Fenomena Setiap Kali Tibanya Musim Haji
Di rumah Allah inilah tempat di mana Rasulullah saw dan para sahabat berjuang dan mempertahankan keimanan mereka. Banyak sekali tempat-tempat di sekitar Makkah yang menjadi bukti dan saksi perjuangan mereka. Jadi adalah tidak menghairankan jika tempat-tempat ini dikatakan mampu membangkitkan perasaan masa lalu generasi awal kaum Muslimin, yang menghadapi pertentangan yang hebat daripada seluruh masyarakat jahiliyyah Makkah pada saat itu. Tidak ada sedikitpun di setiap sudut kota Makkah yang sunyi daripada penindasan dan penyeksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslimin.
Di sana terdapat suatu tempat di mana sahabat Rasulullah saw, Bilal bin Rabbah, seorang yang berketurunan Habsyah, pernah diseksa oleh seorang ketua Quraisy yang bernama Umayyah bin Khalaf. Tempat tersebut telah dilupakan sama sekali kerana tidak dipelihara dan tidak ditanda kedudukannya oleh penguasa Makkah. Diriwayatkan bahawa kawasan tersebut merupakan antara tempat yang paling panas di kawasan Makkah. Sekiranya sekerat daging diletakkan di situ, nescaya ia akan masak. Apabila ada seseorang yang lalu di sekitar tempat tersebut, ia tidak boleh menafikan akan merasakan bahangnya yang sangat panas sehingga ia meyedari bahawa itulah tempatnya, iaitu tempat di mana Bilal bin Rabbah ra tetap tegar dengan keimanannya. Tetapi sangat sedih pada hari ini, kebanyakan orang yang lalu lalang tidak menyedari tentang sejarah kawasan tersebut.
Jika para jemaah haji ditunjukkan tempat-tempat bersejarah ini, tidakkah mereka akan menyaksikan dan merasa rendah diri mengenangkan betapa beratnya perjuangan yang telah dilalui oleh generasi awal kaum Muslimin? Bukankah mereka sedang mula untuk mengkaji bentuk perjuangan ideologi yang telah berlaku? Tidakkah mereka berfikir bahawa aqidah yang mereka yakini ini merupakan satu bentuk mesej daripada Allah yang mesti terus disampaikan kepada umat manusia? Tidakkah mereka menyedari bahawa sejak awal lagi, Islam telah dilihat sebagai ancaman kepada sistem yang ada dan bagi para penguasa yang zalim? Tidakkah ini semua akan menyedarkan para jamaah haji bahawa mereka juga sebenarnya adalah sebahagian daripada hasil perjuangan tersebut ketika melakukan setiap rukun haji?
Para jemaah haji juga harus ditunjukkan tempat di mana Khabab bin al-Arat ra diletakkan perisai besi yang panas ke atas dadanya tanpa berpakaian, agar dia meninggalkan Islam daripada jiwanya. Bukankah ini akan menyedarkan seseorang untuk berfikir dan bertanya, mengapa terdapat penyeksaan yang sedemikian rupa dan mengapa terdapat rintangan yang hebat kepada risalah yang sempurna, bahkan terdapat fakta yang menunjukkan risalah ini terus menerus masuk ke dalam semua sistem palsu yang ada di dalam kehidupan ini? Tidakkah ini akan menyebabkan perasaan seseorang itu akan tertarik kepada pergolakkan pemikiran dan politik? Mengapa tidak ditunjukkan tempat di mana Rasulullah saw dicela dan dihina oleh Abu Jahal, di mana surat Al-Alaq diturunkan, tempat di mana Allah swt memberikan kebenaran kepada Jibril untuk membunuh Abu Jahal dan tempat di mana Abu Jahal cuba mencekik Rasulullah saw?
Jika mereka ditunjukkan tempat-tempat tersebut di samping semua kisah-kisah ini diterangkan, nescaya bagi mereka yang ikhlas, qalbu mereka akan dipenuhi dengan suatu perasaan yang mendalam dan pemikiran mereka akan menyedari bahawa apa yang sebenarnya berlaku adalah merupakan perjuangan dakwah atas Rasulullah saw yang mulia yang kemudiannya menyebabkan tertegaknya suatu ideologi yang menguasai dunia telah berlaku di situ serta para jamaah akan dapat menyedari bahawa mereka merupakan hasil daripada perjuangan tersebut. Jiwa mereka akan turut tertarik untuk bertanya di manakah ideologi yang agung itu hari ini? Ini akan menimbulkan semangat berjuta-juta jemaah untuk berani berhadapan dengan para penguasa yang ada pada saat ini.
