Ada-kah harapan pada ketua pembangkang baru?

Gambar UL120515Rentetan kemenangan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK Parlimen Permatang Pauh beberapa hari lepas, kini Pakatan Rakyat dilaporkan telah bersepakat untuk melantik beliau bagi menggantikan kedudukan suaminya sebagai ketua pembangkang yang baru di Parlimen.

Parti Islam yang merupakan rakan tahaluf dalam Pakatan Rakyat (PR) yang dulunya tidak bersetuju isteri Anwar Ibrahim itu menjadi Menteri Besar Selangor kerana dikatakan tidak mempunyai keupayaan untuk berhujah di Parlimen, anehnya kini bersetuju untuk Azizah menjadi ketua pembangkang. Bagaimana mungkin orang yang dianggap tidak berkebolehan untuk berhujah di Parlimen boleh pula disetujui untuk menjadi ketua pembangkang di Parlimen? Apa pun, inilah realiti politik demokrasi yang bertentangan dengan Islam dalam segala aspeknya. Semua perkara boleh berlaku asalkan di sana ada manfaat, kerana asas kepada politik dan segala hubungan yang wujud dalam politik adalah dibina atas dasar manfaat.

Kita telah menyaksikan selama ini siapa pun yang dilantik menjadi ketua pembangkang, sesungguhnya tidak pernah ada perubahan yang dapat dilakukan melalui Parlimen. Ramai yang berpendapat, termasuklah parti Islam, bahawa kewujudan pembangkang dalam Parlimen dapat mengimbangi polisi yang dibuat oleh kerajaan kerana ia berfungsi sebagai “check and balance”. Malah, kewujudan pembangkang di Parlimen sering disifatkan sebagai “benteng” untuk parti pemerintah melakukan sewenang-wenangnya.

Namun realitinya, berapa ramai ahli Parlimen pembangkang yang bukan sahaja tidak pandai berhujah, tidak mengambil bahagian dalam pembahasan, malah lebih buruk, tidak hadir ke Parlimen di saat pembahasan, termasuklah ketika pembahasaan hal yang penting seperti undang-undang yang bakal menzalimi rakyat. Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 baru-baru ini antara bukti nyata akan hal ini.

Lebih ironi, pembangkang bukan sahaja gagal melakukan perubahan melalui Parlimen, nasib ketua pembangkang selalunya malang. Lihat sahaja apa yang terjadi ke atas bekas ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, yang bukan sahaja menjadi “punching bag” bagi parti pemerintah, malah kini merengkok dalam penjara akibat kes yang penuh kontroversi.

Parti Islam yang berada di Parlimen juga ternyata gagal “mengimbangi” kezaliman parti pemerintah sebagaimana yang dijanjikan oleh demokrasi sebagai parti “check and balance”. Parti pemerintah, walaupun hanya mempunyai majoriti tipis di Parlimen, ternyata sangat berkuasa dan tetap kebal dari segala kesalahan dan dosa dan tetap sahaja bertindak semahu mereka tanpa siapa pun yang dapat menghalang. Apa tidaknya, polis berada di bawah mereka dan sentiasa bersedia menerima apa jua arahan!

Sesungguhnya sistem demokrasi tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada rakyat, khususnya umat Islam. Ia hanyalah satu sistem yang penuh pembohongan tetapi dibaluti dengan perhiasan yang menyebabkan pemandangnya terpesona melihat kecantikannya. Kononnya sistem ini adalah yang terbaik kerana rakyat diberi pilihan untuk memilih pemimpin, tetapi hakikatnya, ia tidak lebih dari satu sistem di mana rakyat diberi pilihan untuk “memilih diktator pilihannya”.

Justeru, siapa pun yang menjadi pemerintah mahupun pembangkang dalam sistem ini dan siapa pun ketuanya, tidak ada kebaikan kepada umat Islam sedikipun kerana apa yang menjadi pegangan dan panduan mereka ialah perlembagaan dan undang-undang kufur tinggalan British, bukannya undang-undang Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Ahli Parlimen pembangkang, khususnya yang beragama Islam sepatutnya sedar dan meninggalkan sistem kufur yang penuh kerosakan ini dan berjuang untuk menggantikannya dengan sistem Islam.

Sesungguhnya perubahan dan kebaikan hanya akan wujud apabila negara ini diperintah oleh seorang Khalifah di bawah sistem Khilafah yang menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai pegangan dan panduan dalam pemerintahan dan pentadbiran.

Wallahu a’lam.

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/35358-pas-setuju-ketua-pembangkang-milik-pkr

https://www.youtube.com/watch?v=MQGecUTmAbM