SN389 – BERKENAAN PENGISYTIHARAN PENEGAKAN KHILAFAH OLEH ISIS

SN keluaran 4 Julai 2014

banner_sn

[Berikut adalah terjemahan jawapan Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ Bin Khalil Abu Al-Rashtah kepada persoalan mengenai pengisytiharan Khilafah oleh ISIS]

Bismillah ar-Rahman ar-Raheem

Berkenaan Pengisytiharan Penegakan Khilafah Oleh ISIS

Kepada semua saudara dan saudari yang menghantar pertanyaan terhadap pengisytiharan organisasi yang berkenaan mengenai penegakan Negara Khilafah…dan saya memohon maaf kerana tidak menulis nama anda di sini kerana terlalu ramai…

Assalamu alaikum wa Rahmatullah wa Barakatahu,

Kami telah pun menghantar jawapan sebelum ini dan saya ulangi jawapannya:

Saudara dan saudari yang dimuliakan,

1. Mana-mana tanzim (organisasi) yang mahu mengisytiharkan Khilafah di mana-mana tempat, maka perkara yang wajib atas mereka adalah untuk mengikut thariqah (metodologi) Rasulullah SAW dalam perkara tersebut. Antaranya, hendaklah tanzim ini mempunyai kekuasaan (sulthan) yang jelas di tempat ini, yang mampu memelihara keselamatan dalaman dan luarannya. Juga hendaklah tempat ini mempunyai komponen(elemen-elemen)Daulah di kawasan yang diumumkan Khilafah…Hal ini adalah sepertimana dahulunya semasa Rasulullah SAW mewujudkan Daulah Islam di Madinah al-Munawwarah; kekuasaan di situ adalah milik Rasulullah SAW serta keamanan dalaman dan luarannya adalah dengan keamanan kekuasaan Islam. Ianya memiliki elemen-elemen Daulah di kawasan yang diliputinya.

2. Adapun tanzim yang mengisytiharkan Khilafah ini, ia tidak mempunyai kuasa ke atas Syria mahupun Iraq. Ia juga tidak dapat merealisasikan keselamatan dan keamanan dalaman mahupun luaran, hinggakan orang yang mereka baiat sebagai Khalifah tidak boleh muncul secara terbuka, bahkan terus dalam keadaan bersembunyi seperti keadaannya sebelum Daulah diisytiharkan! Hal ini adalah bertentangan dengan apa yang telah berlaku pada masa Rasulullah SAW, di mana Allah telah membenarkan Rasulullah SAW untuk bersembunyi di gua Tsur sebelum adanya Daulah, tetapi selepas adanya Daulah, baginda SAW melakukan ri’ayahal-syu’un (mengurus hal-ehwal umat), memimpin tentera, menyelesaikan persengketaan, mengirim para utusan dan menerima kedatangan mereka secara terbuka, tanpa sembunyi-sembunyi. Jelas bahawa keadaan sebelum wujudnya Daulah adalah berbeza dengan selepas kewujudannya.

Oleh itu, pengisytiharan Khilafah oleh organisasi tersebut adalah kenyataan kosong tanpa ada isi kandungannya. Ia adalah sama seperti orang-orangsebelumnya yang pernah mengisytiharkan Khilafah tanpa fakta di bumi nyata dan tanpa komponennya, tetapi hanya untuk memuaskan hati mereka dari dalam. Kerana itu, ada orang yang mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah dan ada yang lain mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi dan sebagainya…tanpa memiliki komponen (sebagai sebuah Daulah), kekuasaan, keselamatan atau keamanan…!

3. Sesungguhnya Khilafah merupakanDaulah yang wujudnya adalah nyata. Syarak telah menjelaskan metode untuk mendirikannya serta tatacara mengistinbat(menggali) hukum-hakamnya dalam pemerintahan, politik, ekonomi dan hubungan antarabangsa…Daulah Khilafah bukanlah hanya soal pengisytiharan namanya semata-mata yang disiarkan dalam laman-laman web atau media cetak dan audio-visual. Sebaliknya, (kewujudan) Daulah merupakan satu peristiwa besar yang akan menggoncang dunia, akarnya kukuh di muka bumi dan kekuasaannya akan memelihara keselamatan dalaman dan luaran di tempat ia berdiri. Ia akan menerapkan Islam di dalam negara dan membawa Islam ke seluruh pelosok dunia dengan dakwah dan jihad…

