Keputusan ICJ belum tentu jamin keselamatan Muslim Rohingya – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mensabitkan Myanmar bertanggungjawab dan bersalah melakukan genosid terhadap Muslim Rohingya tidak bermakna keadilan akan terlaksana atau keselamatan mereka terjamin apabila pulang ke tanah air. 

Kelemahan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa serta pengaruh kepentingan strategik kuasa-kuasa besar sentiasa menimbulkan persoalan terhadap kemampuan badan-badan antarabangsa, termasuk ICJ, dalam memberikan keadilan kepada kelompok manusia yang tertindas, lebih-lebih lagi umat Islam.

Demikian antara penegasan Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM (KUPAS) bertajuk “Keputusan ICJ ke atas Myanmar: Benarkah Keadilan Antarabangsa Wujud?” pada Jumaat, 20 November 2026.

Pada awal kupasannya, Abdul Hakim menjelaskan bahawa ICJ merupakan badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengadili pertikaian antara negara, atau menjadi medan untuk mana-mana negara mengheret negara lain yang didakwa melakukan kesalahan, selama mana negara-negara terbabit merupakan penandatangan kepada Konvensyen Genosid 1948.

Beliau kemudian menghuraikan tindakan Gambia membawa kes genosid terhadap Myanmar pada November 2019 berdasarkan konvensyen tersebut yang akhirnya memberikan kemenangan kepada negara di Barat Afrika itu. 

Mengulas keputusan ICJ pada 19 November 2026, Abdul Hakim menjelaskan bahawa Myanmar didapati bertanggungjawab dan bersalah melakukan genosid terhadap Rohingya, gagal mencegah dan menghukum pelaku serta gagal melaksanakan kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid. Mahkamah turut mengarahkan langkah pemulihan, termasuk pendakwaan pelaku, kepulangan pelarian dengan selamat, pemulangan harta, pampasan dan jaminan supaya kezaliman tersebut tidak berulang.

Namun, beliau mempersoalkan mengapa nasib umat Islam Rohingya terpaksa diserahkan kepada sebuah badan kufur seperti ICJ, sedangkan terdapat lebih 50 negara umat Islam yang mempunyai pemerintah dan kekuatan masing-masing, yang mampu untuk menyelamatkan Muslim Rohingya jika mereka mahu berbuat demikian. 

Menurutnya, keadaan ini memperlihatkan kegagalan para penguasa Muslim menjalankan tanggungjawab melindungi saudara seagama yang ditindas. Mereka tidak mahu, bukan tidak mampu untuk menyelesaikan masalah Rohingya. 

Abdul Hakim turut mengkritik layanan terhadap pelarian Rohingya serta hubungan diplomatik negara-negara Islam dengan pemerintah Myanmar. Muslim Rohingya tidak diberikan hak kemanusiaan pun di negara-negara yang mereka cuba mencari perlindungan seperti Bangladesh, Indonesia dan Malaysia, jauh sekali untuk diberi hak sebagai saudara Muslim. 

Penguasa Muslim bahkan sering mengambil tindakan yang bertentangan dengan Islam apabila berhadapan dengan masalah Rohingya, katanya.

Beliau turut mempersoalkan sambutan terhadap Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing oleh Perdana Menteri Malaysia pada Oktober lalu, walaupun kekejaman terhadap Rohingya telah lama diketahui oleh Malaysia. Beliau menjelaskan keharaman perkara ini kerana terdapatnya larangan dari Allah (swt) untuk berbaik dengan orang yang memusuhi Islam dalam Surah al-Mumtahanah ayat ke-9.

Jurucakap HTM itu seterusnya, menjelaskan perbezaan antara norma antarabangsa dengan undang-undang antarabangsa di mana menurutnya Islam mengiktiraf norma tetapi tidak undang-undang. Menurutnya, norma antarabangsa merupakan kesepakatan yang telah wujud sejak dahulu seperti larangan berperang pada bulan haram dan perlindungan terhadap utusan. Beliau turut merujuk peristiwa sariyah Abdullah bin Jahsy bagi menjelaskan kedudukan norma tersebut.

