Alangkah baiknya jika Najib diperingatkan akan kewajiban di atas bahunya untuk menerapkan Islam
PUTRAJAYA: Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi 1431 Hijrah, Prof Dr Yusuf Al-Qardawi berharap kefahaman mengenai agama dan perpaduan umat Islam di negara ini yang berada dalam keadaan baik, dapat dipertahankan.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuannya dengan Najib di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.
Pertemuan itu berlangsung kira-kira 20 minit. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.
Bercakap kepada pemberita, Najib berkata, Dr Yusuf turut menghargai peranan Malaysia dalam perpaduan ummah di rantau ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Dr Yusuf berharap Malaysia dapat memainkan peranan yang sama dalam menyatukan ummah di seluruh dunia. Najib berkata beliau turut mempelawa Dr Yusuf untuk mengunjungi negara ini pada tahun depan.
Pada akhir pertemuan itu, Dr Yusuf menghadiahkan buku karangan terbaru beliau yang bertajuk “Fiqh Jihad” kepada Najib.
Buku itu mengenai jihad yang perlu dimainkan oleh umat Islam di seluruh dunia dalam menghadapi isu dan masalah umat Islam semasa.
Ia turut menerangkan kaedah serta cara untuk menghadapi dan mengatasi cabaran semasa tersebut untuk kepentingan umat Islam sejagat. Jumaat lalu, Dr Yusuf menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah yang disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Turut menerima anugerah itu ialah Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor. Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan. – Bernama
Sumber: Berita Harian 21/12/09
Alangkah baiknya jika Najib diperingatkan akan kewajiban di atas bahunya untuk menerapkan Islam.
Prof Dr Yusuf Al-Qardawi selaku Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijrah sempat bertemu dengan Perdana Menteri selepas bertemu dengan Anwar Ibrahim dan Presiden PAS. Kesimpulan dari perjumpaan beliau dengan PM adalah antara lainnya beliau mengharapkan agar perpaduan umat Islam di Malaysia dapat dipertahankan. Ya, umat Islam wajib bersatu. Tetapi realitinya kini umat Islam di Malaysia bersatu atas asas acuan ashobiyyah yang ‘dihadiahkan’ oleh penjajah.
Seruan bersatu ini sepatutnya didasarkan atas asas aqidah Islam yang melangkaui sempadan negara bangsa, warna kulit, bahasa dan yang seumpamanya. Alangkah baiknya ketika Syeikh Yusuf Al-Qardawi yang berkesempatan bertemu dengan PM itu menyeru dan mengingatkan Najib akan kewajibannya menerapkan Islam dalam kehidupan ind ividu, masyarakat dan bernegara. Amat wajar jika Tokoh Maal Hijrah itu mengingatkan Najib bahawa sambutan yang diadakan setiap tahun itu sebenarnya tidak akan membawa apa-apa makna selagi mana sistem kufur peninggalan Lord Reid itu masih lagi diletakkan sebagai perlembagaan yang tertinggi mengatasi Al-Quran dan As-Sunnah.
Hijrah bermakna perpindahan dari Darul Kuffur kepada Darul Islam. Mana mungkin sambutan Maal Hijrah yang diraikan saban tahun membawa makna jika Darul Islam tidak muncul tiba bahkan sebaliknya Darul Kufur masih terus wujud sebagaimana hari ini. Semoga ada kebaikan bagi Najib yang menerima hadiah buku Fiqh Jihad dari Tokoh Maal Hijrah itu. Sesungguhnya Khilafah sahajalah yang telah terbukti dan berkemampuan untuk menggerakkan tentera umat Islam bagi memikul tugas jihad ini. Bagaimana Najib?