4. Sesungguhnya pengisytiharan yang berlaku adalah suatu yang kosong, yang secara realitinya tidak menambah dan tidak mengurang struktur negara. Tanzim ini merupakan gerakan bersenjata sebelum pengisytiharan dan selepas pengisytiharan itu dibuat. Keadaannya adalah sama seperti keadaan gerakan-gerakan bersenjata yang lain yang saling berjuang terhadap rejim yang belum berupaya mendapat sebarang kekuasaan ke atas Syria atau Iraq atau kedua-duanya. Jika mana-mana gerakan ini, termasuklah ISIS, benar-benar berjaya mendirikan kekuasaannya di atas kawasan yang sepatutnya, dengan (memiliki) komponen sebuah negara serta mengisytiharkan tertegaknya Khilafah dan ia menerapkan Islam, maka adalah layak/berbaloi untuk mengkajinya bagi melihat sama ada Khilafah yang didirikan itu selaras dengan hukum-hukum syarak dan (jika ya) selepas itu ia akan diikuti. Hal itu kerana penubuhan Khilafah adalah wajib ke atas umat Islam, bukan hanya wajib ke atas HizbutTahrir sahaja. Maka barangsiapa yang mendirikannya dengan benar, ia akan diikuti…

Bagaimana pun, perkara yang terjadi ini tidaklah begitu. Bahkan semua puak bersenjata “militia” termasuk ISIS, tidak memiliki elemen-elemen Daulah mahupun kekuasaan, juga (tidak memiliki) keselamatan dan keamanan di tempat tersebut. Oleh yang demikian, pengisytiharan ISIS tentang penubuhan Khilafah adalah (pengisytiharan) kosong dan tidak sayugia untuk dibincangkan faktanya kerana ia begitu jelas…

5. Bagaimana pun, apa yang sayugia untuk diperhati dan dibincangkan adalah kesan negatif pengisytiharan ini terhadap idea Khilafah dalam kalangan orang-orang kebanyakan; memandangkan konsep Khilafah jatuh dari kedudukannya yang agung dan kepentingan besarnya kepada umat Islam, menjunam menjadi idea yang lemah, sebagai jalan pelampiasan kekecewaan oleh sesetengah orang. Lalu salah seorang daripada mereka akan berdiri di halaman atau lapangan atau kampung dan mengisytiharkan bahawa dia adalah Khalifah. Kemudian ia diturunkan dan dia menyangka dia telah berbuat baik! Lalu akan hilanglah kepentingan dan keagungan Khilafah di hati orang-orang kebanyakan ini dan ia menjadi tidak lebih daripada nama yang indah untuk dilafazkan tetapi kosong dari isi kandungan…Inilah perkara yang sepatutnya diperhatikan, terutamanya pada waktu ini yang mana tegaknya kembali Khilafah sudah semakin dekat berbanding sebelumnya dan umat Islam sudah tidak sabar-sabar menunggu penegakannya. Mereka melihat perkembangan HizbutTahrir menyusuri perjalanan penegakan Daulah Islam persis sebagaimana jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW semasa baginda menegakkannya di Madinah al-Munawwarah…dan mereka melihat interaksi yang hidup dan penuh pengajaran di antara Hizb dan umat yang memeluk (menyokong)nya.

Dari interaksi ini, umat Islam sedar makna persaudaraan Islam yang sebenar. Mereka akan turut gembira dengan kejayaan Hizb dalam menegakkan Khilafah, penjagaan baiknya terhadap urusan umat Islam dan inilah Khilafah ala minhaj nubuwwah yang benar…(tidak sebagaimana) sekarang ini, pengisytiharan ini datang dengan memberikan gambaran yang kabur, jika pun tidak diputar belit, terhadap realiti sebenar Khilafah dalam fikiran orang-orang kebanyakan…

6. Semua ini menimbulkan persoalan, bahkan beberapa persoalan…tentang masa pengisytiharan di mana pihak yang membuat pengisytiharan tidak memiliki kekuasaan untuk menjaga keselamatan serta perlindungan dalaman dan luaran Daulah ini. Bahkan pengisytiharan hanya dibuat di facebook dan media massa…masanya adalah diragui, khususnya apabila gerakan-gerakan bersenjata ini berdiri bukan atas asas strukturpemikiran (ideologi), yang memudahkannya ditembusi dan dimasuki oleh orang-orang jahat dari Timur dan Barat. Umum mengetahui bahawa Barat dan Timur merancang (kejahatan) untuk Islam dan Khilafah. Mereka berkepentingan untuk memutarbelitkan gambaran Khilafah kerana mereka tidak boleh memadamkan namanya. Mereka sentiasa mengawasi supaya Khilafah tidak wujud kecuali sekadar namanya tanpa apa-apa isi kandungan. Peristiwa besar yang akan menggamamkan puak kuffar kini menjadi nama yang dibuat jenaka oleh musuh-musuh Islam ini…!

