SN697 – Hipokrasi Piala Dunia 2026: Benarkah Bola Sepak Menyatukan Dunia?

Bil: SN697 (PDF/Print) – 30 Zulhijjah 1447 / 16 Jun 2026

Piala Dunia FIFA 2026 bakal mencatat sejarah sebagai edisi terbesar dalam sejarah kejohanan tersebut. Buat pertama kalinya, sebanyak 48 pasukan akan bertanding berbanding hanya 32 pasukan sebelum ini. Jumlah perlawanan juga meningkat kepada 104 perlawanan berbanding 64 perlawanan dalam edisi-edisi terdahulu. Lebih menarik, kejohanan ini dianjurkan secara bersama oleh tiga negara Amerika Utara, iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico. Namun, di sebalik kemeriahan dan gembar-gembur yang mengiringi kejohanan ini, timbul pelbagai persoalan yang wajar diberi perhatian. Antaranya ialah harga tiket yang melambung tinggi akibat pelaksanaan sistem harga berdasarkan permintaan (dynamic pricing). Harga tiket bagi perlawanan akhir dilaporkan mencecah sehingga lima kali ganda lebih mahal berbanding harga tiket perlawanan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang hakikat sebenar penganjuran kejohanan tersebut. Selama ini, sukan sering dipromosikan sebagai medium yang mampu menyatukan manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit dan sempadan negara. Piala Dunia pula dianggap sebagai pesta global yang menghimpunkan masyarakat dunia dalam satu semangat yang sama. Namun, apabila akses kepada kejohanan ini semakin ditentukan oleh kemampuan kewangan, timbul persoalan sama ada matlamat penyatuan itu masih menjadi keutamaan atau sekadar slogan yang menutupi kepentingan komersial. Hakikatnya, kenaikan harga tiket yang melampau menunjukkan bahawa acara yang kononnya meraikan perpaduan manusia sejagat semakin dikuasai oleh logik pasaran dan orientasi keuntungan. Dalam keadaan sedemikian, penyertaan masyarakat umum semakin terhad, manakala golongan yang berkemampuan menjadi kelompok yang paling menikmati manfaat daripada acara tersebut. Persoalannya, bagaimana sebuah kejohanan boleh mendakwa ingin menyatukan manusia sedangkan sebahagian besar manusia sendiri semakin sukar untuk menjadi sebahagian daripadanya?

        Gagasan bahawa sukan boleh menyatukan manusia bukanlah sesuatu yang baharu. Idea ini sering dikaitkan dengan Pierre de Coubertin, tokoh yang mengasaskan semula Sukan Olimpik Moden pada tahun 1896. Beliau percaya bahawa pertemuan atlet dari pelbagai negara dapat mengurangkan permusuhan, menggalakkan persefahaman dan mewujudkan keamanan antara bangsa-bangsa. Semangat yang sama turut dijadikan asas kepada Piala Dunia FIFA. Acara ini sering dipromosikan sebagai medan yang menghimpunkan pelbagai bangsa, budaya dan negara dalam suasana persaingan yang sihat. Namun, realiti yang berlaku sering kali bertentangan dengan slogan dan retorik yang dilaungkan.

Realiti Di Sebalik Piala Dunia 2026

        Ketika dunia sedang rancak meraikan Piala Dunia 2026, peperangan masih terus berlaku di pelbagai wilayah. Gaza terus menjadi medan pembunuhan dan kemusnahan. Lubnan turut menerima serangan, manakala ketegangan antara Iran dengan AS dan Israel semakin memuncak.

        Dalam mempertahankan penyertaan Iran ke Piala Dunia 2026 yang dianjurkan di AS, Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata: “Sememangnya Iran akan bermain di AS. Alasannya mudah, saudara yang dikasihi, ini kerana kita perlu bersatu. Kita perlu membawa orang bersatu. Ini adalah tanggungjawab saya. Bola sepak menyatukan dunia, FIFA menyatukan dunia.” [ABC news online 1/5/2026].

