Ibu Melacur Demi Susu Anak – Pengabaian Tanggungjawab Pemimpin Kapitalisme

Melacur untuk beli susu anak
KUALA LUMPUR – “Sejak bercerai dua tahun lalu, saya mula melacur dan duit itu saya gunakan untuk beli susu anak dan belanja rumah.” Bukan itu sahaja, malah Nora 30-an (bukan nama sebenar) memberitahu, dia seronok dengan pekerjaan itu kerana mampu memperoleh pendapatan setaraf dengan gaji eksekutif iaitu kira-kira RM3,000 sebulan.  Ibu kepada dua anak berusia di antara tiga dan lima tahun mendakwa dia terjebak dengan aktiviti persundalan selepas bergaul dengan pelacur asing yang turut menjual diri di kaki lima bangunan Wisma Indah, Jalan Pudu di sini.  Wanita yang mempunyai paras sederhana itu memberitahu, dia tidak perlu bersusah payah bekerja mengikut masa seperti di pejabat atau kilang kerana waktu kerja terserah kepadanya.
Sumber:  KOSMO  Online:   ARKIB BERITA pada:25/12/2010


Hilangnya Ketakwaan Individu Hasil Penerapan Ideologi Kapitalisme Oleh Negara.
Di manakah keimanan mu wahai ibu??  Apakah yang boleh kita perkatakan berkenaan dengan tindakan si ibu yang sanggup menjadi pelacur semata-mata dengan alasan untuk membeli susu anak? Adakah beliau telah terpengaruh dengan fatwa Masitah suatu masa dahulu yang pernah memberikan jawapan “boleh” kepada persoalan seorang penanya berkenaan dengan tindakannya melacurkan dirinya hanya kerana alasan darurat.  Jelas dari apa yang berlaku diatas, menunjukkan betapa ketakwaan yang dimiliki oleh si ibu itu begitu rendah. Nipisnya ketakwaan yang dimiliki oleh si ibu yang hidup didalam masyarakat hari ini sebenarnya adalah disebabkan oleh kerana pengabaian yang dilakukan oleh pihak negara.  Pemerintah sekular umat Islam hari ini telah tidak menjaga urusan rakyatnya dengan aturan Islam. Ideologi kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah hari ini telah membuka jalan kepada berlakunya penghakisan terhadap nilai-nilai takwa didalam diri setiap individu mahupun masyarakat.

Didalam kehidupan ideologi kapitalisme idea kebebasan adalah merupakan nilai kehidupan yang paling diagung-agungkan. Manfaat dijadikan sebagai tolok ukur ketika melakukan perbuatan. Masyarakat dibiarkan hidup sebebas-bebasnya ibarat binatang.  Ini boleh kita saksikan sepertimana kerosakan dan kehancuran yang dirasai oleh masyarakat Barat hari ini. Apa yang malangnya ialah, keadaan ini sedang diikuti oleh sejumlah besar umat Islam terutamanya para pemimpin sekular yang ada. Keadaan diatas jauh berbeza dengan kehidupan individu dan masyarakat yang pernah wujud di dalam naungan Khilafah.  Apakah kita tidak pernah membaca kisah Khalifah Umar dengan pengembala kambing?

Disini dipaparkan kisah tersebut untuk kita melihat bagaimana ketakwaan individu itu sebenarnya adalah buah yang terhasil dari pokok Islam yang ditanam ditengah-tengah kehidupan masyarakat.

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab, ada seorang pemuda yang bekerja sebagai pengembala kambing. Pemuda tersebut adalah seorang hamba sahaya yang amanah dan jujur. Kedua-dua orang tuanya telah meninggal dunia, dan dia hidup sebatang kara, yatim piatu serta hamba sahaya pula. Setiap hari pemuda tersebut mendaki bukit bakau dan merentasi padang rumput untuk menghalau kambing-kambing milik majikannya dari satu lembah ke satu lembah lain. Dia menjaga kambing-kambing tersebut dengan baik dan amanah seolah-olah kambing itu kepunyaan sendiri.

Pada suatu hari Amirul Mukminin berjalan keluar untuk melihat dan meninjau keadaan rakyatnya. Khalifah bertemu dengan pemuda pengembala yang sedang menghalau kambing-kambingnya menuju ke kandang kerana waktu sudah hampir gelap. Khalifah Umar pun mendekati pemuda pengembala itu dengan penuh mesra, seraya berkata: “Banyak sungguh kambing-kambing yang kamu pelihara, bagus dan gemuk-gemuk semuanya. Oleh itu kamu juallah kepadaku. Saya mahukan seekor darinya yang gemuk dan bagus.”

Mendengar kata-kata demikian, pengembala tersebut menjawab: “Kambing-kambing ini bukanlah milik saya, tetapi milik majikan saya. Saya hanyalah seorang hamba dan pengembala yang mengambil upah sahaja.” Khalifah Umar memujuk pemuda itu supaya dapat menjual seekor dari kambing-kambing majikannya untuk menguji sampai sejauh mana sifat amanah dan jujurnya. Khalifah berkata: “Saya rasa tidak mengapa kalau kamu menjual seekor sahaja untukku. Tambahan pula kamu boleh dapat wang darinya. Jika majikan kamu bertanya tentang kambing yang seekor itu, katakan sahaja kambing itu telah dibaham oleh serigala. Sudah tentu majikan kamu tidak mengetahui yang kambing seekor itu telah kamu jual.” Jawab pengembala itu, “Tidak boleh sebab ia amanah dan saya pula tidak boleh berlaku curang walau apa sekali pun.”

Tanya Khalifah lagi: “Siapakah majikan kamu dan di manakah tempat tinggalnya?” Pengembala  itu menjawab: “Si polan … si polan… Majikanku tinggal di sebalik atas bukit di hujung sana.”

Namun Khalifah Umar terus berusaha memujuk pengembala tersebut supaya dapat menjualkan seekor dari kambing-kambingnya. “kalau kamu jual seekor dari kambing tersebut, sudah tentu majikan kamu tidak nampak. Bukankah tiada sesiapa pun dekat sini yang melihat?” tanya Umar. Pujukan demi pujukan Khalifah Umar tidak melemahkan hati pemuda pengembala itu. Ia tetap tegar mempertahankan sikap jujur dan amanahnya. “Memanglah majikan saya tidak dapat melihat perbuatan iti, tetapi ada yang dapat melihatnya iaitu Allah SWT dan saya takut kepada Allah,” jawab pemuda pengembala itu tegas. Mendengarkan itu Umar tersenyum puas.

Untuk itu apakah Najib selaku pemimpin umat Islam di Malaysia hari ini merasa sedih apabila mendengar berita ada dikalangan rakyatnya sendiri yang sanggup melacur semata-mata kerana ingin membelikan susu untuk anaknya? Atau sebaliknya Najib tersenyum gembira kerana si ibu sanggup berdikari dengan gigih untuk  mencari nafkahnya sendiri???
 Wallahu a’lam