Ex-gratia : Rakyat menjadi mangsa sistem kehakiman sekular

Teka-teki jumlah ex-gratia yang dibayar kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman, 20 tahun lalu terjawab apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan jumlah yang dibayar adalah RM10.5 juta.
Dari jumlah ini, Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh (RM2 juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin masing-masing mendapat RM500,000. [Utusan Malaysia]

Walaupun kerajaan sebelum ini, dan Nazri kini masih tetap menafikan bahawa bayaran itu dibuat bukan kerana kerajaan bersalah, namun hakikatnya ‘sebab’ kenapa hakim-hakim itu dipecat pada masa itu adalah kerana ‘kesalahan’ mereka membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak kerajaan. Dr. Mahathir yang pada masa itu merupakan orang yang paling berkuasa di Malaysia telah memecat keenam-enam orang hakim tersebut kerana kesemua mereka terlibat di dalam satu kes penting yang melibatkan UMNO dan mereka (ketika membicarakan kes itu) nampaknya sudah tidak berpihak kepada kerajaan. Krisis kehakiman itu mencatat sejarah hitam negara, tetapi berjaya ‘didiamkan’ oleh Dr Mahathir dalam era pemerintahannya. Namun, setelah Mahathir bergelar bekas PM, maka ramailah yang tampil dengan beraninya untuk membongkar kembali kisah-kisah mereka yang telah menjadi korban ‘singa tua’ itu.

Rakyat mangsa sistem kehakiman sekular

Antara persoalan yang timbul ialah, mengapa kerajaan begitu ‘tertekan’ sehingga perlu membayar RM10.5 juta kepada 6 orang bekas hakim tersebut? Jika benar kerajaan tidak bersalah, kenapa perlu membuat pembayaran yang begitu besar? Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, dari manakah wang RM10.5 juta itu diambil? Dari mana lagi jika ia bukan wang hasil titik peluh rakyat?

Alasan kerajaan kononnya hakim-hakim tersebut telah berbakti kepada negara dan bagi memulihkan maruah mereka langsung tidak boleh diterima. Jika alasan ‘berbakti’ kepada negara-lah yang menjadi ukuran, maka ramai lagi bekas-bekas hakim yang juga layak untuk mendapatkan ex-gratia tersebut. Bukan setakat bekas hakim, malah ramai lagi bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan yang telah berbakti untuk negara yg perlu di ex-gratia-kan. Malah Dr. Mahathir sendiri selaku orang yang paling banyak berbakti kepada Malaysia seharusnya dibayar berbilion-bilion ringgit kerana ‘jasa bakti’ beliau itu.

RM10.5 juta bukanlah sedikit. Mungkin bagi seorang Menteri yang mempunyai harta berbilion-bilion, jumlah tersebut tidaklah sebanyak mana bagi mereka. Sedangkan jika wang RM10.5 juta itu diagihkan kepada fakir miskin di dalam negara, Insya Allah sebahagian dari masalah kemiskinan negara telah dapat di atasi. Malangnya wang sebanyak itu dibayar kepada mereka yang telah pun mempunyai banyak wang dan hidup mereka pun telah lama selesa!

Persoalan ‘maruah’ yang dibangkitkan oleh Nazri di Dewan Rakyat hanyalah merupakan satu justifikasi. Ramai lagi orang yang tercemar maruahnya dek perlakuan kerajaan yang bukan sekadar tidak dibayar satu sen pun oleh kerajaan, malah difitnah dan dihina sedemikian rupa untuk menimbulkan rasa benci masyarakat kepada mereka. Contohnya adalah para tahanan ISA yang terdiri dari mereka yang ingin menegakkan kebenaran, namun mereka ditangkap dan ditahan oleh kerajaan tanpa bicara dan dituduh ‘berbahaya’ kerana boleh mengancam ketenteraman awam. Tidak kerajaan mempedulikan ‘maruah’ mereka sehingga ada yang sudah ditahan lebih dari 6 tahun di dalam ISA. Itu belum masuk lagi penderitaan yang dialami oleh ahli keluarga mangsa kerana suami/bapa mereka ditahan dengan begitu lama. Bukan sekadar di tahan, malah diseksa dengan pelbagai bentuk seksaan oleh SB-SB yang tidak berperi kemanusiaan.

