Akujanji mana yang mesti ditunaikan?

Manifesto Barisan Nasional (BN) bukan hanya sekadar manifesto, tetapi satu dokumen “aku janji” kepada rakyat, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya nak kata bukan manifesto, tetapi akujanji kepada rakyat Malaysia,” kata Pengerusi BN ketika berucap dalam perhimpunan “Janji 1Malaysia Rakyat Didahulukan” semasa pelancaran manifesto BN bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) di Stadium Putra Bukit Jalil baru-baru ini.

Ketika membentangkan manifesto BN yang bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’, Pengerusi BN itu sempat memperlekehkan manifesto pembangkang yang disifatkannya sebagai manifesto yang fantasi dan khayalan. Dalam keadaan yang terdesak, Najib merayu para pengundi untuk kali yang ke-13 untuk terus memberikan mandat kepadanya dan BN dengan berkata, “Namun, saya dengan perasaan penuh rendah diri, jika inti pati kebolehpercayaan rakyat itu kepada saya, maka sokonglah dan undilah BN.”

Dalam mengakhiri ucapannya, Najib cuba meletakkan kebimbangan dalam hati rakyat bahawa satu undi yang diberikan kepada pembangkang merupakan satu undi kepada masa depan yang tidak menentu, gelap, penuh kepalsuan dan undi kepada manifesto yang bersifat khayalan serta fantasi.

Seperti biasa, semua parti politik dalam mana-mana negara sekular sentiasa meletakkan janji-janji semasa pilihanraya untuk memenangi hati para pengundi. Janji-janji ini boleh jadi ditepati atau dikhianati mengikut kemahuan parti-parti yang menang dan memerintah itu kemudian. Inilah lumrah perkara yang terjadi sehinggakan para pengundi sudah lali dan tuli dengan standard rendah para politikus yang bertanding. Para pengundi pada hari ini hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada tidak mengambil tahu apa yang terkandung dalam janji manifesto yang dibentangkan serta memangkah sesuka hati atau memilih parti yang dirasakan kurang risiko dalam mengkhianati janji-janji mereka.

Para pengundi yang sudah terbiasa dengan standard rendah sistem kufur demokrasi ini sehingga kini masih sukar untuk berfikir di luar kotak, jauh sekali untuk berfikiran jernih dengan merenung sejenak apakah tujuan dia pergi mengundi? Disebabkan tiadanya kesedaran untuk berfikir secara mendalam dan jernih, mereka saban penggal pilihanraya sentiasa tertipu dengan isu-isu yang hanya dibangkitkan oleh parti pemerintah dan pembangkang seperti status keselesaan hidup, perumahan, peluang pekerjaan, saling menjatuhkan moral lawan, emansipansi, pluralisme, ‘keadilan’, pertumbuhan ekonomi dan keperluan-keperluan lain yang memenuhi perut semata-mata. Rakyat akan terbawa-bawa termasuklah parti dan gerakan Islam untuk terperangkap dengan permainan isu yang bukan merupakan isu utama.

Para calon yang bertanding dan para pengundi sebenarnya telah lupa kepada akujanji mereka di alam roh bahawa mereka sebenarnya adalah hamba dan Allah adalah Tuhan mereka. Mereka lupa bahawa dahulunya di alam roh mereka telah bersaksi bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan mereka.

“Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?”. Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
[TMQ Al-A’raaf (7):172]

Tetapi sebaliknya, setelah dilahirkan di muka bumi ini, mereka telah lupa tentang perkara ini. Mereka akhirnya mengambil hawa nafsu mereka sebagai Tuhan dalam membuat keputusan dan mengatur urusan hidup seperti mengambil sistem demokrasi, sistem beraja dan lain-lain. Mereka dengan sewenang-wenangnya membuat hukum-hakam sesuka hati mereka sehinggakan hukum Tuhan pun dijadikan objek pembahasan dan pertikaian di dalam Parlimen, sama ada ia sesuai untuk diterapkan ataupun tidak. Jika akujanji yang telah dibuat kepada Tuhan pun sudah dilupakan, apatah lagi lebih mudah untuk mengkhianati akujanji yang dibuat kepada hamba-hamba Tuhan. Na’zubillahi min dzalik.

Sumber: Utusan Malaysia, 07/04/13