SN277 – JANGAN PERTIKAI PENERAPAN HUKUM ALLAH
Dalam responsnya kepada isu hudud ini, Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, “Pelaksanaan hukum hudud di negara ini belum dapat dilaksanakan kerana faktor kesesuaiannya dengan masyarakat majmuk di negara ini. Sebagai orang Islam, keraguan terhadap hukum hudud tidak timbul sama sekali, cuma negara kita rakyatnya pelbagai kaum” [UM 26/9/2011]. Kenyataan yang hampir sama juga dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, “Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, kita kena jelaskan supaya orang ramai faham, saya percaya sekarang ini belum sampai masanya (untuk dilaksanakan). Bukan soal hudud diterima atau tidak kerana dalam Islam memang ada hukum hudud, sebagai orang Islam saya tak tolak termasuk juga pembangkang..itu kenyataannya kerana ia terkandung dalam hukum syarak tetapi soal pelaksanaan itulah pokok perbahasannya” [UM 23/9/2011].
Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula menyatakan bahawa keadaan di Malaysia masih belum kondusif untuk dilaksanakan hudud dan semua pihak kena bekerjasama untuk menjadikan keadaan kondusif tersebut [UM 21/9/2011]. Pensyarah USM itu juga berkata, adalah tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan pihak lain kerana tidak melaksanakan hukum itu. Kenyataan ini sebenarnya lebih bersifat ke arah membela pihak tertentu kerana tidak melaksanakan hukum hudud, daripada berusaha untuk menerapkan hukum Allah itu.
Alasan Jahiliyyah Yang Bathil & Membahayakan
Walau apa sekalipun alasan manis yang diberikan oleh pemerintah di dalam menolak hudud, hakikatnya sejak dimerdekakan oleh British pada tahun 1957, tidak ada satu usaha atau langkahpun yang diambil oleh kerajaan untuk melaksanakan hudud dan syariat Islam yang lainnya. Inilah sebenarnya halangan utama untuk menerapkan Islam dalam sesebuah negara yakni keengganan pemerintah Muslim itu sendiri untuk menerapkannya. Semua orang tahu bahawa kuasa untuk menerapkan sesuatu undang-undang itu ada di tangan pemerintah. Merekalah pihak yang menentukan sama ada ingin menerapkannya atau tidak. Walaupun terdapat sedikit sebanyak halangan dari orang-orang kafir, baik dari dalam mahupun luar negara terhadap penerapan Islam, namun halangan yang terbesar hakikatnya datang dari pemerintah Muslim itu sendiri.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan adanya ulama yang dibayar gaji oleh pemerintah untuk bercakap ‘senada’ dengan apa yang pemerintah mahukan. Walaupun bergelar ulama, namun mereka sering mengeluarkan fatwa atau pendapat yang menyokong kerajaan sekular di dalam mengekalkan sistem sekular yang sedia ada yang sekaligus menunjukkan keengganan dan penolakan halus mereka terhadap penerapan hukum Allah. Baik umara’ (pemerintah) mahupun ulama yang ada, kedua golongan ini seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk menerapkan Islam, namun apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar mengeluarkan alasan itu dan ini untuk tidak menerapkan Islam. Betapa buruknya mereka! Dengan alasan-alasan inilah mereka telah mempengaruhi masyarakat agar sama-sama tidak menerapkan Islam sehingga berapa ramai dari kalangan kaum Muslimin sendiri yang telah mengemukakan alasan yang sama untuk tidak menerapkan hukum Allah.
Sautun Nahdhah kali ini akan memfokuskan perbincangan kepada dua alasan yang sering diungkit apabila menyentuh isu hudud:-
Pertama: Kita hidup dalam masyarakat majmuk, berbilang kaum, berbilang agama, berbilang adat resam dan sebagainya, jadi Islam tidak sesuai diterapkan. Ini adalah antara alasan yang paling popular. Dalih ini, walaupun teramat dangkal namun tetap menjadi alasan ‘evergreen’ untk diputar dan dikitar semula dari masa ke semasa. Mereka bercakap seperti orang buta yang sudah tidak waras fikirannya. Apakah mereka tidak dapat melihat realiti (dan berdasarkan logik akal sekalipun) di negara mana sekalipun di dunia ini, masyarakat sesebuah negara itu sudah pastinya majmuk dan tidak homogen, baik negara itu kecil mahupun besar? Dan yang lebih penting, pada hakikatnya, undang-undang manapun yang diterapkan di dalam sesebuah negara tidaklah diperuntukkan hanya bagi kalangan yang homogen saja. Contohnya di negara besar seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, tidak semua penduduknya Kristian, akan tetapi undang-undang (kufur) yang diterapkannya adalah terpakai untuk semua kaum/agama tanpa mengira kaum/agama tertentu sahaja. Begitu juga di negara kecil seperti Brunei, Qatar, Kuwait dan lain-lain, tidak semua penduduknya Muslim dan dari bangsa yang sama, namun undang-undang yang ada tetap merangkumi masyarakat secara keseluruhan termasuklah non-Muslim. Di China, jutaan umat Islam tinggal di sana, namun aturan yang diterapkan tetap aturan sosialisme-komunisme.
