Penyelewengan Makna Sebenar “Hablum Minallah wa Hablum Minannaas”.

Hablum minallah wa hablum minannaas – suatu istilah yang sering didengari dan sudah tidak asing lagi bagi kita umat Islam. Kita juga tidak pernah mempersoalkan apabila ungkapan tersebut diterjemahkan dengan maksud menjalinkan hubungan yang baik dengan Allah SWT dan menjalinkan hubungan yang baik dengan sesama manusia. Ayat ini sering disebut-sebutkan oleh para penceramah apabila setiap kali umat Islam menyambut ketibaan bulan Syawal tatkala sesuatu majlis silaturrahim diadakan. Setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan, umat Islam  dikatakan menjalinkan hubungan yang baik dengan Allah melalui hablum minallah dan pada bulan Syawal, umat Islam menyempurnakannya dengan menjalinkan pula hubungan yang baik dengan sesama manusia melalui hablum minannaas. Begitu juga dengan program-program motivasi Islam, topik ini juga sering dimasukkan sebagai salah satu tentatif perbincangan program. Persoalannya, adakah benar makna sebenar hablum minallah dan hablum minannaas adalah sepertimana yang disebutkan di atas? Bagaimanakah pula dengan pendapat para mufassirin (ahli tafsir) mengenainya? Penulisan ini akan merungkaikan apakah pemahaman sebenar yang perlu diambil oleh kaum Muslimin tentang pernyataan tersebut supaya kita dapat meletakkan maknanya yang benar pada tempat yang betul.

Istilah hablum minallah dan hablum minannaas disebutkan sendiri oleh Allah SWT dalam ayat ke 112 surah Ali Imran, yang mana dalam dua ayat di sebelumnya, Allah menyatakan tentang kemuliaan umat Islam dan kehinaan ke atas ahli kitab, khususnya golongan Yahudi. Sebenarnya, istilah hablum minallah dan hablum minannaas adalah istilah yang dikaitkan secara khusus terhadap golongan ahli kitab sahaja. Mari kita lihat secara lengkap firman Allah SWT dalam surah Ali Imran tersebut.

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ (110) لَنْ يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى وَإِنْ يُقَاتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنْصَرُونَ (111) ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنْبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

“Kalian (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Kamu menyuruh kepada yang makruf dan kamu mencegah daripada yang mungkar, dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik. Mereka tidak akan membahayakan kamu, kecuali gangguan-gangguan kecil sahaja, dan jika mereka memerangi kamu, nescaya mereka mundur berbalik ke belakang (kalah). Selanjutnya mereka tidak mendapat pertolongan. Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka (berpegang) pada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia. Mereka mendapat murka daripada Allah dan (selalu) diliputi kesengsaraan. Yang demikian itu kerana mereka mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi tanpa hak (alasan yang benar). Yang demikian itu adalah kerana mereka derhaka dan melampaui batas.”
[TMQ Ali Imran (3) : 110-112].

Di sini jelas, berdasarkan tiga ayat di atas, ungkapan hablum minallah dan hablum minannaas bukan dituju kepada umat Islam, tetapi sebaliknya ia adalah berkaitan dengan ahli kitab. Dalam tiga ayat tersebut, Allah menyebut tentang umat Islam dengan menggunakan dhamir khithab (ganti nama pendengar, iaitu pembaca al-Quran), sedangkan ahli kitab disebut dengan istilah dhamir ghaib (ganti nama orang ketiga). Intipati daripada ayat di atas adalah umat Islam merupakan umat yang terbaik dan ahli kitab adalah di sebaliknya. Ahli kitab akan mendapat kebaikan jika mereka beriman sebagaimana berimannya umat Islam. Golongan ahli kitab ini tidak dapat memberikan kemudaratan fizikal kepada umat Islam, melainkan hanya sekadar gangguan kecil seperti melalui kata-kata sahaja. Jika mereka memerangi umat Islam, mereka akan kalah, kucar kacir dan tidak mendapat sebarang pertolongan. Itulah yang dimaksudkan dalam ayat 111 dalam surah tersebut. Bukti lain bahawa umat Islam adalah umat yang terbaik adalah kedudukan mereka yang sentiasa berada di atas umat yang lain. Umat Islamlah yang menentukan kemuliaan dan keselamatan ahli kitab. Ahli kitab akan sentiasa berada dalam keadaan hina kecuali jika mereka berpegang kepada tali Allah iaitu dengan memeluk Islam atau terikat dengan perjanjian-perjanjian dengan kaum Muslimin dalam Daulah Islam (Khilafah) sama ada dengan menjadi ahlu dzimmah (kafir dzimmi), mu’ahad atau musta’min. Melalui cara itu, barulah mereka akan terbebas daripada kehinaan-kehinaan yang menyelubungi mereka sebagaimana yang terjadi pada kaum-kaum Yahudi di Madinah seperti Bani Muthaliq, Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizhah sebelum mereka melanggar perjanjian-perjanjian yang dibuat dengan Daulah Islam di Madinah.