        Namun hakikatnya, pasukan Iran dilaporkan berdepan kesukaran mendapatkan visa untuk memasuki AS sehingga saat-saat akhir, dan kemudahan yang diberikan amat terhad. Lebih penting daripada itu, penyertaan Iran dalam kejohanan tersebut langsung tidak menyelesaikan konflik politik dan ketenteraan yang berlaku antara kedua-dua negara. Malah, kemungkinan besar permusuhan dan konflik antara Iran dengan AS akan terus berlanjutan walaupun Piala Dunia telah berakhir. Ini membuktikan bahawa bola sepak tidak mempunyai kemampuan untuk menghapuskan pertentangan ideologi, kepentingan geopolitik dan permusuhan antara negara.

FIFA dan Amalan Dwistandard

        FIFA sering mendakwa dirinya sebuah badan yang neutral dan menjunjung prinsip keamanan. Namun tindakannya menimbulkan persoalan mengenai sikap dwistandard. Contohnya; Rusia telah diharamkan daripada menyertai pertandingan antarabangsa termasuk kelayakan Piala Dunia dan kejohanan di bawah UEFA susulan serangannya ke atas Ukraine sejak tahun 2022. Sebaliknya, AS dan Israel terus dibenarkan menyertai pertandingan antarabangsa tanpa sekatan yang setara walaupun kedua-dua negara dikaitkan dengan operasi ketenteraan dan serangan yang mengorbankan ramai orang awam di Gaza, Lubnan dan wilayah lain. Tanpa mengira pendirian seseorang terhadap konflik-konflik tersebut, perbezaan layanan ini menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan dan konsistensi FIFA. Jika sukan benar-benar bebas daripada politik, mengapa sesetengah negara dihukum manakala negara lain tidak?

Pertandingan Bola Sepak Menyuburkan Asabiyah dan Keganasan

        Selain gagal menyatukan negara-negara yang bermusuhan, bola sepak juga sering menjadi pemangkin kepada sentimen asabiyah atau fanatisme yang melampau. Di banyak negara, budaya hooliganisme telah menyebabkan pelbagai insiden keganasan. Pergaduhan antara penyokong berlaku di dalam dan di luar stadium sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda, kecederaan malah kematian. Antara contoh yang terkenal adalah tragedi Stadium Heysel di Belgium pada tahun 1985 yang mengorbankan puluhan nyawa akibat keganasan penyokong. Tragedi di Stadium Kanjuruhan, Indonesia pada tahun 2022 pula mengorbankan lebih seratus orang selepas tercetus kekecohan selepas perlawanan. Di Malaysia, insiden pergaduhan antara kumpulan penyokong juga pernah berlaku melibatkan beberapa pasukan negeri sehingga memerlukan campur tangan pihak berkuasa. Walaupun majoriti peminat hadir untuk menyokong pasukan secara aman, hakikatnya sentimen kepuakan dan fanatisme yang lahir daripada sukan sering mencetuskan permusuhan, bukannya perpaduan.

Bagaimana Islam Menyatukan Manusia

        Berbeza dengan konsep perpaduan yang diasaskan atas minat terhadap sukan atau semangat kenegaraan, Islam menyatukan manusia melalui akidah, pemikiran, perasaan dan sistem kehidupan yang sama. Islam merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT, Tuhan yang menciptakan manusia dan paling mengetahui fitrah mereka. Oleh itu, Islam mempunyai asas yang kukuh untuk menyatukan manusia secara hakiki. Sebelum kedatangan Islam, suku Aus dan Khazraj di Yathrib (Madinah) sering terlibat dalam peperangan yang berpanjangan. Permusuhan yang berakar umbi selama bertahun-tahun gagal diselesaikan melalui perjanjian politik atau kepentingan ekonomi. Namun apabila dakwah Rasulullah SAW sampai kepada mereka, Islam telah menyatukan pemikiran dan perasaan kedua-dua suku tersebut. Setelah hijrah Rasulullah SAW ke Yathrib, Baginda menegakkan sistem Islam dan menerapkan syariah dalam kehidupan masyarakat. Hasilnya, Aus dan Khazraj bukan sahaja meninggalkan permusuhan lama mereka, malah bersatu sebagai kaum Ansar.