Begitulah juga jika mereka ditunjukkan Darul Arqam, iaitu tempat di mana halaqah-halaqah (pembinaan tsaqafah) dijalankan pada malam hari, atau mereka ditunjukkan halaman-halaman rumah di mana Saidina Abu Bakar ra selalu membaca al-Quran dengan suara yang kuat dan beliau menangis walaupun dia telah dijanjikan perlindungan oleh Allah swt., atau tempat berhampiran dengan Makkah di mana Rasulullah saw telah dianiaya sehingga menyebabkan darahnya mengalir hingga ke kaki dan selipar baginda menjadi merah sehingga tidak dapat dibezakan di antara kaki Rasulullah dan selipar baginda.
Juga tempat di mana baginda Rasulullah saw hamper-hampir dibunuh sebelum baginda berhijrah ke Yathrib, tempat yang mana menunjukkan keberanian Ali bin Abi Talib yang sanggup menggantikan tempat Rasulullah saw yang menjadi sasaran pembunuh. Inilah suasana perjuangan yang harus dibina di kalangan para jemaah agar mereka dapat sedar dan bangkit. Perasaan suasana haji sangat signifikan untuk mencetuskan gelombang kebangkitan ini di kalangan jemaah haji dan seterusnya di kalangan kaum Muslimin.
Niat Jahat Regim Barat
Kesedaran daripada realiti politik pada masa lalu sudah tentu dapat memberikan gambaran yang sangat kuat di dalam fikiran para jamaah haji dan mereka akan mengarahkan jari telunjuk ke arah semua kerajaan dan penguasa yang ada saat ini kerana kegagalan mereka membela ideologi yang agung ini. Mereka hanyalah boneka dan usaha menegakkan Islam tidak ditentukan oleh mereka walaupun mereka berusaha untuk menyuarakan perjuangan Islam. Sesungguhnya kesedaran umat Islam hari ini boleh dilihat di mana-mana dan ini akan dapat mengembalikan kehidupan Islam dengan kejayaan yang besar.
Ini menjelaskan sebab mengapa Barat dan agen-agen mereka sentiasa menonjolkan aspek kerohanian atau ritual belaka, walhal semua aspek politik (menguruskan urusan umat) daripada sistem Islam telah dicabut sama sekali. Salah satu contoh yang paling jelas adalah bagaimana penguasa Arab Saudi melarang setiap perbincangan yang bersifat politik berkaitan kaum Muslimin sedunia kecuali terhad hanya pada perbincangan tentang ibadah haji masing-masing. Padahal perkara tersebut (membincangkan tentang politik) telah menjadi kebiasaan sejak bertahun-tahun.
Bahkan para penguasa tersebut telah memberi jaminan kepada Barat bahawa selepas serangan 11 September 2001, semua jamaah haji akan diawasi, dikawal dan dilarang untuk membincangkan hal-hal yang bersifat politik. Sedikit demi sedikit, hal itu telah menghalang kemunculan persoalan secara rawak di dalam fikiran setiap jamaah tentang penyelewengan yang berlaku di seluruh dunia kaum Muslimin oleh para penguasa pengkhianat laknatullah ‘alaih.
Penjagaan tempat-tempat yang disebutkan tadi sebenarnya berada di bawah tanggungjawab mereka yang mengaku menjadi penjaga dan pelindung kaum Muslimin. Ini adalah kerana tempat-tempat tersebut menjadi amaran kepada kaum Muslimin agar api Islam itu tetap menyala di dalam hati setiap kaum Muslimin dan bahkan menjadi pencetus momentum kebangkitan Islam.
Penipuan ke atas Kaum Muslimin
Namun begitu, penguasa yang ada pada hari ini tidak lagi melindungi tempat-tempat tersebut. Bahkan mereka memusnahkan atau menutupi tempat-tempat tersebut dengan niat untuk mengkhianati kaum Muslimin lalu mereka memberi alasan bahawa tempat-tempat tersebut akan menimbulkan kesyirikan kepada Allah. Sebenarnya pada waktu ini merekalah ibu kepada kemusyrikan yang berlaku di seluruh dunia kaum Muslimin. Oleh kerana itu, sejak awal lagi mereka mendapat kuasa daripada para kolonialis (Britain dan Perancis). Perkara pertama yang mereka lakukan adalah dengan membina binaan-binaan kekal atas lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Kaabah. Padahal masyarakat ketika itu secara keseluruhannya tidak pernah melakukan amalan-amalan pemujaan-pemujaan di tempat tersebut dan hanya menziarahinya seperti menziarahi kubur.
