ABDULLAH QUILLIAM : SHEIKHUL ISLAM BAGI KEPULAUAN BRITISH

Sheikh William Henry Abdullah Quilliam (1856-1932) adalah merupakan seorang Inggeris yang berasal dari Liverpool, England. Beliau bertugas sebagai seorang peguamcara di mana beliau memeluk Islam pada tahun 1887 dan mendirikan masjid Britain yang pertama di Liverpool. Beliau adalah anak kepada seorang pengilang jam, Robert Quilliam, yang juga daripada keturunan Kapten John Quilliam R.N., iaitu leftenan tentera pertama menaiki HMS Victory di bawah Laksamana British, Horatio Nelson. Beliau telah dilantik sebagai Sheikhul Islam bagi Kepulauan British dan Kawasan di Bawah Pengaruhnya oleh Khalifah Abdul Hamid II (Khilafah Uthmaniyyah).
Kehidupannya memberikan gambaran yang jelas tentang bagaimana hubungan kaum Muslimin di Barat yang sepatutnya ditunjukkan terhadap masyarakat di mana mereka tinggal, terhadap kerajaan Barat dan juga terhadap umat Islam keseluruhannya, termasuk pada masa akan datang di mana Khilafah akan kembali tertegak, Insya Allah.

Institut Muslim Liverpool yang ditubuhkan oleh Sheikh Quilliam adalah lebih daripada sekadar sebuah masjid. Di sana terdapat sekolah berasrama bagi para pelajar lelaki, sekolah harian bagi para pelajar perempuan, perpustakaan, bilik bacaan, muzium dan makmal sains. Kelas-kelas yang dijalankan merangkumi pelbagai subjek dan para pelajar terdiri dari kedua-dua Muslim dan non-Muslim. Sheikh Quilliam adalah seorang yang sangat lantang bersuara dalam menentang polisi luar negara penjajahan British, terutamanya di Sudan di mana beliau telah menulis surat secara rasmi mengenai pendiriannya (penentangannya) dalam hal ini (lihat surat di bawah).

Walaupun kaum Muslimin secara berterusan menentang kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan British, mereka tidak pernah melakukan sebarang kegiatan keganasan terhadap kerajaan atau dalam masyarakat. Sheikh Quilliam meninggalkan Britain menuju ke Istanbul, ibukota Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1908. Ketika Khilafah menyebelahi Jerman dalam Perang Dunia Pertama dan terlibat dalam peperangan terhadap Britain secara rasminya, Sheikh Quilliam kekal menetap di dalam Khilafah sehinggalah peperangan tersebut berakhir.

Apabila Khilafah ditegakkan semula, kaum Muslimin di Barat haruslah bersedia untuk melakukan hijrah jika kedudukan mereka di Barat terancam disebabkan peperangan yang berlaku antara Barat dan Khilafah, atau disebabkan berlakunya polisi pembersihan etnik yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan Eropah sepertimana yang pernah dilakukan oleh kaum Kristian terhadap kaum Muslimin dan orang-orang Yahudi di Andalusia pada abad ke 15 dahulu.

Surat Sheikh Quilliam terhadap polisi luar negara British di Sudan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Salam sejahtera buat orang-orang yang benar-benar beriman yang menerima seruan ini!

Ketahuilah kamu wahai kaum Muslimin, kerajaan British telah membuat keputusan untuk memulakan operasi ketenteraan terhadap kaum Muslimin di Sudan, di mana mereka telah bersedia mengangkat senjata untuk mempertahankan negara dan kepercayaan mereka. Dan kini, mereka sedang dalam pertimbangan untuk mengupah tentera daripada golongan orang Islam untuk pergi menentang kaum Muslimin di Sudan.

Bagi mereka yang benar-benar beriman, sesungguhnya mengangkat senjata dan memerangi umat Islam yang lain adalah bertentangan dengan syariat dan berlawanan dengan hukum Allah dan RasulNya. Saya ingin memberi amaran kepada setiap orang yang beriman, jika seandainya ada di antara kalian memberi pertolongan walaupun sedikit kepada projek ekspedisi dalam memerangi kaum Muslimin di Sudan ini, walaupun dengan hanya membawa bungkusan, atau memberi secebis roti untuk dimakan, atau memberi minum kepada sesiapa yang terlibat mengambil bahagian dalam ekspedisi memerangi kaum Muslimin, maka dia dianggap sebagai penolong kaum kafir yang menentang kaum Muslimin, dan namanya menjadi tidak berharga sebagai seorang yang beriman. (Ditulis di Masjid Liverpool, England, pada 10 Syawal, 1313, bersamaan 24 Mac, 1896M).