Di Malaysia, terdapat 3 kaum/agama besar yang diakui, tetapi undang-undang yang diterapkan tetap sama. Masyarakat tetap dipaksa patuh kepada Kanun Keseksaan (undang-undang jenayah) yang sama, undang-undang sivil yang sama, undang-undang jalanraya yang sama dan sebagainya. Malah keseluruhan rakyat tidak mengira agama dan bangsa dipaksa tunduk kepada Perlembagaan Persekutuan yang sama! Jadi, sungguh tidak rasional menolak ditegakkannya syariat Islam dengan alasan kemajmukan penduduknya. Jika undang-undang kufur yang sama, boleh (dan telahpun) diterapkan untuk semua penduduk Malaysia dengan keadaan masyarakatnya yang majmuk, kenapa pula undang-undang Islam tidak boleh? Tidakkah suatu cara berfikir yang amat dangkal jika kita mengatakan bahawa undang-undang kufur sesuai diterapkan di dalam masyarakat majmuk tetapi undang-undang Islam tidak sesuai? Walhal undang-undang Islam itu datangnya dari Allah Yang Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Tahu yang ditaklifkan kepada seluruh manusia (bukan kepada orang Islam semata-mata) yang apabila diterapkan sudah barang pasti akan mendatangkan kebaikan dan keadilan berbanding undang-undang kufur yang penuh dengan kerosakan!
Lebih dangkal lagi jika kita mengatakan bahawa kita perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat yang minoriti (jika menerapkan Islam). Jika menggunakan cara berfikir begini, AS, Eropah, China dan lain-lain negara yang minoriti penduduknya adalah Muslim, maka perlulah mereka menerapkan hukum-hukum Islam di dalam negara mereka demi menjaga sensitiviti penduduk Muslim yang minoriti. Sebaliknya semua negara umat Islam seperti negara-negara Arab, Pakistan, Indonesia dan Malaysia hendaklah menerapkan sistem kufur kerana minoriti penduduknya adalah kafir. Sungguh tunggang langgang cara berfikir seperti ini! Kita semua tahu bahawa negara-negara kufur seperti AS, UK, China, India, Thailand dan lain-lain tidak pun pernah mengambil kira sensitiviti penduduk minoriti Muslim dalam negara mereka apabila menerapkan undang-undang kufur mereka, malah orang-orang Islam sering menjadi golongan sasaran kezaliman mereka. Anehnya, apabila kita ingin menerapkan hukum Islam di Malaysia, para pemerintah dan ulama’ (termasuk sebahagian umat Islam) menyatakan bahawa kita perlu mengambil kira sensitiviti penduduk non-Muslim!
Sebenarnya persoalannya bukanlah terletak pada homogen atau majmuknya penduduk, tetapi terletak pada ‘kewajipan’ yang diperintahkan Allah kepada kita untuk melakukannya yakni sistem atau hukum apakah yang Allah telah wajibkan untuk mengatur manusia? Jawabannya, tentu saja Islam! Bukankah masyarakat Mekah dan Madinah juga majmuk, baik dari segi bangsa mahupun agama? Kita semua tahu bahawa di Negara Islam Madinah terdapat kaum Musyrikin, Yahudi dan Nasrani, namun tetap sahaja Rasulullah SAW menerapkan Islam di sana. Kita juga tahu bahawa Mekah (selepas fathu) pun terdiri dari masyarakat Islam dan non-Muslim, namun hukum yang dilaksanakan tetap saja Islam.
