Pembangkang tak boleh mentadbir

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Pakatan pembangkang tidak boleh memerintah negara kerana mereka mempunyai pendapat bertentangan dalam banyak isu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.  Beliau berkata, kemenangan tidak dijangka pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu bukan kerana rakyat fikir mereka mampu mewujudkan kerajaan yang lebih baik, tetapi disebabkan rakyat merasa marah dengan kepimpinan kerajaan sebelum ini.  “Mereka (pembangkang) fikir mereka boleh menang (pada pilihan raya umum akan datang), tetapi saya ragu-ragu sama ada mereka boleh mentadbir negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk “Membudayakan Melayu dengan
Keusahawanan: Satu Anjakan Paradigma” di sini hari. Dr. Mahathir berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah memenangi kembali sokongan rakyat sekiranya mereka dapat menunaikan apa yang mereka telah janjikan.  “Kalau tak laksana dan buat janji yang tak ditunaikan, maka rakyat yang dalam keadaan kecewa akan undi parti lawan,” katanya.  Ditanya mengenai peluang BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 25 Ogos ini, Dr Mahathir berkata: “Kita membuat yang baik di Kelantan (pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai), di Permatang Pasir patut lebih baik daripada itu”. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia: 11/08/09

Siapakah Yang Boleh Mentadbir Sebenarnya?

Nampaknya Mahathir terus bersuara untuk kesekian kalinya. Apa yang kita lihat dari kenyataan Mahathir itu adalah lebih ke arah untuk cuba menarik sokongan rakyat agar terus menyokong UMNO dan BN bagi memastikan BN boleh terus berkuasa pada PRU ke 13 nanti. Sebagai seorang Muslim, kita perlu mengunakan ukuran hukum syara’ untuk menentukan apakah seseorang itu boleh memimpin/mentadbir ataupun tidak. Jika hukum syara’ yang kita gunakan sebagai ukurannya maka ternyata Mahathir adalah juga seorang pemimpin yang gagal dalam pemerintahan dan pentadbirannya. Kenapa kita katakan begitu? Ini adalah kerana selama 22 tahun Mahathir memerintah dan berkuasa di Malaysia hukum Allah SWT tidak diterapkan beliau malah sebaliknya perlembagaan kufur Lord Reid yang terus diterima dan diguna pakai. Apalah erti dan nilainya di sisi Allah SWT kelak, bangunan dan projek-projek mega yang kamu usahakan ketika pemerintahanmu sedangkan dalam masa yang sama kamu telah gagal untuk menerapkan hukum Allah SWT? Mengapa ketika kamu memerintah selama 22 tahun kamu boleh berfikir untuk melaksanakan pelbagai projek-projek mega tetapi dalam masa yang sama kamu gagal untuk berfikir bagaimana untuk menerapkan hukum Allah SWT dalam kehidupan individu, masyarakat mahupun negara? Amat berani Mahathir untuk berhadapan dengan hisab Allah SWT di akhirat kelak dengan pelbagai kelalaiannya! Apakah kamu tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami peringatan ayat Allah SWT ini, wahai Mahathir?

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir”.
[TMQ Al Maa-idah (5) : 44].

“dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 45].

“dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang fasik”.
[TMQ Al Maa-idah (5) : 47].

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [TMQ An Nisaa’ (4) : 65].

Jelas sekali dengan sandaran syara’ Mahathir juga sebenarnya telah gagal untuk mentadbir kerana beliau telah terbukti gagal untuk menerapkan hukum Islam di dalam kehidupan bernegara semasa pentadbirannya dan apakah para pemimpin sekarang akan turut mengikuti perkara yang sama?