7. Di sebalik segala tindakan yang dibuat oleh orang-orang jahat itu, kami menegaskan kepada musuh-musuh Islam dari Timur dan Barat, ejen-ejen mereka, para pengikut mereka serta orang-orang jahil mereka, bahawa Khilafah yang menguasai dunia selama berabad-abad lamanya adalah fakta yang tidak asing lagi. Ia terjaga daripada pemutarbelitan fakta walau bagaimana rencana dan tipudaya dilakukan sekalipun. Firman Allah SWT, “Mereka melakukan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas tipu daya” [TMQ al-Anfal (8):30].

Allah Yang Maha Kuat lagi Maha Berkuasa telah mentakdirkan untuk urusan Khilafah ini suatu parti yang mempunyai para lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jualbeli daripada menyebut serta mengingati Allah. Mereka memeluk Khilafah dengan hati, pendengaran serta penglihatan mereka. Mereka membuat persiapan untuknya dan melakukan istinbat terhadap hukum-hakam dan perlembagaannya daripada sumber Islam, termasuk struktur pemerintahan dan pentadbirannya. Mereka bergerak untuk menegakkannya mengikuti persisthariqah (jalan) Rasulullah SAW…

Dengan izin Allah, mereka adalah perisai-perisai yang menghalang sebarang penyelewengan. Mereka adalah batu-batu yang menghancurkan komplot puak kuffar, ejen-ejen dan para pengikutnya, dengan pertolongan Allah SWT. Mereka adalah ahli-ahli politik yang sedar yang dengan bantuan kekuatan Allah, menolak tipu daya musuh-musuh Islam dan umat Islam ke dalam kerongkong mereka. Firman Allah SWT, “Rencana yang jahat itu tidak menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri” [TMQ al-Fatir (35):43].

Wahai saudara dan saudari yang dimuliakan!

Sesungguhnya persoalan Khilafah Islamiyyah adalah persoalan besar dan urusannya adalah sangat serius. Penegakannya bukanlah secebis berita yang disebarkan oleh media yang mengelirukan, tetapi dengan izin Allah ia akan menjadi berita menggemparkan yang akan menggoncang dan akan memutarbalik (status quo) politik antarabangsa serta akan mengubah wajah sejarah dan hala tujunya…

Khilafah di atas jalan kenabian akan pasti kembali sepertimana yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW. Mereka yang mendirikannya adalah seperti mereka yang mendirikan Khilafah Rasyidah yang pertama (yang terdiri daripada) orang-orang yang bertakwa dan bersih, mereka mencintai umat dan umat pun mencintai mereka. Mereka berdoa untuk umat dan umat pun berdoa untuk mereka. Mereka gembira menemui umat dan umat pun gembira menemui mereka. Umat tidak membenci kehadiran mereka di tengah-tengah umat…

Demikianlah (ciri-ciri) pemilik Khilafah yang akan datang yang berjalan di atas jalan kenabian. Allah SWT memberikannya kepada orang-orang yang menjadi ahlinya. Kita berdoa kepada Allah agar kita adalah ahli-ahlinya. Kita juga memanjatkan doa kepada Allah agar melimpahkan kurniaNya kepada kita untuk mendirikannya. FirmanNya, “Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu” [TMQ at-Taubah (9):111].

Janganlah kalian berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah. Allah tidak akan mensia-siakan usaha yang telah kalian lakukan, tidak akan menolak doa yang kalian panjatkan dan tidak akan mengecewakan kalian atas pengharapan yang kalian letakkan. Maka bantulah kami dengan meningkatkan lagi usaha dan pengorbanan yang sekali gus menjadi bukti kepada Allah akan kebaikan kalian, agar Dia menambahkan lagi kebaikan buat kalian. Jangan jadikan percakapan kosong sebagai hal yang memperlahankan usaha gigih kalian.

Saya harap jawapan ini memadai. Semoga Allah memberikan kejayaan dan pertolonganNyakepada kalian dan semoga Allah menunjuk kita semua ke jalan yang benar.

Wassalam Alaikum Wa Rahmatullah Wa Barakatahu

Saudaramu,

Atha’ Bin Khalil Abu Al-Rashtah

04 Ramadan 1435 H
02 Julai 2014 M

[sumber: https://www.facebook.com/Ata.abualrashtah]