Seruan Perubahan Yang Sekular

UMNO mesti sanggup lakukan perubahan

KUALA LUMPUR 13 Okt. – UMNO mesti sanggup melakukan perubahan kepada yang lebih baik kerana parti itu masih memiliki jenama yang diterima oleh rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.  Tegas Presiden UMNO, perubahan itu harus merangkumi soal perpaduan, budaya hidup, sikap dan pemikiran serta tingkah laku ahli.  Beliau menekankan perubahan itu berasaskan kepada keinsafan bahawa parti kini berada dalam keadaan genting dan kritikal namun jika ahli bersatupadu dan sanggup membuat perancangan kerja yang baik, ia pasti akan diterima ramai. 

”Saya beri contoh, kalau kita utamakan perpaduan dan permuafakatan (dalam gerak kerja), kita boleh capai kejayaan besar seperti pada pilihan raya kecil Bagan Pinang yang merupakan titik kebangkitan kepada UMNO.  ”Kalau kepimpinan itu baik, berkesan dan diterima rakyat, tentu (perubahan) itu dapat dipertahankan, maknanya kita mesti sedar bahawa ketanggungjawaban kita sebagai pemimpin itu lebih berat, (apatah lagi) dengan pindaan perlembagaan (nanti), kalau kita tak tunjuk prestasi yang baik, kita akan terdedah kepada dicabar termasuk melibatkan kepimpinan atasan dalam Majlis Tertinggi (MT),” katanya.  Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.  Menurut Najib, dalam taklimat itu beliau menyingkap mengenai senario politik tanah air ketika ini serta cabaran yang harus dihadapi parti.  ”Apa yang penting, kita (ahli UMNO) perlu sanggup bekerja kuat antaranya melaksanakan program penerangan dan bekerja untuk rakyat,” katanya.  Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang baru-baru ini menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar mengatasi Pas – isyarat jelas rakyat mahukan wakil daripada parti yang stabil dan berwibawa.

Sumber: Utusan Malaysia 13/10/09

Perubahan Dari Sekular Kepada Islam?

Nampaknya sudah terlampau banyak seruan supaya UMNO dan ahli UMNO berubah. Mahathir, Pak Lah dan kini Najib melaungkan seruan yang sama. Ini menggambarkan betapa rosaknya UMNO dan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Sama ada ahli-ahli UMNO sanggup menerima hakikatnya ataupun tidak, yang jelas, memang terlalu banyak kerosakan yang terdapat di dalam UMNO. Sebenarnya, apakah erti perubahan yang disarankan oleh Najib? Apakah maksud perubahan ‘kepada yang lebih baik’ yang dimaksudkan oleh Najib? Apakah parameter yang digunakan oleh Najib untuk mengukur perubahan dalam soal perpaduan, budaya hidup, sikap dan pemikiran serta tingkah laku ahli sepertimana yang ditegaskan oleh beliau? Apakah beliau akan menggunakan parameter Islam ataupun acuan sekular sebagai tanda aras  untuk mengukur perubahan kepada UMNO  itu sendiri?

Hakikatnya, jikalau Najib dan UMNO tetap menggunakan acuan sekular dalam menentukan tanda aras perubahan, maka tiada apa lagi yang boleh diharapkan bagi mengubah sikap ahli UMNO dan UMNO itu sendiri. UMNO merupakan sebuah parti yang menjadikan ashobiyyah sebagai asas kepada perjuangan mereka. Pemikiran sekular merupakan pemikiran yang paling mendominasi para pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Sekiranya tanda aras diambil dari asas sekular, perubahan apa yang boleh berlaku? Sebenarnya, ‘tanda aras’ inilah yang perlu diubah. Oleh kerana ahli-ahli UMNO majoritinya adalah orang-orang Islam, sudah sewajibnya perjuangan mereka itu diasaskan  kepada Islam.

Wahai Najib! Usaha kamu untuk melakukan perubahan dalam soal perpaduan, budaya hidup, sikap dan pemikiran serta tingkah laku ahli UMNO itu mestilah diasaskan kepada Islam. Inilah perubahan kepada yang lebih baik untuk ahli-ahli UMNO dan UMNO itu sendiri sebenarnya. Perpaduan yang diperjuangkan oleh ahli UMNO mestilah berasaskan kepada Islam bukannya perpaduan yang berasaskan semangat ashobiyyah. Budaya hidup ahli UMNO itu sendiri mestilah berubah dari budaya hidup Kapitalisme kepada budaya hidup Islam. Pemikiran  sekular ahli-ahli UMNO  perlu diubah kepada pemikiran Islam. Tingkah laku ahli-ahli UMNO mestilah terikat dengan hukum syara’ bukannya dibiarkan bebas dalam bertingkah laku. Inilah perubahan yang sepatutnya dilakukan oleh UMNO. Sebarang usaha untuk berubah, sekiranya tidak diasaskan kepada mabda’ Islam maka ianya tidak akan membawa apa-apa makna sebenarnya.