Negara Sekular, Rakyat Terabai

altRintihan Nila Kesuma dapat perhatian

KLANG 27 Sept. – Sebelum ini tiada siapa mendengar rintihan dan suara hatinya tetapi kini Nila Kesuma Mat, 50, boleh menarik nafas lega kerana rintihannya itu telah didengar oleh rakyat negara ini yang prihatin.

Sejak kisahnya disiarkan di dalam akhbar ini baru-baru ini sumbangan untuk keluarga berkenaan sudah mula tiba.

Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, Nila dengan linangan air mata melahirkan rasa syukur kerana masih ada pihak yang sudi membantu golongan susah sepertinya.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih dihargai masyarakat walaupun hidup susah. Saya harap bantuan yang diberi akan meringankan beban hidup saya dan anak-anak,” ujarnya yang kehilangan kaki kiri paras lutut akibat kencing manis.

Sumber: Utusan Malaysia 28/09/09

Rintihan Nila Kesuma – Di Mana Tanggungjawab Negara?

Sayang sekali, penderitaan seorang rakyat yang susah dan miskin ini hanya didengar oleh rakyatnya sahaja. Di mana pemimpin yang kaya raya?  Rakyat jelata pula yang banyak membantu berbanding mereka, itu pun setelah kisahnya disiarkan oleh media massa. Bagaimana dengan nasib orang-orang miskin lain yang tidak didedahkan dan diberi liputan? Tentu saja mereka terabai dalam keadaan yang susah dan menyedihkan. Mungkin Najib dan kuncu-kuncunya hanya akan peka dan prihatin ketika menjelang hari pilihan raya sahaja? Ketika itu, muncullah pelbagai slogan dan ‘kata-kata hikmat’ yang penuh dengan sandiwara. Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan?

Pelik tapi benar kejadian di atas. Di manakah harta kekayaan negara yang melimpah ruah? Apakah fungsi sebenar Baitulmal jika bukan untuk diberikan kepada fakir miskin? Ke manakah wang zakat disalurkan, yang sekian banyaknya telah dibayar oleh rakyat?

Sistem sekular yang diterapkan sehingga saat ini, telah kelihatan jelas kebusukannya. Di sana sini, kita dapat melihat berbagai kerosakan dan penderitaan yang menimpa rakyat khususnya umat Islam. Apakah kita masih mahu mempertaruhkan harga diri kita dengan sistem yang penuh dengan dusta dan kebohongan ini? Janganlah sampai kita masuk ke dalam lubang biawak buat kedua kalinya, seperti mana yang telah dikhabarkan oleh baginda Nabi SAW kepada kita. Ayuh, bangkitlah wahai umat Islam untuk berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, agar kita meraih kemuliaan di dunia dan akhirat.