Tawakal dan Ikhlas – Bhg.2

Adapun ikhlas dalam perkara ketaatan kepada Allah SWT, adalah dengan meninggalkan sikap riak. Ikhlas adalah termasuk amalan hati yang tidak dapat diketahui oleh sesiapa, melainkan seorang hamba dan Tuhannya. Sama ada ikhlas atau tidak, kadang-kadang sangat samar dan membuat seseorang itu keliru, sehingga ia meneliti kembali dan tertanya-tanya pada dirinya, di samping berulang kali berfikir kenapa ia melaksanakan ketaatan itu atau kenapa ia melibatkan dirinya dalam ketaatan. Jika ia mendapati bahawa dirinya melaksanakan ketaatan itu semata-mata kerana Allah, bererti ia ikhlas. Jika ternyata ia mendapati dirinya melaksanakan suatu ketaatan kerana tujuan selain Allah, maka bererti ia telah menjadi orang yang riak.

 

Nafsiyah (pola sikap) seperti ini memerlukan penyelesaian secara serius. Kemungkinan ia akan mengambil masa yang panjang untuk mengatasinya. Jika seseorang telah sampai pada keadaan yang mana ia lebih suka menyembunyikan segala kebaikannya, maka itu menandakan dirinya telah bersikap ikhlas. Al-Quthubi berkata; al-Hasan pernah ditanya tentang ikhlas dan riak, kemudian ia berkata,

 

“Di antara tanda keikhlasan adalah jika engkau suka menyembunyikan kebaikanmu dan tidak suka menyembunyikan kesalahanmu.” Abu Yusuf berkata dalam al- Kharaj; Mas’ar telah memberitahukan kepadaku, daripada Sa’ad bin Ibrahim, ia berkata, “Mereka (para sahabat) menghampiri seorang lelaki pada perang al-Qadisiyah. Tangan dan kaki lelaki itu putus, ia sedang memeriksa pasukan seraya membacakan firman Allah:

 

“Mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.(TMQ. an-Nisa [4]: 69)

 

Seseorang bertanya kepada lelaki itu, “Siapa engkau wahai hamba Allah?” Ia berkata, “Aku adalah seorang dari kaum Anshar.” Lelaki itu tidak mau menyebutkan namanya.

 

Ikhlas hukumnya wajib. Dalilnya sangat banyak, baik dari al-Kitab maupun as-Sunnah. Allah Swt. berfirman:

 

“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (Wahai Muhammad) Dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah Engkau menyembah Allah Dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya.” (TMQ. az-Zumar [39]: 2)

 

“Ingatlah, hanya kepunyaan Allahlah agama yang bersih (dari syirik)”. (TMQ. az-Zumar [39]: 3)

 

“Katakanlah lagi (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku diperintahkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan segalaiIbadat kepadanya.” (TMQ. az-Zumar [39]: 11)

 

 

“Katakanlah lagi: “Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan agamaku kepadaNya”. (TMQ. az-Zumar [39]: 14)

 

Ayat-ayat di atas merupakan seruan kepada Rasulullah SAW, tetapi seruan itu juga terkena kepada umatnya. Adapun dalil tentang kewajipan ikhlas berdasarkan as-Sunah ialah:

 

Hadis dari Abdullah bin Mas’ud riwayat at-Tirmidzi dan asy- Syafi’i dalam ar-Risalah dari Nabi SAW, beliau bersabda: Allah akan menerangi orang yang mendengar perkataanku, kemudian ia menyedarinya, menjaganya, dan menyampaikannya. Kadang-kadang ada orang yang membawa pengetahuan kepada orang yang lebih tahu darinya. Ada tiga perkara yang menyebabkan hati seorang muslim tidak dirasuk oleh sifat dengki, iaitu ikhlas beramal kerana Allah, menasihati para pemimipin kaum Muslim, dan senantiasa berada di dalam jemaah al-muslimin. Kerana dakwah akan menyelimuti dari belakang mereka.

 

Dalam pembahasan bab ikhlas ini terdapat pula hadis yang senada daripada Zaid bin Tsabit riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya.

 

Juga dari Jubair bin Muth’im riwayat Ibnu Majah dan al- Hakim. Ia berkata, “Hadis ini sahih memenuhi syarat al-Bukhari Muslim.” Juga dari Abu Sa’id al-Khudzri riwayat Ibnu Hibban dalam kitab Sahih-nya dan al-Bazzar dengan isnad yang hasan. Hadis ini dituturkan pula oleh as-Suyuthi dalam al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Ahadits al-Mutawatirah.

 

Hadis dari Ubay bin Ka’ab ra. riwayat Ahmad, ia berkata dalam al-Mukhtarah, isnadnya hasan; Rasulullah SAW. bersabda: Berikanlah khabar gembira kepada umat ini dengan kemegahan, keluhuran, pertolongan, dan keteguhan di muka bumi. Siapa sahaja daripada umat ini yang melaksanakan amal akhirat untuk dunianya, maka kelak di akhirat ia tidak akan mendapatkan bahagian apa pun.

 

Hadis dari Anas riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim, ia berkata hadis ini sahih memenuhi syarat al-Bukhari Muslim, Rasulullah SAW. bersabda:

 

Barangsiapa yang meninggalkan dunia ini (wafat) dengan membawa keikhlasan kerana Allah SWT sahaja, ia tidak menyekutukan Allah sedikit pun, ia melaksanakan solat, dan menunaikan zakat, maka ia telah meninggalkan dunia ini dengan membawa redha Allah SWT.

 

Hadis dari Abu Umamah al-Bahili riwayat an-Nasai dan Abu Daud, Rasulullah SAW. bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah SWT. (al-Mundziri berkata, “Isnadnya sahih”)