Pasukan Harapan Najib

KUALA LUMPUR 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan rombakan Kabinet dan perubahan dalam proses pemilihan UMNO apabila mengambil alih tampuk pemerintahan supaya parti dan kerajaan disenangi oleh rakyat.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan berbulan madu sebaliknya akan terus menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat kepada beliau.

“Saya percaya rakyat akan beri peluang kepada saya untuk tunjukkan apa yang saya akan lakukan sebagai pemimpin utama parti dan negara. Perkara pertama ialah menyusun Kabinet dengan komposisi akan disenangi oleh rakyat.

Sumber : Utusan Malaysia 23/03/2009

Cukupkah Hanya Sekadar Orangnya Sahaja Yang Berubah?

Ketika ini nampaknya media sedang terfokus ke arah Najib yang akan ditabalkan sebagai Presiden UMNO yang ke-7 beberapa hari sahaja lagi. Perlbagai harapan dan idea-idea yang dilontarkan oleh Najib nampaknya seakan-akan membawa suatu harapan kepada umat Islam di Malaysia. Ini adalah suatu lumrah bagi mana-mana pemimpin yang bakal memegang jawatan baru.

Mungkin kita masih ingat bagaimana Pak Lah dulu semasa baru memegang jawatan PM juga membawa pendekatan yang sama. Pelbagai janji dan harapan dilontarkan untuk kononnya bertujuan membawa perubahan. Ini adalah suatu fenomena yang biasa bagi mana-mana pemimpin di dunia Kapitalisme saat ini. Ya, yang berlaku hanyalah perubahan orangnya iaitu dari Mahathir kepada Pak Lah dan dari Pak Lah kepada Najib. Bagaimana dengan sistem yang dijalankan?

Yang pasti ia masih tetap sama. Sistem yang diterapkan masih lagi sistem Kapitalisme yang berasaskan sekularisme. Pertukaran pemandu akan berlaku dari Pak Lah kepada Najib namun kereta yang sama – kereta berjenama “ashobiyyah” keluaran kilang “sekularisme” masih menjadi kegemaran. Oleh itu, apakah kita masih mengharapkan sebarang perubahan atau pemulihan yang hakiki? Apakah tidak cukup Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik untuk kita umat Islam saat ini bagi mencapai perubahan?