W.H. ABDULLAH QUILLIAM, Sheikhul Islam bagi Kepulauan British.

[Sumber: The Crescent, 25 Mac 1896, Vol. VII, No. 167, p. 617]

Surat Sheikh Quilliam Tentang Khilafah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Salam sejahtera buat semua orang-orang yang beriman di mana sahaja mereka berada.

“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kalian kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kalian mati melainkan dalam keadaan kalian seorang yang beriman. Dan berpeganglah kalian semua dengan janji Allah dan janganlah kalian meninggalkannya. Dan ingatlah nikmat Allah terhadap kalian” (TMQ Ali ‘Imran, ayat 103)

Segala puji bagi Allah yang tidak putus-putus memberikan kebaikanNya, yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat agama Islam yang benar, dan Dialah yang memerintahkan kalian untuk bersatu, dan mengisytiharkan perkara ini sebagai hukumNya berdasarkan ayat yang dipetik dari Quran yang suci lagi tidak pernah musnah.

Di kalangan kaum Muslimin hendaklah sepatutnya tidak ada yang dikenali sebagai orang Turki, orang Arab, orang Kurdi, orang A’jam, orang Afghan, orang India atau orang Inggeris. Mereka semua adalah Muslim, dan sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Islam itu tertegak atas kesatuan terhadap Allah, kesatuan dalam agamaNya, dan kesatuan di kalangan kaum Muslimin. Sejarah telah membuktikan bahawa orang-orang yang beriman sekali-kali tidak pernah dikalahkan ketika mana mereka kekal bersatu, kecuali setelah perpecahan melanda mereka. Di saat ini, kesatuan sangat diperlukan lebih dari segala-galanya di kalangan kaum Muslimin. Kuasa Kristian kini sedang bersedia untuk melancarkan perang salib baru dalam usaha untuk menghancurkan kuasa kaum Muslimin dengan alasan mereka ingin men‘tamadun’kan dunia. Ini tidak lain hanyalah sekadar hipokrasi, akan tetapi dengan senjata yang dimiliki dan sumber-sumber yang disumbangkan tamadun Barat ini, adalah mustahil untuk menghalang hasrat mereka kecuali kaum Muslimin berdiri bersatu di dalam kesatuan yang utuh dan sehaluan.

Wahai kaum Muslimin, janganlah terpedaya dengan hipokrasi ini. Bersatulah kamu semua sebagai seorang lelaki. Janganlah lagi kita berpecah belah. Lindungan Islam adalah di bawah naungan Khilafah. Kiblat bagi orang-orang yang beriman sebenar-benarnya yang mengimpikan kebahagiaan bagi dirinya dan kemakmuran bagi Islam adalah dengan meletakkan kedudukan mulia bagi Khilafah.

Adalah sangat dikesalkan apabila kita dapat melihat sebahagian manusia yang menyebarkan perpecahan di kalangan kaum Muslimin melalui penulisan-penulisan yang dikeluarkan di Mesir, Paris dan London. “Sesungguhnya mereka berada di jalan kesesatan yang nyata”. Jika sekiranya matlamat mereka – seperti yang didakwa – adalah untuk kebaikan bagi Islam, maka biarlah mereka menilai semula tindakan mereka dan mereka akan melihat bahawa di sebalik tindakan mereka ingin memberi keberkatan kepada Islam, mereka sebenarnya mengundang kesan yang bertentangan, dan akan hanya menjadikan perpecahan menjadi bertambah teruk daripada yang sedia ada – maka ini perlu dinyatakan dengan sangat jelas dan nyata.

Kami dengan ikatan persaudaraan ingin menjemput supaya saudara-saudara kita ini kembali kepada kewajipan mereka, dan memanggil mereka atas nama suci Islam untuk kembali bersatu dengan golongan yang beriman. Wahai kaum Muslimin semua! Khilafah berada di bawah darjat Arasy. Marilah kita bersatu di sana, satu dan semua, dan dengan segera!

Disampaikan di Masjid Liverpool pada 5 Zulkaedah 1313H, bersamaan 20 April 1896.
W.H. ABDULLAH QUILLIAM, Sheikhul Islam bagi Kepulauan British.

[Sumber: The Crescent, Vol. VII, No. 171, 22 April 1896, pp. 681-68]