        Mereka juga dipersaudarakan dengan kaum Muhajirin yang berhijrah dari Makkah. Ikatan ini bukan berasaskan bangsa, warna kulit atau wilayah, tetapi berasaskan akidah Islam. Daripada Daulah Islam di Madinah, risalah Islam berkembang ke seluruh dunia. Pelbagai bangsa daripada Arab dan bukan Arab menerima Islam. Mereka disatukan oleh akidah yang sama, memiliki perasaan yang sama terhadap umat Islam yang lain, dan tunduk kepada sistem kehidupan yang sama. Dengan kesatuan inilah umat Islam mampu berhadapan dengan kuasa besar dunia ketika itu seperti Rom dan Parsi.

Allah SWT berfirman:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hatimu, sehingga dengan nikmat-Nya kamu menjadi bersaudara.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 103]

Kesimpulan

        Piala Dunia dan pelbagai kejohanan sukan antarabangsa sering dipromosikan sebagai alat penyatuan manusia. Namun realiti menunjukkan bahawa sukan gagal menghapuskan konflik politik, peperangan dan permusuhan antara negara. Malah dalam banyak keadaan, ia menyuburkan fanatisme, asabiyah dan keganasan dalam kalangan penyokong. Pertembungan ideologi dan kepentingan negara-negara di dunia tidak dapat diselesaikan melalui pertandingan sukan, walau sebesar mana sekalipun kejohanan tersebut. Sebaliknya, sejarah membuktikan bahawa Islam pernah menyatukan manusia yang sebelumnya bermusuhan dan berperang. Islam bukan sahaja menyatukan kabilah-kabilah Arab, malah berjaya menyatukan pelbagai bangsa dan wilayah di bawah satu akidah, satu perasaan dan satu sistem kehidupan.

        Justeru, jika manusia benar-benar mahu mencari asas perpaduan yang kukuh, menyeluruh dan berkekalan, penyelesaiannya bukan terletak pada bola sepak atau mana-mana aktiviti sukan, tetapi pada penerapan Islam sebagai cara hidup yang bersumberkan wahyu Allah SWT. Islam tidak sekadar menyeru kepada perpaduan dalam aspek tertentu seperti sukan, kebudayaan atau kepentingan ekonomi tetapi menyatukan manusia atas dasar akidah yang sama, pemikiran yang sama serta sistem kehidupan yang sama. Perpaduan dan penyatuan yang hakiki menurut Islam memerlukan kewujudan sebuah kepimpinan politik yang menerapkan syariat Islam serta memelihara kesatuan umat. Melalui institusi kepimpinan ini, umat Islam diikat dengan ikatan akidah dan ketaatan kepada hukum Allah SWT, lalu disatukan dalam urusan pemerintahan, ekonomi, pendidikan, sosial, hubungan luar dan seluruh aspek kehidupan. Firman Allah bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (kaffah), dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” [TMQ Al-Baqarah (2):208]

        Dengan itu, kesatuan yang terhasil bukan sekadar bersifat simbolik atau bermusim seperti yang berlaku dalam acara sukan antarabangsa, tetapi merupakan kesatuan yang menyeluruh dan berterusan. Menurut pandangan politik Islam, institusi yang berperanan merealisasikan kesatuan umat ini adalah Khilafah, iaitu kepimpinan umum bagi kaum Muslimin yang berfungsi menerapkan syariat Islam serta memelihara urusan umat. Melalui institusi inilah umat Islam disatukan di bawah satu kepimpinan, satu sistem kehidupan dan satu tujuan yang sama, sekali gus menjadikan mereka sebuah umat yang kuat, berwibawa dan mampu memainkan peranan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh manusia.