpan RM1,000 sepatutnya akan mempunyai RM1,000 dalam akaun, bukan lebih. Tabung Haji tidak boleh menggunakan wang pendeposit untuk melabur, kerana ia merupakan wang amanah untuk simpanan, bukan untuk dibuat berniaga, tegas beliau.
Ketiga, bonus yang dibayar kepada pegawai-pegawai tertinggi menjadi haram apabila dibayar daripada wang pendeposit, kerana pegawai tertinggi TH hakikatnya adalah pekerja yang menerima gaji. Bonus hanya sah menurut beliau jika datang sepenuhnya daripada majikan (kerajaan) daripada duit kerajaan sendiri.
Menyentuh dakwaan bahawa ketiadaan nama individu yang disalahkan bermakna tiada kesalahan berlaku, beliau menjelaskan bahawa RCI bukanlah mahkamah. Fungsinya menyiasat dan mendedahkan apa yang berlaku, bukan menentukan siapa yang bersalah. Justeru, tegas beliau, ketiadaan nama yang disalahkan tidak bermaksud tiada pihak yang bersalah, dan wajar pihak berwajib seperti PDRM dan SPRM turun menyiasat serta mendakwa mereka yang bersalah di mahkamah.
Apa yang pasti daripada laporan tersebut, menurut beliau, Tabung Haji mengalami kerugian sehingga liabilitinya melebihi aset, di samping wujudnya pelanggaran peraturan, pelaburan bermasalah, kelemahan pengurusan dan campur tangan politik — cukup untuk menyimpulkan something is wrong somewhere.
Beliau seterusnya membawa perbincangan kepada punca sebenar skandal. Menurut beliau terdapat dua punca utama. Pertama, punca individu iaitu ketamakan dan pengkhianatan amanah — di sini beliau membawakan sabda Rasulullah (saw) bahawa sekiranya anak Adam memiliki selembah emas nescaya dia menginginkan dua, dan tiada yang terhenti daripada memenuhi mulutnya melainkan tanah (kematian).
Namun punca yang lebih mendasar, tegas beliau, ialah sistem itu sendiri. Sistem di Malaysia adalah demokrasi yang lahir daripada ideologi kapitalisme, yang berpaksikan manfaat tanpa mengira halal dan haram serta bertunjangkan riba dan saham spekulatif.
Dalam acuan sistem kapitalisme ini, wang tidak boleh dibiarkan “duduk diam” tetapi mesti “diberanakkan”. Maka walaupun namanya Tabung Haji dan berbunyi Islamik, fungsinya tidak ubah seperti bank yang mengambil deposit lalu melaburkannya di sana sini. Dalam sistem sedemikian, kata beliau, pemerintahan itu sendiri menjadi perniagaan — ruling is business — dan di situlah terbuka seluas-luas ruang untuk penyelewengan.
Menjawab dakwaan bahawa Tabung Haji telah pulih tanpa mengubah sistem, beliau mengingatkan agar umat Islam tidak tertipu, kerana pemulihan itu berlaku melalui bail out dan pemindahan aset bermasalah kepada syarikat kerajaan lain — umpama ubat penahan sakit sementara, yang tidak akan menyembuhkan penyakit sebenar.
Malah, katanya, skandal seperti ini akan berulang selagi sistem yang sama dikekalkan. Beliau turut menolak pandangan bahawa masalah akan selesai jika melantik individu yang soleh; mengambil analogi orang soleh yang bekerja di bank ribawi, keperibadian soleh tidak akan membetulkan sistem yang rosak — individu bertakwa dan sistem yang berpaksikan Islam kedua-duanya mesti seiring.
Justeru, solusinya adalah menggantikan sistem kapitalisme-sekular ini dengan sistem Islam secara menyeluruh. Beliau membawakan sabda Rasulullah (saw) yang mengumpamakan Madinah sebagai al-kir (relau tukang besi) yang membersihkan karat dan segala kotoran lalu menyerlahkan yang baik — menggambarkan bagaimana suasana dalam Negara Islam mendorong manusia kepada kebaikan dan membuang kejahatan.
Dalam Negara Islam (Khilafah), tiada pintu kejahatan yang akan dibuka sehingga penyelewengan sukar untuk berlaku, dan tambahan lagi wujudnya Mahkamah Mazalim yang akan mengawal dan memecat mana-mana penjawat awam bahkan Khalifah sekalipun apabila didapati bersalah.
Beliau turut mengingatkan mereka yang suka mengkhianati amanah akan beratnya dosa mengambil harta secara ghulul (curang) iaitu harta yang diambil tanpa hak yang pelakunya akan diazab dengan berat di akhirat berdasarkan apa yang tercatat dengan jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.
Di penghujung perbincangan, Jurucakap HTM itu menegaskan bahawa skandal Tabung Haji ini bukan sekadar soal beberapa individu yang bermasalah, tetapi cerminan kepada sebuah sistem kapitalisme yang telah rosak dari akar umbi. Selagi sistem sekular-kapitalis ini masih tegak dan tidak diganti dengan pemerintahan Islam (Khilafah), tegas beliau, umat tidak akan menemui penyelesaian sebenar
Sistem ini sudah tidak boleh dibaiki tegas beliau, tetapi wajib diganti. Beliau menyeru umat Islam agar bersama-sama Hizbut Tahrir memperjuangkan tegaknya semula Khilafah di atas manhaj kenabian, sebagai satu-satunya solusi tuntas, selain merupakan jalan yang diredhai Allah (swt).