Najib Memperkudakan Istilah Maqasid Syariah Untuk Terus Menerapkan Sekularisme

Ketika aura Ramadhan sedang kuat mewarnai kehidupan umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa ketika ini, Najib secara tiba-tiba dan dengan bangganya berbicara tentang maqasid syariah. Persoalannya, bagaimana Najib boleh menyentuh isu maqasid syariah sedangkan faktanya beliau tidak menerapkan sistem kehidupan Islam secara syumul dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara? Apakah maqasid syariah itu benar-benar diguna pakai oleh Najib ketika dia menerapkan sistem kufur tinggalan penjajah dalam pemerintahannya? Apakah Najib betul-betul memahami dengan jelas apakah itu maqasid syariah? Apakah maqasid yang diuar-uarkan Najib itu sama sepertimana yang difahami oleh para ulama terdahulu yang lebih faqih dalam bidang tersebut? Untuk merungkai persoalan ini, di sini kami bentangkan secara ringkas apakah kekeliruan yang timbul melalui ucapan Najib berkenaan isu ini. Pada dasarnya, penerapan syariah Islam  dalam kehidupan ini adalah bertujuan untuk mendatangkan kebaikan dan menghindarkan sebarang keburukan.

Menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (pengasas Hizbut Tahrir), perbincangan isu maqasid syariah tidak dapat dipisahkan dengan persoalan maslahat dan syariat yang mana syariat tidak didasarkan pada ‘illat (sebab) maslahat. Terdapat empat prinsip yang dinyatakan oleh beliau dalam membincangkan maqasid syariah  iaitu:

Prinsip pertama: Maslahat merupakan hikmah (akibat) daripada penerapan syariat dan bukannya ‘illat (sebab) penetapan syariat. Jadi secara dasarnya, Syeikh Taqiyuddin mengakui adanya hubungan antara maslahat dan syariat. Hal ini beliau fahami melalui nas-nas al-Quran yang menyatakan bahawa Nabi saw diutuskan sebagai pembawa rahmat, iaitu maslahat. Misalnya dalam surah Al-Isra ayat 82 dan juga surah al-Anbiya’ ayat 107. Namun demikian, beliau berulang kali menekankan  bahawa maslahat itu bukanlah ‘illat (sebab) atau motif (al-bâ‘its) penetapan syariat,  melainkan ia adalah hikmah, hasil (nâtijah), tujuan (ghâyah) atau akibat (‘âqibah) daripada penerapan syariat (An-Nabhani, 1953: 359 & 363).

Ini adalah kerana, jika dilihat nas-nas tersebut dari segi bentuknya (sighat), ia tidak menunjukkan wujudnya ‘illat (al-‘illiyah). Tetapi ia menunjukkan adanya sifat rahmat (maslahat) sebagai hasil daripada penerapan syariat. Contohnya dalam firman Allah SWT: “Tidaklah Kami mengutuskan engakau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi semesta alam” [TMQ al-Anbiya’ (21): 107]. Menurut An-Nabhani, ayat ini tidak mengandungi sighat ta‘lîl (bentuk kata yang menunjukkan ‘illat), misalnya dengan adanya lam ta’lîl. Jadi, maksud ayat ini adalah hasil (an-nâtijah) daripada pengutusan Nabi Muhammad saw ini akan menjadi rahmat bagi umat manusia. Ertinya, wujudnya rahmat (maslahat) merupakan hasil daripada pelaksanaan syariat, bukannya ‘illat daripada penetapan syariat (An-Nabhani, 1953: 359-360).

Prinsip kedua:
Maqâshid asy-syarî‘ah (iaitu mewujudkan kemaslahatan) merupakan tujuan daripada syariat secara keseluruhan (ka-kull), bukan tujuan syariat sebagai satu persatu hukum (li kulli hukmin bi ‘aynihi). Dengan kata lain, kewujudan kemaslahatan merupakan hasil daripada penerapan syariat secara keseluruhan, dan bukannya hasil penerapan daripada hukum-hakam tertentu (secara terpisah-pisah).

