Benarkah Tidak Mustahil Wanita Jadi PM?

altTidak Mustahil Wanita Jadi PM

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Kehadiran wanita sebagai pemimpin utama dalam pelbagai bidang termasuk politik semakin diterima ramai dan tidak mustahil akan tiba masanya nanti golongan itu akan memegang tampuk kuasa termasuk sebagai Perdana Menteri di negara ini.

Dekan Sekolah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein berkata, ini kerana rata-rata golongan tersebut kini sudah mampu menyaingi lelaki.

“Kita lihat pencapaian golongan wanita di bidang profesional kini amat baik malah jauh lebih baik daripada lelaki.

“Wanita juga merupakan aset penting kepada negara dan kita lihat kini ramai yang menceburi bidang politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa tidak mustahil akan berlaku peralihan kuasa daripada lelaki kepada wanita pada masa akan datang.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri itu berkata, wanita kini memiliki pendidikan yang lebih baik, malah setaraf dengan lelaki menyebabkan golongan itu kini lebih banyak bergantung kepada wanita manakala kaum hawa menjadi lebih berdikari.

Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nizamudin pula berpendapat, bukanlah suatu isu yang sensitif sekiranya wanita juga diberi hak memegang kuasa.

“Kita lihat perkembangan wanita sekarang, mereka sememangnya telah diterima untuk memegang jawatan yang tinggi dalam mana-mana agensi.

“Saya juga percaya akan muncul tokoh wanita yang mempunyai daya kepimpinan yang baik setanding lelaki,” katanya.

Jelasnya, semua kaum di negara ini juga sudah boleh menerima kenyataan ini walaupun masih ada yang terikat dengan budaya feudal.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Fatimah Daud (gambar) berkata, kenyataan Dr. Mahathir sememangnya benar.

“Saya percaya sekiranya diberikan peluang wanita juga mampu menerajui negara. Hari ini kita boleh melihat penyumbang utama pendapatan keluarga adalah wanita yang memiliki kerjaya yang baik,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online 07/11/2009


Ulasan
Islam telah menggariskan dengan jelas peranan wanita dan lelaki mengikut fitrah masing-masing.  Dalam kebanyakan aktiviti yang dibolehkan untuk Muslimah melakukannya, salah satu yang paling penting adalah hak untuk menyeru kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran serta membincang dan mengambil berat tentang masalah umat Islam.  Wanita Muslim tidak terpisah atau terasing malahan berada di tengah-tengah umat dan hidup sebagai sebahagian dari umat ini.

Penglibatan wanita Muslimah dalam politik bukanlah suatu fenomena baru.  Antara contoh awal ialah pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila pemimpin Yatsrib (Madinah) menghantar wakil Bani Khazraj untuk memberikan bai’ah kepada Baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kumpulan ini terdiri daripada 73 orang lelaki dan 2 orang wanita, yang berbaiah kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu Bai’atul Aqabah Kedua yang tersohor kerana ia membawa implikasi spiritual dan politik. 

Begitu juga apabila kita menelusuri sirah yang diwariskan, jelas terkisah kehebatan para Sahabiyyah dan Ummul Mukminin seperti Siti Khadijah RA, Aisyah binti Abu Bakar RA, Sahabiyyah Asma’ Abu Bakar, Sumayyah, Kabsyah binti Rafi’ dan ramai lagi.  Mereka dimartabatkan sebagai hebat berdasarkan kekuatan akidah dan keteguhan pegangan akidah mereka yang kemudiannya memancarkan perilaku yang sangat hebat menurut syara’ dan kesungguhan mereka dalam memastikan sinar Islam terus di bela, yang mana tidak ada seorang pun wanita sehebat mereka pada ketika ini.

Namun begitu, kehebatan dan keupayaan para srikandi terdahulu di kalangan masyarakat mahupun Negara bukanlah untuk menonjolkan diri atau berharap menjadi pemimpin tetapi menunaikan kewajipan dari Allah Maha Pencipta semata-mata.  Wanita tidak boleh menjadi pemimpin (pemerintah) kerana Rasulullah melarangnya.  Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Bakrah yang berkata, ketika sampai kepada Rasulullah bahawa penduduk Parsi telah melantik anak perempuan Kisra sebagai penguasa, baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam lantas bersabda, “Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (kekuasaan/pemerintahan) mereka kepada seorang wanita”.[HR Bukhari] 

Sabda Rasulullah yang menafikan keuntungan bagi orang yang menyerahkan urusannya kepada seorang perempuan merupakan larangan untuk melantik wanita bagi jawatan tersebut.  Larangan di dalam hadis tersebut menjadi qarinah larangan yang jazm (tegas) yang menjadikan hukumnya haram.

Pada pandangan Islam, pengertian politik (siyasah) tidak hanya terbatas kepada masalah kekuasaan dan legislasi sahaja, melainkan meliputi pemeliharaan seluruh urusan umat di dalam mahupun di luar negara, sama ada berkenaan aspek negara mahupun umat.  Permasalahan samaada lelaki atau wanita yang menjadi pemimpin untuk menguruskan umat hanya satu isu yang dilihat dari perspektif pemikiran yang dangkal.  Isu yang lebih penting adalah sumber hukum yang digunakan dalam menjalankan kepimpinan iaitu samada sentiasa berlandaskan  Syariat Allah Subhanahu wa Taala atau tidak, benar atau salah. Apabila landasan yang digunakan mematuhi sepenuhnya kehendak syariat Islam, ia pastinya dapat memberi jaminan keadilan bagi semua manusia tanpa mengira jantina.

Peranan Muslimah telah ditakrif dan digariskan dengan amat jelas dalam Islam. Secara ringkasnya, peranan utama Muslimah adalah untuk mengasuh dan mendidik anak-anak dan menjadi isteri yang bertanggung jawab terhadap urusan rumah tangga (ummun wa rabbatul bayt).  Mereka dituntut untuk melaksanakan segala tugas dan tanggung jawab dengan penuh kesungguhan dan ketaatan.  Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Wanita yang terbaik dari golongan Quraish adalah mereka yang berbuat baik terhadap anak-anaknya dan menjaga harta-benda suami mereka.”

Lelaki dan wanita dalam Islam memiliki hak dan kewajipan yang sama untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.  Kebahagiaan yang mereka capai juga sama iaitu menggapai keredhaan Allah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud :“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa”. [TMQ Al Hujurat (49):13]

Tujuan hidup inilah yang semestinya menjadikan lelaki dan wanita menerima segala peranan yang telah ditetapkan oleh Al-Khaliq. Pada saat dan ketika ini, menegakkan kembali Khilafah sebagai sebuah institusi yang menerapkan dan menjaga syariat Islam adalah merupakan satu kewajipan untuk seluruh umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita. Di sinilah sebenarnya ruang yang diberikan Allah Subhanahu wa Taala kepada wanita untuk terlibat dan terjun ke dalam dunia politik. 
Wallahu’alam bishawab