Air Di Kelantan : Rakyat Merana Di Bawah Sistem Federasi

air-kelantan-kotorRakyat Kelantan Perlu Sedar

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Nasib malang kira-kira 1.54 juta penduduk Kelantan yang terpaksa bergantung kepada air tercemar dengan pelbagai logam berat serta bakteria berbahaya turut mendapat perhatian perwakilan Wanita dan Pemuda UMNO yang bersidang hari ini.

Wakil Wanita UMNO Kelantan, Dayang Saniah Awang Hamid berkata, pendedahan yang dibuat Utusan Malaysia berhubung isu air kotor baru-baru ini memberi alasan kukuh mengapa rakyat perlu menolak kerajaan negeri sedia ada.

“Minggu lepas akhbar arus perdana, Utusan Malaysia telah memapar dan mendedahkan bagaimana kotornya sumber air yang digunakan untuk makan minum dan segala keperluan di Kelantan.

“Namun masih ada tidak tahu memilih yang mana intan dan yang mana kaca, gunakanlah akal dan kebijaksanaan untuk memilih yang terbaik,” katanya ketika membahaskan usul politik pada persidangan perwakilan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanah Merah berkata, apa yang lebih mengecewakan, tidak ada sebarang tindakan dilakukan kerajaan negeri untuk menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat.

Beliau dengan sinis berkata, ‘Pak-pak Lebai’ yang ada di sana hanya tahu mengira untung hasil balak, ladang rakyat dan komisen sahaja.

“Rakyat terus menderita dan menanggung azab, rintihan mereka sejak 21 tahun lalu dipandang sepi bagai debu ditiup angin lalu.

“Ke mana perginya bantuan RM600 juta yang diberi untuk bekalan air bersih? Mana janji yang ditabur dan adakah manifesto pilihan raya ditunaikan,” katanya.

Nada sama dikongsi wakil Pemuda UMNO negeri itu, Anuar Safian yang meminta rakyat Kelantan bertindak bijak dengan memberi undi kepada BN pada pilihan raya umum akan datang bagi menamatkan penderitaan selama 20 tahun di bawah pentadbiran Pas.

Menurutnya, perbezaan kemampuan antara Pas dengan BN bagi membantu mensejahterakan hidup rakyat negeri itu ibarat langit dan bumi.

Perkara itu jelasnya terbukti apabila Pas mengakui bahawa masalah air di negeri tersebut hanya mampu diselesaikan pada 2027 iaitu 16 tahun dari sekarang.

“Kenyataan itu adalah sangat tidak logik. Mereka (Pas) terlalu asyik berpolitik sehingga memperjudikan nasib hidup mati rakyat apabila gagal mengurus sistem bekalan air.

“Sedangkan dalam masa sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berjanji masalah itu akan selesai hanya dalam tempoh dua tahun selepas BN memerintah. Justeru, berilah peluang kepada BN,” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini mendedahkan pelbagai masalah berkaitan bekalan air di Kelantan yang kurang bersih, tidak berkualiti dan berbahaya kepada kesihatan kerana mengandungi logam jenis mangan, arsenik, plumbum dan raksa secara berlebihan selain dicemari bakteria E. coli.

Siri laporan berkenaan juga turut mendedahkan kajian daripada Bahagian Pergigian Jabatan Kesihatan Kelantan yang mengesahkan hampir separuh (95.3 peratus) kanak-kanak negeri itu yang berumur bawah enam tahun mengalami gigi reput kerana kekurangan florida dalam air.

Sumber : Utusan Malaysia 1/12/2011

SISTEM KUFUR FEDERASI : PARTI POLITIK  BERTELAGAH,  RAKYAT MERANA

Sudah lebih  54 tahun British meninggalkan Malaysia, namun sistem warisannya masih tetap digunapakai. Kerosakkan aplikasi separation of power (pengasingan kuasa), antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dalam negara yang mengamalkan sistem federasi semakin hari semakin parah.

Pemisahan wilayah mengikut sistem federasi ini sesungguhnya telah menjadikan umat sebagai mangsa, sehingga sebuah negeri tidak akan dapat menikmati hasil yang sama dengan negeri lain walaupun dalam perkara berkenaan keperluan asas seperti bekalan air bersih, lebih-lebih lagi jika setiap wilayah diperintah oleh pihak yang berbeza. Perbezaan ideologi di antara kerajaan setiap wilayah sudah tentu menyulitkan usaha mengatur urusan rakyat.

Di dalam sistem pemerintahan kufur-sekular ini, kelemahan parti yang memerintah dalam adalah senjata bagi parti lain, sehingga umat ini dijadikan mangsa untuk meraih manfaat. Ditambah dengan pilihanraya yang akan menjelang tidak lama lagi, propaganda berupa pendedahan demi pendedahan tentang kelemahan pihak lawan di dalam mengatur urusan rakyat menjadi senjata utama yang diperguna sehabis-habisan.

Sesungguhnya dalam Sistem Pemerintahan Islam, tidak ada doktrin pemecahan kuasa yang berbeza-beza berdasarkan perbezaan ideologi. Sistem pemerintahan Islam bukanlah berbentuk federal (persekutuan), yang mengasingkan kuasa kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Dalam Islam tidak adanya perbezaan antara pengurusan wilayah Indonesia ataupun Malaysia, tidak ada autoriti yang terpisah di antara pengurusan wilayah Kelantan ataupun Kuala Lumpur. Hal ini demikian kerana Islam telah menetapkan negara sebagai suatu kesatuan dan  penguasanya hanya satu iaitu khalifah yang mengatur setiap urusan umat, dalam segenap aspek sebagaimana yang termaktub di dalam hadis:

“Sesungguhnya imam itu adalah pengembala (pemimpin), dan ia akan ditanya tentang tanggungjawabnya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sedarlah wahai umat Islam akan kepincangan sistem yang diterapkan hasil warisan penjajah ini. Sesungguhnya tanggungjawab pemimpin kalian akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak dan tanggungjawab kalian adalah melakukan muhasabah pada mereka, bangkit dan sedarlah!