Revolusi Julai Setelah Dua Tahun: Mengapa Perjalanan Bangladesh Masih Belum Selesai?

Dua tahun telah berlalu sejak detik bersejarah Sheikh Hasina melarikan diri dari Bangladesh. Bagi rakyat yang telah lama hidup di bawah penguasa diktator, kejatuhan seorang penguasa zalim membawa kelegaan besar setelah bertahun-tahun berhadapan dengan penindasan.
Namun, ulang tahun Revolusi Julai di Bangladesh bukan sekadar masa untuk meraikan kemenangan atau menentukan pihak yang paling berhak menerima penghargaan, ia seharusnya menjadi ruang untuk menilai sejauh mana aspirasi atau kehendak sebenar rakyat telah terlaksana.
Sheikh Hasina telah pergi, tetapi persoalan yang lebih penting masih belum terjawab: adakah Bangladesh benar-benar sudah merdeka daripada penguasaan asing, atau sekadar berpindah daripada satu bentuk dominasi kepada bentuk dominasi yang lain?
Perjuangan yang tidak bermula pada Julai 2024
Perjuangan menentang rejim Sheikh Hasina tidak bermula ketika kebangkitan rakyat tercetus pada Julai 2024. Perjalanannya telah berlangsung sejak 2009, apabila tragedi Pilkhana meragut para pegawai tentera yang ikhlas dan berani dalam sebuah konspirasi terhadap negara.
Sejak peristiwa tersebut, kerjasama rejim Hasina dengan India telah didedahkan dan ditentang secara konsisten. Ketika banyak pihak memilih untuk berdiam diri, para pendukung perubahan terus memikul pengorbanan serta mempertahankan pendirian mereka.
Apabila kebangkitan 2024 meletus dan jalan-jalan bertukar menjadi medan pertembungan antara rakyat dengan rejim, Hizbut Tahrir hadir pada hari-hari awal yang genting dengan seruan dan panduan politiknya kepada umat serta para pemilik kekuatan. Peranan ini bukan muncul secara tiba-tiba ketika kemenangan semakin hampir, tetapi merupakan kesinambungan daripada perjuangan panjang menghadapi rejim dan campur tangan asing.
Kejatuhan seorang penguasa belum menyempurnakan revolusi
Sheikh Hasina akhirnya melarikan diri ke India. Kejatuhannya merupakan kemenangan penting, tetapi bukan penamat perjuangan. Revolusi Julai masih belum sempurna kerana tuntutan rakyat jauh lebih besar daripada sekadar menyingkirkan seorang individu daripada tampuk pemerintahan.
Rakyat Bangladesh bukan hanya mahukan pertukaran wajah atau perubahan kosmetik. Akidah Islam yang dimiliki umat Islam, berserta keinginan untuk mencapai kemerdekaan sebenar daripada dominasi kuasa penjajah menjadi dorongan yang jauh lebih mendalam. Umat Islam tidak mahu tunduk kepada kafir India dan juga tidak mahu menjadi boneka Amerika. Mereka mahu bebas daripada seluruh belenggu asing yang menentukan politik, keselamatan dan masa depan mereka dan negara mereka.
Namun, kebebasan yang diperjuangkan dengan pengorbanan besar itu kini berisiko diserahkan kembali kepada kuasa penjajah Barat. Jika pengaruh sebuah kuasa asing hanya digantikan dengan pengaruh kuasa asing yang lain, perubahan tersebut tidak boleh dianggap sebagai kemerdekaan hakiki. Itulah sebabnya revolusi ini masih belum mencapai matlamat sebenar yang diimpikan rakyat dan diperjuangkan oleh para pemuda yang inginkan perubahan.
Daripada revolusi yang belum selesai kepada perubahan hakiki
Bangladesh kini berada pada satu persimpangan penting. Pengaruh kuasa-kuasa penjajah asing sebenarnya sedang melemah, sekali gus membuka peluang untuk rakyat membetulkan haluan negara. Namun, peluang politik tidak akan kekal selama-lamanya. Jika rakyat gagal bertindak ketika ruang perubahan sedang terbuka, kuasa-kuasa asing akan kembali menyusun cengkaman mereka melalui tali barut yang akan diangkat ke pemerintahan, membina institusi dan dasar yang baharu.
