Pembangkang Banyak Lakukan Penyelewengan

altSHAH ALAM: Pemuda Umno yang dalam siri pertama ceramahnya, malam kelmarin mendakwa berlaku pelbagai penyelewengan membabitkan pemimpin pembangkang, antaranya membuat tiga invois tuntutan pembayaran yang sama.
 
Dalam ceramah bertajuk Pentas Pemuda ‘Pakatan: Retak Menanti Belah’ itu, Pemuda Umno juga mendedahkan kontrak Alam Flora diagihkan terus kepada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di Selangor.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin, berkata semua penyelewengan seperti itu akan didedahkan kepada rakyat supaya masyarakat sedar apa yang dilakukan pembangkang.  Sambil mendakwa semua maklumat diperoleh daripada sumber sahih, Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), berkata siri ceramah itu akan diteruskan di Permatang Pasir, Pulau Pinang dan lokasi lain seluruh negara selepas Aidilfitri.

“Maklumat ini saya dapat daripada sumber yang sahih dan ia juga masih segar,” katanya selepas menyampaikan ceramah berkenaan di Seksyen 6, di sini yang turut disertai Ketua Umno bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin dan Exco Pemuda Umno, Lokman Nor Adam.

Sumber : Berita Harian: 16/08/09

Apakah UMNO Begitu Suci?

Tidak mustahil apa yang diperkatakan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin bahawa pelbagai penyelewengan membabitkan pemimpin pembangkang itu benar-benar terjadi dan ada kebenarannya. Ini adalah kerana dalam sistem demokrasi yang ada seperti hari ini, perkara yang sebegini adalah sesuatu yang lumrah bagi politikus dunia kapitalisme. Hanya bagi yang ada sedikit ketaqwaan dalam diri mereka, mungkin mereka akan mengelak diri dari terjebak dalam perbuatan yang hina ini. Persoalan yang timbul sekarang adalah, apakah UMNO dan BN tidak pernah melakukan sebarang bentuk penyelewangan semasa mereka memerintah Selangor? Apakah UMNO dan sekutunya benar-benar bersih dari penyelewangan? Apa yang terang lagi bersuluh ialah para pemimpin UMNO yang berkuasa sejak merdeka sehingga kini telah melakukan penyelewengan yang nyata kerana mereka secara terang-terangan tidak menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Jawapan dan ancaman bagi golongan yang tidak berhukum dengan apa yang Allah SWT turunkan hanya menempati 3 ruang sahaja – kafir, zalim dan fasik sesuai dengan firman Allah SWT:

 “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir” [TMQ Al-Ma’idah (5): 44].

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. [TMQ Al-Ma’idah (5): 45].

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang fasik”. [TMQ Al-Ma’idah (5): 47].

Alangkah baiknya jika KJ mengingatkan pemerintah yang ada samada BN mahupun PR akan kewajiban mereka untuk menerapkan Islam di kala pemerintahan itu ada di tangan mereka dari mengomel “isu-isu murahan” yang ibarat kata pepatah seperti menepuk air di dalam dulang akhirnya akan terpercik kemuka sendiri. Apakah KJ dan kuncu-kuncunya mahu menerima hakikat ini? Hanya mereka yang berfikiran rasional sahaja akan memahami dan menerima hakikat ini. Sampai bilakah KJ akan terus bergelumang dengan sistem politik demokrasi yang menipu ini? Yakinlah kemuliaan itu hanya ada pada Islam termasuklah dalam persoalan politik.

“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi rasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”. [TMQ Al-Munaafiquun (63): 8].