Pasca Revolusi : Tunisia Berubah Wajah Namun Sistem Tetap Sama

Pada bulan Januari 2013, genap dua tahun berlakunya Revolusi Arab yang bermula di Tunisia. Kini, ibu kepada pencetus revolusi yang sedang berlangsung ini seakan-akan belum menunjukkan sebarang tanda-tanda perubahan yang diinginkan oleh rakyat. Tatkala ramai yang mengatakan bahawa telah terjadi sebuah perubahan selepas revolusi, namun yang sulit untuk dinafikan adalah masih banyak keadaan yang tidak berubah dan masih tetap sama. Kejadian membunuh diri dengan membakar diri sendiri berlaku semula di Tunisia. Seorang peniaga rokok, Adel Khadri, 27 tahun telah membakar dirinya di sebatang jalan dan meninggal dunia akibat melecur teruk di seluruh badan seolah-olah mengulangi kejadian yang berlaku 2 tahun lalu sebelum tercetusnya revolusi [1].

Setelah puluhan tahun rakyat berada di bawah penindasan, kemudian pemerintah sementara telah menggantikan pemerintahan Ben Ali lalu pilihanraya pun berlangsung pada bulan Oktober 2011. Parti Islam di negara itu, parti Ennahda telah memenangi pilihanraya dengan mendapat 90 daripada 217 kerusi  lalu membentuk pemerintahan gabungan dengan parti-parti sekular yang memenangi tempat kedua dan ketiga bilangan kerusi terbanyak dalam parlimen. Pada ketika itu, adalah sukar untuk menutup kelantangan suara-suara Islam di dalam pilihanraya sehingga suasana dan perasaan Islam yang menebal itulah yang menjadi faktor rakyat memberikan mandat kepada parti Islam itu sehingga mengejutkan banyak pihak di wilayah itu dan di negeri-negeri lain di sekitarnya. Dengan mandat yang besar itu, para politikus Islam telah mengambil posisi pemerintahan mereka dan rakyat Tunisia pun menunggu-nunggu agar hukum-hakam Islam dan nilai-nilai Islam yang mereka harap-harapkan itu dapat diterapkan ke dalam masyarakat.

Akhirnya revolusi rakyat yang menginginkan perubahan hanya tinggal sebagai janji dan harapan. Setelah berjaya mendapatkan ‘tiket Islam’, draf perlembagaan telah pun diumumkan kepada rakyat pada bulan Ogos 2012. Parti Ennahda menegaskan bahawa mereka tidak akan menjadikan syariat sebagai sumber hukum dalam perlembagaan yang baru dan akan terus mempertahankan sifat sekular negara itu. Ennahda bersikap tegas bahawa mereka akan terus mempertahankan fasal pertama perlembagaan 1956 dalam undang-undang dasar yang baru. Fasal itu mengabadikan pemisahan antara agama dan negara dengan menyatakan bahawa, “Tunisia adalah sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat, beragama Islam, berbahasa Arab dan merupakan sebuah negara republik.” “Kami tidak akan menggunakan undang-undang untuk memaksakan agama”[2], kata pemimpin parti Ennahda, Rachid Ghannouchi kepada para wartawan setelah parti-parti gabungan melakukan undian untuk mempertahankan fasal perlembagaan dengan 52 suara melawan 12 suara. Tambahnya lagi, “fasal itu merupakan kesepakatan daripada semua lapisan masyarakat, demi meneruskan identiti Arab-Muslim Tunisia dan juga menjamin prinsip-prinsip negara yang demokratik dan sekular.“

Parti Ennahda didirikan pada tahun 1980 dengan mengikuti model Ikhwanul Muslimin di Mesir dan dalam dua dekad yang terakhir ini, ia telah menjadi lebih ‘selesa dan serasi’ dengan idea-idea sekularisme. Pada hari ini, parti politik Islam tersebut telah memiliki banyak persamaan dengan parti-parti sekular berbanding citra Islam yang seharusnya diperjuangkan. Parti ini menjadi mirip dengan Parti AKP di Turki yang menjadikan Islam sebagai slogan luarannya sahaja, tetapi tidak di dalam perjuangannya.

Walhal, umat Islam Tunisia memilih parti Islam tersebut ketika pilihanraya kerana sentimen keIslaman mereka. Parti Ennahda telah menunjukkan wajah sebenar mereka setelah berkuasa bahawa mereka tidak memiliki sebarang cita-cita dan matlamat untuk menerapkan Islam, jauh sekali untuk menegakkan negara Islam. Tunisia telah menjadi satu-satunya negara umat Islam yang menyaksikan seorang pemimpin negara terusir begitu sahaja, lalu digantikan dengan parti Islam yang secara terbuka mengisytiharkan untuk mempertahankan sistem sekular yang ada. Beberapa solekan perubahan palsu yang dibuat langsung tidak memberikan sebarang peranan kepada Islam. Pemimpin Ennahda, Rachid Ghannouchi ketika ditanya dalam wawancara tentang menegakkan sebuah negara Khilafah setelah memenangi pilihanraya, dia telah menjawab dengan mengatakan, “Jelas, kami adalah sebuah negara bangsa. Kami menginginkan pemerintah untuk reformasi Tunisia, bagi negara Tunisia. Adapun isu Khilafah, hal ini merupakan masalah yang bukan merupakan suatu realiti. Persoalan realiti saat ini adalah bahawa kami adalah sebuah negara Tunisia yang menginginkan reformasi, sehingga menjadi sebuah negara bagi rakyat Tunisia, bukan untuk melawan mereka.”[3]

Parti Ennahda juga cenderung untuk melihat model Mesir setelah muncul sebagai pemenang di dalam pilihanraya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja melalui segenap kemampuan mereka untuk mempertahankan sistem yang ada. Dengan menganggap diri mereka sebagai sebuah parti Islam, ia akhirnya telah mendedahkan dengan jelas bahawa Islam hanya sekadar dipergunakan sebagai topeng dan alat untuk memenangi pilihanraya. Rachid Ghannouchi turut mengatakan bahawa parti Islam itu tidak akan “memperkenalkan suatu definisi yang menjadi rujukan dalam konstitusi yang boleh memberi risiko berpecahnya rakyat.” “Ramai rakyat Tunisia tidak memiliki gambaran yang jelas tentang syariah, di samping berlakunya amalan-amalan (Islam) yang salah di negara tertentu telah menimbulkan ketakutan (tentang penerapan Islam),” tambahnya lagi.

Padahal secara realitinya, ramai yang telah terkorban di Tunisia dalam usaha untuk menuntut perubahan di negara itu kepada negara Islam. Namun sayangnya setelah berkuasa, Ennahda telah menolak untuk menerapkan Islam. Mereka perlu sedar bahawa umat telah berjaya mengusir Ben Ali keluar dari negara kerana pengkhianatan yang dilakukannya. Umat telah menunjukkan bahawa mereka tidak lagi takut terhadap rejim dan jika Ennahda tidak memenuhi janji-janji mereka, mereka juga akan menerima nasib yang sama dan tercatat dalam sebahagian daripada sejarah hitam dunia sebagaimana yang pernah terpalit kepada Ben Ali.

[1] Pemuda bakar diri akhirnya mati, Kosmo 14 Mac 2013,
[2] Tunisia’s Islamists rule out sharia in constitution, France 24, Mac 2012, 2012,
[3] Interview with Rachid Ghannouchi, France 24, 13 November 2011,