Berikut adalah beberapa pendapat ulama tafsir (mufassirin) berkaitan penggunaan kalimah hablum minallah dan hablum minannaas dalam surah Ali Imran di atas.

(1)    Imam At-Thabari dalam Tafsir Jami al-Bayan fi Ta’wil al-Quran.

Allah berfirman: Akan dikenakan kehinaan terhadap Yahudi yang mendustakan Nabi Muhammad SAW di mana-mana sahaja bumi mereka berada, di mana-mana sahaja tempat daripada muka bumi ini, sama ada di negeri kaum Muslimin atau di negeri kaum Musyrikin kecuali dengan hablum minallah dan hablum minannaas. Maknanya adalah sebagaimana yang diberitakan oleh Muhammad bin Basyar daripada Hudzah, daripada Auf, daripada al-Hasan, bahawa ia berkata, “makna ‘ضربت عليهم الذلةأينما ثقفوا إلا بحبل من الله وحبل من الناس ‘ adalah mereka akan dijumpai oleh umat ini (umat Islam) dalam keadaan terhina. Dan bahawa bangsa Majusi akan mengutip cukai daripada mereka.”

Juga telah diceritakan daripada Muhammad bin Sinan, daripada Abu Bakar al-Hanafi, daripada Ibad, daripada al-Hasan tentang ayat surah tersebut, ia berkata, “Allah akan menghina mereka, sehingga mereka tidak memiliki kekuatan. Dan Allah menjadikan mereka berada di bawah telapak kaki kaum Muslimin.”

Adapun perkataan al-hablun (tali) yang disebutkan Allah dalam ayat ini, maka sesungguhnya tali tersebut merupakan penyebab bagi mereka (ahlul kitab yakni Yahudi) mendapat jaminan keselamatan daripada orang-orang yang beriman (umat Islam) ke atas diri, harta dan keturunan mereka, iaitu perjanjian dan perlindungan yang diserahkan kepada mereka talinya sebelum mereka ditangkap di negeri-negeri kaum Muslimin. Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Muhammad bin Amr, daripada Abu Ashim, daripada Isa, daripada Ibnu Abi Najih, daripada Mujahid tentang firman Allah “إلا بحبل من الله”, ia berkata, “maknanya adalah perjanjian daripada Allah. Dan tentang firman Allah, “وحبل من الناس”, Mujahid berkata maknanya adalah perjanjian dengan mereka (manusia). Begitu juga Qatadah, beliau juga mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “بحبل من الله وحبل من الناس” adalah perjanjian daripada Allah dan perjanjian daripada manusia.

(2)    Imam Al-Hafiz Abi Fida Ibnu Katsir dalam Tafsir al-Qur’an Al-Azhiim.

Kemudian Allah berfirman, “Mereka (ahli kitab) diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia.” Maksudnya adalah Allah menetapkan kehinaan dan kerendahan bagi mereka di mana sahaja mereka berada, sehingga mereka tidak akan mendapat keselamatan kecuali dengan hablun min Allah, iaitu jaminan daripada Allah melalui akad al-dzimmah terhadap mereka, mengenakan jizyah dan mewajibkan mereka untuk tunduk kepada hukum-hakam Islam. Yang dimaksudkan dengan hablum minannaas adalah jaminan keselamatan daripada manusia (kaum Muslimin) terhadap mereka (ahlul kitab) seperti gencatan senjata, perjanjian atau dijadikan tawanan jika mereka diberikan jaminan keselamatan oleh salah seorang daripada kaum Muslimin.

Ibnu Abbas berkata bahawa yang dimaksudkan dengan “بحبل من الله وحبل من الناس” adalah perjanjian (‘ahdun) dengan Allah dan perjanjian dengan manusia (kaum Muslimin). Pendapat yang senada juga dikemukakan oleh Mujahid, Ikrimah, Atha’, adh-Dhahak, al-Hasan, Qatadah, as-Sudiy dan al-Rab’i bin Anas.

(3)    Imam Al-Qurthubi dalam al-Jam’i li ahkam al-Quran.

Ungkapan “Illaa bihablin minallah wa hablin minnnaas” adalah merupakan istithna munqathi (pengecualian), bukan daripada yang pertama. Maknanya adalah ‘kecuali mereka berpegang kepada tali daripada Allah dan tali daripada manusia’, iaitu perlindungan (al-dzimmah) yang diberikan kepada mereka. Yang dimaksudkan dengan an-naas adalah Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman, di mana ahlul kitab menyerahkan al-kharaj kepada Nabi dan umatnya, kemudian mereka diberi jaminan keselamatan. Dalam firman Allah ini, terdapat ikhtishar (ada kata yang dibuang), maknanya adalah ‘kecuali mereka berpegang pada tali daripada Allah’, kemudian kata ‘mereka berpegang’ itu dihilangkan.