Revolusi yang sebenar tidak memadai dengan menjatuhkan seorang penguasa, kemudian membiarkan sistem lama dan hubungan pergantungan asing terus berfungsi. Perubahan hakiki menuntut sebuah kepimpinan politik yang memiliki visi jelas, asas ideologi yang kukuh serta perancangan pemerintahan yang bersedia untuk dilaksanakan.
Hizbut Tahrir bekerja keras di seluruh dunia untuk memimpin umat dalam menegakkan Khilafah. Ia tampil bukan sebagai satu kelompok yang terpisah dari umat, tetapi bersama-sama umat, dan membimbing umat untuk mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah. Ia telah melengkapkan dirinya untuk memimpin dunia daripada sebuah “revolusi yang belum selesai” menuju “revolusi sebenar”. Persediaan tersebut merangkumi sebuah perlembagaan yang lengkap, para pemimpin, ulama dan cendekiawan yang ikhlas serta barisan para pemuda yang sudah menyerahkan diri mereka kepada Allah demi menegakkan agama-Nya.
Di sepanjang perjuangannya, Hizbut Tahrir berpegang teguh dengan hukum syarak dan tidak berkompromi sedikit pun dengan hal-hal yang bercanggah dengan Islam. Keteguhan ini membezakan perjuangan yang berasaskan manfaat oleh banyak pihak, yang sentiasa menukar prinsip demi kepentingan peribadi atau kelompok, berbaik dengan kuasa asing atau demi mendapat kedudukan dalam pemerintahan.
Bangladesh tidak memerlukan penyusunan semula sistem lama yang masih bergantung kepada kuasa penjajah. Bangladesh memerlukan kepimpinan yang mampu membawanya menuju kesejahteraan, keselamatan, kemuliaan dan kemerdekaan sebenar melalui penegakan Khilafah Rasyidah yang dijanjikan berdasarkan manhaj kenabian.
Tanpa penyatuan rakyat dan perjuangan ikhlas di bawah sebuah kepimpinan yang jelas misi dan visinya, Revolusi Julai akan terus menjadi cita-cita yang tidak tertunai. Pengorbanan besar rakyat yang telah dicurahkan demi revolusi tidak boleh dibiarkan berakhir dengan pertukaran elit, perubahan slogan atau penyerahan semula keputusan negara kepada kuasa luar.
Jangan biarkan peluang ini berlalu
Rakyat Bangladesh kini berhadapan dengan sebuah pilihan yang menentukan masa hadapan mereka: melengkapkan perjalanan revolusi dengan memutuskan dominasi asing dan menerapkan Islam secara menyeluruh, atau membiarkan kemenangan Julai kehilangan maknanya sedikit demi sedikit.
Peluang ini tidak boleh disia-siakan. Seruan Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) mesti disambut kerana hanya Allah (swt) yang memberikan kehidupan sebenar kepada umat dan membangkitkan mereka daripada kehinaan menuju kemuliaan.
Allah (swt) berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُم
“Wahai orang-orang yang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup.” [Al-Anfal (8): 24].
Revolusi Julai telah membuktikan bahawa seorang penguasa zalim boleh dijatuhkan apabila rakyat bangkit dan ketakutan mereka berjaya diatasi. Namun, pelajaran yang lebih besar ialah kejatuhan seseorang penguasa belum menjamin kemerdekaan sebuah negara. Kemerdekaan hakiki hanya akan tercapai apabila seluruh bentuk dominasi penjajah disingkirkan dan urusan rakyat kembali dipimpin berdasarkan Islam.
Dua tahun selepas Sheikh Hasina melarikan diri, isu yang wajib dilihat bukan lagi kejayaan Revolusi Julai menjatuhkan rejim lama. Isunya sekarang ialah: adakah rakyat Bangladesh bersedia menyempurnakan revolusi tersebut dan membina masa depan yang benar-benar bebas, bermaruah dan berpaksikan Islam?