Laporan Bual Bicara: Demokrasi Gagal Melindungi Remaja Daripada Pornografi Dan Seks Bebas

KUALA TERENGGANU Jumaat 2 Februari – MHTM Cawangan Terengganu telah menganjurkan sebuah program Bual Bicara Muslimah yang bertajuk Lindungi Remaja daripada Pornografi dan Seks Bebas.  Bual Bicara yang diadakan di Sri Indah Resort pada kali ini telah menampilkan Ustazah Ummu Hajar selaku ahli panel jemputan.

Moderator program iaitu saudari Syamsiah telah membuka bual bicara dengan memberi penjelasan dan maklumat tentang realiti banyaknya majalah-majalah hiburan yang berunsur lucah.  Bahan-bahan pornografi serta merebaknya seks bebas dikalangan remaja Selaku ahli panel,Ustazah Ummu Hajar telah menjelaskan isu dan hakikat pornografi dan seks bebas, di mana kedua-duanya adalah haram di sisi Islam.  Seks bebas atau zina telah menjadi budaya biasa dalam masyarakat kita masakini, disebabkan semakin ramainya golongan remaja yang terpengaruh dengan idea kebebasan bertingkahlaku yang berlaku di dalam kehidupan masyarakat Barat.

Ummu Hajar turut membentangkan fakta-fakta yang membuktikan bahawa masalah pornografi dan seks bebas kini sudah berada pada tahap yang amat membimbangkan.   Malapetaka dan kerosakan ini akhirnya membawa kepada munculnya masalah-masalah yang lain seperti penderaan seksual, buang bayi, liwat dan sebagainya.  Kemudian, Ummu Hajar turut menjelaskan bagaimana penerapan sistem demokrasi oleh negaralah yang menjadi punca dan penyebab utama kepada masalah ini. Demokrasi memberikan kebebasan  bertingkah laku kepada individu dan ini sekaligus membuka ruang kepada golongan remaja untuk memuaskan naluri seksualnya dengan apa cara sekalipun tanpa memikirkan persoalan halal-haram akan sesuatu perbuatan itu.  Demokrasi juga memberi kebebasan pemilikan kepada para pemilik modal seperti syarikat-syarikat media untuk mengaut keuntungan dengan menerbitkan bahan-bahan pornografi yang mengakibatkan terangsangnya naluri seksual remaja tanpa kawalan.
 
Terbukti demokrasi adalah sistem yang menjerumuskan manusia ketahap yang lebih hina dari binatang.  Sesuai dengan firman Allah SWT: “dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”. [TMQ al-Al A’raaf (7) : 179].

Program ini terus mendapat respon dan komen daripada peserta-peserta yang terdiri daripada para pelajar sekolah menengah dan kaum ibu sejak bermulanya pusingan pertama lagi apabila beberapa soalan telah diajukan kepada ahli panel.

Pada pusingan kedua pula, Bual Bicara Wanita membawa peserta kepada suasana yang lebih panas, apabila Ummu Hajar menjelaskan akta-akta yang digubal oleh Parlimen terbukti telah gagal menyelesaikan masalah kerana ianya lahir dari akal manusia itu sendiri.  Benarlah firman Allah SWT: “Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”   [TMQ al-Maaidah (5) : 50].

 Padahal Allah Subhanahu Wa Taala sebagai pencipta telah menyediakan peraturan hidup yang lengkap kepada manusia, untuk manusia itu menjalani kehidupannya dengan penuh sejahtera.  Seterusnya Ummu Hajar mengemukakan dalil- dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah tentang wajibnya umat Islam kembali kepada sistem Islam. Islam telah memperincikan peranan negara untuk menerapkan seluruh sistem Islam termasuklah sistem pendidikan dan uqubat Islam sehingga terlahirlah manusia yang tahu akan hukum-hakam bagi setiap perbuatan dan seterusnya melahirkan rasa takut dalam diri manusia itu kepada azab Allah.  Masyarakat pula mempunyai kesedaran akan kewajiban mereka melakukan amar makruf nahi mungkar sehingga masalah ini dapat dicegah daripada awal.  Dan tidak terkecuali negara juga memahami akan kewajipan untuk menerapkan hukum hakam Islam didalam seluruh aspek kehidupan.

Bual Bicara ini diselang seli dengan lontaran soalan dan pendapat daripada para peserta.  Daripada respon ini, ternyata para peserta mengakui akan kerosakan demokrasi yang terbukti telah gagal untuk melindungi manusia terutamanya generasi muda daripada masalah pornografi dan seks bebas dan mereka sepakat dan meyakini bahawa dengan mempelajari dan memperjuangkan Islam serta menerapkan Islam didalam kehidupan individu, masyarakat dan negara, seluruh generasi manusia akan dapat diselamatkan dari masalah-malalah sosial ini.