Manakala undang-undang antarabangsa menurutnya, muncul daripada usaha negara-negara Eropah yang cuba bergabung untuk mengalahkan Khilafah Uthmaniyah pada abad ke-18 Masihi. Abdul Hakim kemudian menghuraikan bagaimana perkembangan tersebut akhirnya membawa kepada pembentukan Liga Bangsa-Bangsa dan PBB, dan terus berkembang sehingga memunculkan ICJ. 

Menurutnya lagi, sejarah kemunculan undang-undang antarabangsa oleh negara-negara Eropah ini dengan sendirinya telah menjadikannya didominasi oleh kepentingan kuasa-kuasa besar, khususnya negara utama, Amerika Syarikat.

Mengulas kelemahan ICJ, beliau menegaskan bahawa mahkamah tersebut, sama sahaja seperti badan-badan dunia lainnya, tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan. Sekiranya Myanmar enggan mematuhi keputusannya, maka tidak ada apa-apa tindakan yang boleh diambil, kerana tidak ada ‘polis dunia’ yang boleh menguatkuasakan undang-undang atau keputusan tersebut. Ia hanya sekadar tanggungjawab moral sahaja. 

Tambahan lagi, kata beliau, walaupun negara yang menang boleh merujuk atau mengadu kepada Majlis Keselamatan PBB jika negara yang kalah tidak mahu mematuhi keputusan, namun negara pemveto yang mempunyai kepentingan strategik dengan negara yang kalah, boleh sahaja memveto untuk menghalang tindakan-tindakan tertentu ke atas negara yang kalah tersebut. 

Abdul Hakim kemudian membandingkan kes Myanmar dengan Palestin. Walaupun Afrika Selatan telah membawa kes terhadap ‘Israel’ ke ICJ dan mahkamah mengeluarkan beberapa perintah sementara, ‘Israel’ dengan biadapnya tidak mempedulikan arahan mahkamah, bahkan terus mendapat sokongan Amerika Syarikat untuk meneruskan pengeboman dan pembunuhan di Gaza.

Jadi, tidak ada jaminan sedikit pun, walaupun Muslim Rohingya dibenarkan pulang oleh rejim Myanmar, bahawa mereka akan selamat dan segala hak mereka akan dikembalikan. Langsung tidak mustahil bahawa mereka akan dibunuh dan ditindas seperti biasa, kerana rejim Myanmar tidak ada bezanya dengan rejim ‘Israel’ dari segi memusuhi Islam, kata Abdul Hakim. 

Menurutnya lagi, persoalan utama bukan sekadar keputusan mahkamah, tetapi siapa yang mempunyai kekuasaan untuk memastikan keputusan tersebut dilaksanakan. Inilah kelemahan mendasar sistem keadilan antarabangsa yang tiada mekanisme penguatkuasaan, dan bergantung kepada kepentingan strategik negara-negara kuasa besar.

Dalam menjelaskan penyelesaian Islam, Abdul Hakim menegaskan bahawa umat Islam tidak sepatutnya menggantungkan harapan atau menyerahkan solusi kepada institusi antarabangsa yang tidak berhukum dengan hukum Allah (swt). Beliau menegaskan bahawa menjadi kewajipan para penguasa Muslim di seluruh dunia untuk melindungi umat Islam yang ditindas, di samping kewajipan melancarkan jihad fi sabilillah sebagai jalan penyelesaian yang ditetapkan syarak terhadap negara yang memerangi umat Islam.

Mengakhiri kupasannya, Abdul Hakim menegaskan bahawa keadilan sebenar tidak akan tercapai melalui sistem atau badan antarabangsa yang didominasi kepentingan kuasa besar. Beliau menyeru umat Islam berusaha mengembalikan Khilafah sebagai institusi pemerintahan yang menerapkan hukum Allah (swt) serta akan menjadi perisai yang melindungi umat Islam daripada penindasan sama ada di Myanmar, Palestin, Xinjiang, Kashmir dan lain-lain.