(4)    Al-Jazaairi dalam Aisar al-Tafasir Juz 1 hal. 192.

Begitu juga dengan firman Allah SWT dalam ayat 112 bahawa Allah akan menimpakan kehinaan dan kemiskinan terhadap mereka walau di mana sekalipun mereka berada dan di negara mana pun mereka dijumpai, mereka tidak akan terlepas daripada kehinaan dan kemiskinan itu dalam keadaan apapun, kecuali jika mereka masuk Islam (yang disebut sebagai tali daripada Allah) atau mereka terikat dengan perjanjian dan terikat dengan negara yang kuat (yang disebut sebagai tali daripada manusia).

(5)    Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir Munir Juz 4, Hal. 43.

Allah telah meletakkan kehinaan dan kelemahan ke atas mereka buat selama-lamanya walau di mana sahaja mereka berada. Mereka tidak akan merasakan nikmat keselamatan dan ketenteraman kecuali melalui dua perjanjian, iaitu perjanjian dengan Allah dan perjanjian dengan manusia.

Yang dimaksudkan dengan hablum minallah adalah apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam terhadap mereka seperti jaminan keselamatan, keharaman menyakiti mereka, persamaan dalam hak undang-undang apabila mereka telah menunaikan akad dzimmah (menjadi kafir dzimmi dalam Daulah Islam), diwajibkan membayar jizyah dan terikat dengan hukum-hakam Islam.

Sedangkan yang dimaksudkan dengan hablum minannaas adalah jaminan keselamtan yang diberikan kepada mereka seperti orang yang melakukan perdamaian (muhadin), melakukan perjanjian (mu’aahid) dan yang ditawan (al-asiir), iaitu apabila mereka diberikan jaminan keselamatan oleh individu kaum Muslimin, sekalipun ia adalah wanita (Muslimah). Begitu juga dengan peniaga yang berurusan dengan individu Muslim di dalam negeri Islam atau di sempadan untuk urusan tukar-menukar perkhidmatan, barangan dan perniagaan. Hal ini adalah sama seperti apa yang berlaku pada hari ini di mana kaum Yahudi di Palestin mendapatkan perlindungan dari Amerika, Eropah, Rusia dan negara-negara besar yang lain.

(6)    Thabir Ibnu Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir Juz 3 hal. 191

Maksudnya adalah mereka tidak akan selamat daripada kehinaan kecuali jika mereka mengambil janji daripada Allah iaitu perlindungan Islam (dzimmah al-Islam), atau jika mereka meminta pertolongan pada kabilah-kabilah yang kuat. Adapun pada diri mereka sendiri, maka mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menang. Ini adalah termasuk sebagai bukti kenabian Nabi Muhammad, kerana dahulunya Yahudi menjadi mulia di Yathrib, Khaibar, Nadhir dan Quraizah. Selepas itu (setelah melepaskan ikatan perjanjian dengan kaum Muslimin), mereka menjadi terhina di seluruh dunia.

Daripada penjelasan tafsir-tafsir di atas, adalah jelas bahawa selama ini makna hablum minallah yang diberikan tafsiran baru sebagai menjalinkan hubungan yang baik dengan Allah melalui perlaksanaan ibadah mahdhah (ibadah khusus), dan hablun minannaas pula dikatakan sebagai menjalinkan hubungan yang baik dengan sesama manusia melalui ibadah ghair mahdhah (ibadah umum) adalah suatu penafsiran yang bukan sahaja tidak tepat, malah jauh menyimpang dan tidak diletakkan pada tempatnya. Dengan makna yang salah sepertimana yang difahami pada hari ini, ayat 112 surah Ali Imran ini akhirnya dijadikan sebagai ayat umum untuk tujuan silaturrahim atau ayat yang hanya menekankan aspek spiritual yang bersangkutan hubungan baik dengan Allah dan hubungan yang baik sesama manusia. Hakikatnya, tidak ada ahli tafsir yang menafsirnya sedemikian rupa. Walhal ayat tersebut menjelaskan tentang kedudukan kaum Muslimin apabila berhadapan dengan ahlul kitab apabila kaum Muslimin mempunyai Daulah Islamiyah. Umat Islam akan menawarkan kemuliaan kepada ahlul kitab dengan cara sama ada mereka memeluk Islam, atau berakad untuk menjadi ahlu dzimmah yang mana mereka akan mendapat jaminan perlindungan daripada negara Islam iaitu Daulah Khilafah.
Wallahua’lam.