Jadi, perkara syirik yang dikatakan para penguasa ini sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh umat pada waktu itu. Jika benar mereka memusnahkan tempat-tempat tersebut secara ikhlas tanpa niat yang tidak baik, bagaimana mungkin mereka dapat menerangkan pembinaan monumen-monumen amaran berunsur assobiyyah (nasionalisme arab) yang menggambarkan kisah perjuangan dan kebangkitan tentera Arab menentang Khilafah Islam? Pada waktu yang sama, mereka telah memusnahkan tapak Uhud yang disebut sebagai baqiyah (pusara Uhud) di mana Rasulullah saw biasanya akan singgah dan membacakan doa dan juga menjadi peringatan tentang perjuangan idelogi dalam peperangan Uhud. Mereka telah memusnahkan tempat-tempat tersebut dan sebaliknya menguruskan pemeliharaan monumen peringatan Istana Saud.
Jika kita berjalan melalui Riyadh, kita akan melihat Istana Masmak di mana pada masa dahulu ia menjadi tempat para pegawai Britain di dalam menjalankan perancangan jahat untuk meruntuhkan Daulah Khilafah Islamiyah. Britain kemudiannya berjaya memisahkan Arab Saudi daripada Daulah Khilafah Islamiyah dan selanjutnya dengan baik hati telah menghadiahkan tanah Hijaz kepada kesultanan Saudi kerana telah memberikan sokongan kepada Britain. Istana tersebut dipelihara dan dijaga untuk memelihara monumen-monumen sebagai peringatan perjuangan assobiyyah dan sebagai simbol kebanggaan. Rumah Saud ini dilindungi termasuklah juga lubang-lubang bekas tembakan tentera Khilafah Uthmaniyah. Lubang-lubang yang terdapat di dinding rumah tersebut dikatakan sebagai kesan perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman Daulah Islam. Lubang-lubang inilah yang diusahakan secara meluas untuk menimbulkan sentimen assobiyyah Arab untuk menentang apa yang dianggapkan sebagai penjajahan Daulah Khilafah Uthmaniyyah.
Keadaan ini jelas-jelas secara nyata telah menggambarkan kejahatan ke atas kaum Muslimin. Dari satu sisi, para penguasa ini telah menuduh bahawa simbol-simbol perjuangan umat Islam terdahulu telah membawa kepada kemusyrikan, dan pada sudut yang lain mereka membiarkan dan memelihara monumen yang melambangkan assobiyyah yang merupakan salah satu bentuk fahaman jahiliyyah. Ini juga menunjukkan kepada kaum Muslimin tentang objektif jenayah politik mereka di sebalik kesemua keputusan yang mereka buat. Mereka menghapuskan tapak peringatan perjuangan Rasulullah saw dan dikatakan ia bukanlah bersifat agama seperti yang mereka gembar-gemburkan, walhal ia semata-mata bertujuan untuk mencabut aspek politik daripadanya.
Khatimah
Walaupun ibadah haji telah dilaksanakan selama bertahun-tahun oleh kaum Muslimin, namun tidak ada sedikitpun pertentangan dalam bentuk gerakan yang besar daripada jamaah haji yang hadir di Makkah. Demonstrasi yang dilakukan oleh sebahagian kecil kaum Muslimin ketika mengerjakan haji tentu tidak mempengaruhi sedikit pun, malah mungkin akan dikatakan sebagai pengacau oleh pihak keselamatan Makkah. Sepatutnya kebangkitan ini wajib berlaku di seluruh peringkat supaya dapat menyedarkan kaum Muslimin tentang perkara yang mesti dipandang serius oleh mereka di seluruh dunia.
Sepanjang sejarah kegemilangan pemerintahan Islam, musim haji merupakan tempat berkumpulnya umat Islam bersama Khalifah untuk duduk bersama dan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan kepentingan kaum Muslimin. Tetapi pada hari ini, pertemuan haji bukan sahaja hanya memperlihatkan aspek ritual di kalangan jamaah belaka, namun ia juga menunjukkan dengan jelas sentimen assobiyyah di kalangan jamaah.
InsyaAllah, suatu ketika nanti, Khilafah akan mengembalikan ingatan kita kepada perjuangan Rasulullah saw di Makkah dan jemaah haji akan berkumpul di Makkah bersama Amirul mukminin mereka, Khilafah Rasyidah ‘ala minhajin nubuwwah.