Begitulah juga dengan Negara Khilafah di masa pemerintahan Khulafa’ Rasyidun yang semakin meluas wailayahnya, kesemuanya terdiri dari masyarakat majmuk, namun Islam tetap menjadi hukum-hakam yang menaungi keseluruhan penduduknya. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah mempersoalkan ‘kesesuaian’ Islam untuk diterapkan dalam masyarakat majmuk, justeru kenapa ada pemimpin, ulama dan umat Islam yang mempersoalkannya? Pada faktanya, lebih kurang 13 abad syariat Islam diterapkan dalam Daulah Khilafah yang menaungi hampir dua per tiga dunia dengan kemajmukan penduduknya yang tidak pernah dipertikaikan ‘kesesuaian’nya, kerana hukum Allah sememangnya sesuai untuk seluruh makhlukNya, kenapa kini hal ini menjadi persoalan pemerintah dan ulama’ pada hari ini?
Jika diterima cara berfikir begini, maka kita kena tunggu masyarakat Malaysia hilang kemajmukannya, barulah dapat diterapkan hukum Allah dan jika demikian, hingga kiamatlah hukum Allah tidak akan dapat diterapkan kerana pada hakikatnya, mustahil untuk menghapuskan kemajmukan penduduk. Justeru amat penting untuk diungkapkan di sini betapa bahayanya cara berfikir seumpama ini dari segi akidah. Firman Allah Azza Wa Jalla, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali” [TMQ al-Hujurat (49):13]. Kepada golongan yang mempertikaikan kesesuaian penerapan hukum Islam atas alasan masyarakat majmuk, mereka seharusnya segera bertaubat agar tidak tergelincir dari akidah Islam. Di dalam ayat ini, Allah SWT telah menyatakan dengan jelas bahawa Dia menciptakan manusia berpuak-puak (majmuk) dengan tujuan tertentu. Dalam masa yang sama (dalam banyak ayat lain) Allah SWT mewajibkan hukumNya diterapkan. Mengatakan bahawa hukum Islam tidak sesuai diterapkan kerana masyarakat majmuk, seolah-olah mengatakan bahawa Allah itu zalim, tidak tahu atau tidak bijak. Kenapa? Kerana Allah mencipta manusia secara majmuk dan Allah mewajibkan hukumNya diterapkan, tetapi hakikatnya Allah tidak tahu bahawa undang-undangNya itu tidak sesuai diterapkan di dalam masyarakat majmuk! Maha Suci Allah dari semua itu. Inilah bahayanya cara berfikir yang meletakkan akal dan hawa di depan, bukannya Allah di depan. Manusia merasa takjub dengan pendapatnya dan merasakan yang pendapatnya lebih bijak dari Allah. Na’uzubillah min zalik.
Kedua: Keadaan atau suasana di Malaysia tidak kondusif untuk menerapkan hudud. Jadi, kita mestilah menyediakan keadaan yang kondusif terlebih dahulu, barulah hudud diterapkan dan barulah nampak keadilan Islam. Di sisi akal manusia, alasan ini nampak macam masuk akal, itupun jika dilihat dari satu sudut sahaja. Tetapi adakah alasan ini benar dan diterima oleh Allah sekiranya kita ditanya di akhirat nanti? Untuk menentukan sama ada alasan ini masuk akal atau tidak, cuba kita jawab soalan berikut dengan ikhlas – Adakah semasa British datang menjajah Tanah Melayu dan menerapkan undang-undang kufur mereka, telah wujud satu keadaan yang ‘kondusif’ untuk mereka terapkan undang-undang kufur tersebut pada waktu itu ATAU mungkin datuk nenek moyang kita dahulu telah pun menyediakan satu suasana yang ‘kondusif’ untuk golongan kuffar itu menerapkan undang-undang kufur mereka sehingga penjajah itu pun menerapkanlah undang-undang mereka ke atas penduduk Tanah Melayu ketika itu? Kalau soalan ini dirasakan tidak releven kerana ia telah menjadi sejarah, cuba kita jawab soalan berikut dengan ikhlas – adakah keadaan atau suasana di Malaysia “sekarang” sangat kondusif untuk kita terapkan undang-undang kufur sehingga kita boleh terima tindakan kerajaan menerapkan undang-undang kufur ke atas kita semua?