Ada di kalangan mereka yang telah diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak bersalah dan dibebaskan. Tidakkah kerajaan mahu membayar ex-gratia kepada mereka ini (dan keluarga mereka) kerana maruah (dan pendapatan) mereka yang selama ini telah terjejas kerana dicemari oleh kezaliman kerajaan? Alangkah pedulinya kerajaan tentang maruah seseorang! 

Kita bukanlah tidak bersimpati dengan hakim-hakim yang dipecat hanya semata-mata kerana ingin menegakkan kebenaran. Hakikat yang jelas adalah hakim-hakim yang dipecat itu tidak melakukan apa-apa kesalahan (dari segi melawan undang-undang yang ada), mereka cuma diputuskan bersalah oleh tribunal atas kesalahan ‘salah-laku’. Justeru, kenapa golongan yang ‘tidak bersalah’ ini mendapat sejumlah besar wang rakyat? Nampaknya, kesilapan kerajaan yang lalu telah dibalas dengan menjadikan wang rakyat sebagai ‘tebusan’! Dalam apa keadaan sekalipun, rakyat nampaknya telah menjadi mangsa kepada kerajaan sekular yang memerintah.

Kuasa Memecat Hakim Di Dalam Islam

Di dalam Islam, Khalifah sebagai Ketua Negara mempunyai kuasa penuh untuk melantik hakim/Qadhi. Sebagaimana kuasa diberi kepada khalifah untuk melantik, Khalifah juga mempunyai kuasa untuk memecat mana-mana Qadhi tanpa memberi apa-apa sebab pun. Namun, sesuai dengan tujuan tegaknya institusi kehakiman Islam iaitu untuk melaksanakan sistem uqubat,  maka  wujudnya keadaan tertentu di mana khalifah tidak boleh memecat Qadhi. Keadaan ini adalah apabila sedang berlaku perbicaraan ke atas Khalifah atau mana-mana penguasa di bawahnya (di Mahkamah Mazhalim), maka Khalifah tersebut tidak boleh memecat Qadhi yang terlibat pada ketika itu. Hanya sesudah selesai perbicaraan, barulah Khalifah berhak untuk memecat atau mengekalkan Qadhi tersebut (Itu pun jika Khalifah tersebut tidak dipecat oleh Mahkamah Mazhalim). Ini adalah sesuai dengan kaedah syara’, Al Wasilah ila al haram, haram (perkara yang membawa kepada keharaman adalah haram) [Hizbut Tahrir 2007, Aj-hizah Daulah al-Khilafah / Struktur Negara Khilafah. ms 203].

Inilah caranya bagaimana Islam menjamin keadilan di dalam perlaksanaan Sistem Uqubat Islam berhubung isu pemecatan hakim. Kesimpulannya, adalah haram bagi Khalifah untuk memecat hakim jika hakim tersebut sedang membicarakan kes kezaliman atau salah laku Khalifah itu sendiri. Namun dalam keadaan biasa, adalah mubah hukumnya bagi seorang Khalifah melantik atau memecat mana-mana hakim.

Jika hakim dipecat semasa mengadili kes yang melibatkan Khalifah, maka hal ini tidak sah, dengan kata lain, hakim itu masih lagi seorang hakim dan mesti meneruskan perbicaraan tersebut. Adapun ‘orang’ yang sepatutnya dihukum (jika wujud keadaan ini) adalah Khalifah itu sendiri, bukannya hakim. Justeru, tidak timbul langsung soal pembayaran ex-gratia bagi menyelamatkan ‘maruah’ hakim atau pun sebagai sumbangan jasa bakti mereka. ‘Jasa bakti’ mereka telah pun dibayar di dalam bentuk ‘gaji’ yang mereka terima selama mana mereka memegang jawatan hakim.

Sekiranya sistem kehakiman Islam diterapkan, maka rakyat bukanlah orang yang menjadi mangsa dengan dirompak duit mereka untuk dibayar ex-gratia kepada mana-mana hakim yang dipecat, tetapi rakyat adalah orang yang dipelihara oleh Khalifah dengan hukum-hukum syara’.

Wahai kaum Muslimin! Tolaklah sistem sekular buatan manusia yang telah terbukti kezaliman dan kerosakan yang dibawanya, gantilah sistem kufur sekular ini dengan sistem Khilafah. Nescaya kalian akan memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat.