Yang Jelasnya Visi Negara Tetap Sama: Kapitalisme Sekular

PULAU PINANG 1 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat kini lebih yakin dan jelas mengenai visi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.  Timbalan Perdana Menteri berkata sejak setahun tempoh kepimpinan Najib, rakyat telah mula merasai kesan perubahan dalam proses transformasi kerajaan yang dijalankan.  “Kini Najib hampir setahun, kita telah saksikan banyak pembaharuan dan transformasi bermula dengan gagasan 1Malaysia yang dapat meningkatkan hubungan dan kerjasama rakyat daripada pelbagai latar belakang.  “Kini rakyat sudah mula menerima konsep 1Malaysia dan jelas mengenai misi untuk membawa Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Depoh Bitumin Innate Synergy Sdn Bhd di sini hari ini.  Muhyiddin berkata inisiatif yang paling penting dalam kepimpinan Najib ialah transformasi ekonomi yang dikenali sebagai Model Ekonomi Baru dan kerajaan mahu mengubah pendapatan rakyat daripada sederhana kepada berpendapatan tinggi.  Katanya perubahan daripada sistem penyampaian juga jelas di mana penekanan diberikan terhadap enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).  “Daripada aspek politik pula, Perdana Menteri telah membuat perubahan dalam Barisan Nasional dan rakyat telah merasai perubahan itu,” kata Timbalan Perdana Menteri. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia, 01/04/2010

Yang Jelasnya Visi Negara Tetap Sama: Kapitalisme Sekular

Apakah yang jelas pada pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu? Benarkah rakyat sudah mula menerima semua perubahan yang sedang dilakukan? Apakah buktinya? Yang pasti, golongan kaya bertambah kaya dan yang miskin pula masih berada di dalam kepompong kemiskinan. Bukalah matamu wahai Muhyiddin, janganlah asyik mengampu sehingga terlupa kepada mereka-mereka yang masih memerlukan. Memang benar, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan pelbagai usaha untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa dia sedang melakukan sesuatu. Tetapi semua perubahan itu tidak mengarah kepada perlaksanaan syariat Islam secara kaffah. Justeru, apa yang dapat kita lihat adalah hasilnya tetap sama, Secara jelas dan ikhlasnya memang  kita dapat melihat perubahannya setiap hari. Di antaranya adalah kadar bilangan anak luar nikah mencatatkan sejumlah 17,303 orang. Suatu jumlah yang cukup mengejutkan kita yang berbangga dengan mendakwa Islam sebagai agama rasmi negara. Manakala bilangan penagih dadah sepanjang tahun 2009 mencatatkan jumlah 15,736 orang berbanding dengan tahun 2008 seramai 12,352 orang. Ya, yang pastinya telah berlaku perubahan dari sudut peningkatan penagih dadah sebanyak 27.40%.

Apakah yang dapat kita banggakan dengan MEB jika sistem ekonomi Malaysia masih terus disandarkan kepada sistem ekonomi Kapitalisme. Walaupun MEB berjaya meningkatkan pendapatan rakyat, adakah ianya berlandaskan kepada Islam? Yang jelas, MEB masih jauh daripada prinsip asas perlaksanaan Sistem Ekonomi Islam. Sebagai contoh di dalam persoalan kepemilikan, ia masih lagi diatur dengan hukum jahiliyyah moden ciptaan Lord Reid. Di mana dalam isu kepemilikan minyak ianya masih ditentukan oleh undang-undang kufur. Sedangkan dalam pandangan Islam minyak dan sumber alam adalah hak milik umum yang wajib diagihkan kepada rakyat. Negara hanya berperanan sebagai pihak yang mewakili umat untuk menguruskannya. Tidak cukup dengan semua itu, saat ini kerajaan pimpinan Najib sedang menanti masa yang paling sesuai untuk meledakkan senjata barunya kepada  rakyat, iaitu peluru berpandu berjenama GST yang ditangguhkan pelancarannya sehingga kini. Berhubung dengan persoalan hubungan di antara kaum pula, rakyat masih lagi dibayangi dan dibelenggu dengan perasaan assabiyyah.

Sistem perundangan kufur buatan manusia masih lagi berdiri teguh memayungi kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Hukum mahkamah syariah terus tersepit di celah-celah kejahilan umat Islam itu sendiri. Kes Kartika yang diputuskan di dalam mahkamah yang tidak syariah buatan manusia ketika ini telah membongkar kebusukan dan pembohongan hukuman syariah ciptaan manusia. Begitu juga dalam persoalan politik dimana kita dapat melihat kejadian lompat parti yang memperlihatkan betapa rendahnya nilai perjuangan ahli politik sekular yang ada pada hari ini. Untuk itu, rakyat seharusnya dapat melihat bahawa visi negara pimpinan Najib hari ini tetap sama iaitulah Kapitalisme sekular. Tidak lebih dari itu dan tidak ada yang dapat dibanggakan.