Kenapa semasa British menerapkan undang-undang kufur mereka, dan kenapa semasa setiap kali kerajaan menerapkan undang-undang kufur, dari merdeka (1957) hingga sekarang, golongan yang suka beralasan ini tidak pernah tanya atau mempersoalkan sama ada suasana kita sekarang ‘kondusif’ atau tidak untuk diterapkan undang-undang kufur ini? Kenapa apabila kita ingin menerapkan hukum Allah, maka perlu ditanya atau disediakan terlebih dahulu keadaan kondusif, barulah boleh diterapkan hukum Allah? Standard ukuran manakah yang digunakan untuk menyatakan bahawa hukuman penjara (sekarang) bagi pencuri adalah lebih kondusif berbanding hukuman potong tangan? Standard ukuran apakah yang digunakan untuk menyatakan bahawa keadaan di Malaysia sekarang amat kondusif untuk menjalankan hukuman sebat 6 kali kepada penzina, dan tidak kondusif untuk penzina di sebat 100 kali? Standard ukuran apakah yang dipakai untuk menyatakan bahawa kedaaan di Malaysia sekarang amat kondusif untuk menerapkan sistem riba (hukum kufur), berbanding tidak menerapkan sistem riba (hukum Islam)? Standard ukuran kondusif bagaimanakah yang perlu wujud terlebih dahulu, barulah kerajaan boleh memberikan pendidikan, kesihatan dan keamanan percuma kepada rakyat sebagaimana diperintahkan oleh Islam? Jika tidak wujud keadaan kondusif, maka selagi itulah kerajaan boleh terus menindas rakyat dengan cukai, mengenakan pendidikan berbayar, kesihatan berbayar dan hasil bumi boleh dirompak oleh kerajaan sesuka hati! Masuk akalkah semua ini?
Ada pihak yang mengemukakan nas bahawa Rasulullah SAW tidak melaksanakan hudud (potong tangan) ketika kebuluran dan juga di dalam peperangan, lalu berdasarkan hadis ini mereka menafsirkan bahawa Rasulullah SAW tidak melaksanakan hudud kerana “wujud keadaan yang tidak kondusif” untuk berbuat demikian. Inilah hujah mereka. Penarikan kesimpulan secara gopoh seperti ini adalah amat keliru dan amat merbahaya kerana boleh memesongkan kefahaman umat Islam. Kefahaman yang benar dalam hal ini adalah, hudud itu wajib diterapkan dalam keadaan apa sekalipun kecuali terdapat nas yang mengecualikannya. Jika terdapat keadaan di mana Rasulullah SAW tidak melaksanakan hudud, maka itu adalah pengecualian yang wujud di dalam kes tersebut dan tidak boleh digeneralisasikan kepada seluruh keadaan. Bagi kita yang mengamalkan nas, maka kita tidak boleh potong tangan pencuri semasa musim kebuluran dan di dalam peperangan, kerana “adanya nas” yang mengecualikannya, bukannya kerana “keadaan tidak kondusif” untuk menerapkannya.
Ringkasnya, apa yang wajib kita ikuti adalah “nas”, bukannya “keadaan”. Kita perlu tunduk kepada nas, bukan kepada keadaan. Pihak yang mengemukakan alasan bahawa perlu wujud suasana kondusif baru boleh diterapkan Islam, hakikatnya telah meletakkan Islam itu ‘tunduk’ kepada suasana, walhal suasana (dan manusia) itulah yang wajib tunduk kepada Islam!!! Sebagai Muslim, kita wajib ingat bahawa hukum Allah yang wajib diterapkan itu bukanlah hudud semata-mata dan kita wajib meyakini bahawa hukum Allah, apa sekalipun ia, baik kecil mahupun besar, baik ibadat mahupun akhlak, baik hudud mahupun muamalat, kesemuanya adalah sesuai diterapkan pada setiap masa, tempat dan suasana, dari mula Islam diturunkan hinggalah ke hari manusia dibangkitkan. Firman Allah, “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal (hukum) siapakah yang lebih daripada hukum Allah, bagi orang-orang yang yakin” [TMQ al-Maidah (5):50]. Setelah jelas ayat-ayat Allah kepada kita semua, mengapakah masih ada umat (dan gerakan) Islam yang masih terus memberi alasan dan masih terus mempertikaikan kesesuaian penerapan hukum Allah, malah ada yang masih terus berkompromi dan bekerjasama dengan pihak-pihak kafir dan sekular yang jelas-jelas menolak hukumNya? Ittaqullah ya ayyuhal Mukminun, ittaqullah…