Konsep yang disebutkan An-Nabhani ini didasarkan pada pemahamannya terhadap surah Al-Anbiya’ ayat 107, yang mana menurutnya ia dengan jelas menunjukkan bahawa rahmat (maslahat) yang dihasilkan adalah datangnya daripada keseluruhan risalah (hukum-hakam Islam). Tidak ada sebarang dalâlah (petunjuk) daripada ayat-ayat tersebut ataupun ayat-ayat lain (misalnya surah Al-Isra’ ayat 82) bahawa maslahat merupakan tujuan daripada hukum-hakam masing-masing (An-Nabhani, 1953: 359-361).  Oleh itu, An-Nabhani mengatakan, kita akan dapati bahawa ketika Asy-Syâri‘ (Allah) menerangkan tentang maqâsid asy-syarî‘ah daripada syariah itu sebagai keseluruhan, Dia juga menerangkan tentang tujuan hukum-hakam masing-masing pada kebanyakan hukum-hakamNya yang bersifat khusus, yang hanya boleh diketahui melalui topik dalil yang berkaitan. Misalnya tujuan pensyariatan haji adalah agar manusia menyaksikan manfaat-manfaat bagi mereka [TMQ al-Hajj (22): 28], tujuan pengharaman khamr dan judi adalah agar tidak berlaku permusuhan dan kebencian antara manusia [TMQ al-Maidah (5) : 91], tujuan solat adalah mencegah pelakunya daripada perbuatan keji dan mungkar [TMQ al-Ankabut (29): 45] dan lain-lain lagi. Daripada sini adalah jelas bahawa rahmat (maslahat) itu terhasil akibat daripada penerapan syariat itu secara keseluruhan, dan bukannya penerapan syariat itu sebagai satu demi satu hukum yang berasingan. Dengan kata lain, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa tujuan setiap nas syariat (diterapkan) adalah bagi mencapai kemaslahatan kerana terdapat nas-nas syariat yang menjelaskan tujuan (hikmah/akibat)nya secara khusus. Jika kita mengatakan bahawa tujuan setiap hukum (satu-persatu) adalah untuk memperoleh maslahat, maka ini hanyalah hasil kesimpulan yang dibuat melalui dalil aqli (akal) dan bukannya melalui dalil syariat. Padahal, untuk berbicara tentang hukum syariat ia haruslah didasarkan pada dalil syariat, bukannya dalil aqli.

Prinsip ketiga:
Hikmah (akibat) daripada penerapan syariat itu ada kalanya boleh berlaku dan ada kalanya tidak berlaku. Apabila Allah menerangkan bahawa hikmah (tujuan/akibat) pensyariatan sesuatu hukum adalah begini, maka maksudnya Allah ingin memberitahu bahawa hikmahnya begini. Allah tidak mengatakan bahawa tujuannya akan pasti jadi begini. Misalnya, menyaksikan manfaat adalah hikmah daripada ibadah haji [TMQ al-Hajj (22): 28]. Namun secara realitinya, terdapat ramai juga jemaah haji yang tidak menyaksikan manfaat bagi mereka. Mengenai khamr dan judi, Allah menerangkan bahawa kedua-duanya boleh mewujudkan kebencian dan permusuhan antara sesama manusia [TMQ Al-Maidah (5): 91]. Namun secara realitinya, terdapat ramai juga peneguk khamr dan juga para penjudi hidup dengan baik tanpa sebarang permusuhan atau kebencian di antara mereka. Justeru, daripada prinsip yang ketiga ini, ia mengandungi maksud bahawa tujuan-tujuan hukum (yang disebutkan dalam nas-nas) ini tidak boleh dijadikan sebagai ‘illat (sebab). Jika ia dijadikan ‘illat, maka kewajiban haji akan bergantung kepada wujud ataupun tidak manfaat yang diperoleh oleh jamaah haji. Jika ada manfaatnya, maka hukum ibadat haji menjadi wajib, dan jika tak ada manfaatnya maka hukum haji menjadi tidak wajib. Keharaman hukum bagi khamr dan judi juga akan bergantung kepada wujud ataupun tidak permusuhan dan kebencian antara para pengamalnya. Jika ada permusuhan, maka khamr dan judi menjadi haram. Jika hubungan menjadi aman dan harmoni, maka khamr dan judi menjadi halal. Sudah pasti ini semua adalah tidak benar. Atas dasar itu, prinsip ketiga ini menegaskan bahawa maqâshid asy-syarî‘ah (tujuan syariat) sesungguhnya bukanlah ‘illat ataupun motif pensyariatan hukum. Sebaliknya ia adalah hikmah atau hasil (natijah) daripada penerapan hukum (An-Nabhani, 1953: 365).

Prinsip keempat: Hikmah daripada penerapan syariat hanya dapat diketahui berdasarkan nas syariat dan bukannya berdasarkan akal. Ini adalah kerana yang menetapkan syariat adalah Allah SWT sendiri, maka hanya Allah sahaja yang mengetahui apakah tujuan sebenar pensyariatannya. Adalah mustahil bagi kita sebagai makhluk, baik secara aqli (akal) mahupun syar‘î, dapat mengetahui hikmah (tujuan) sebenar sesuatu hukum kecuali jika kita mengetahuinya melalui nas atau dalil sama ada daripada al-Quran ataupun as-Sunnah (An-Nabhani, 1953: 366).

Daripada sini adalah jelas bahawa Najib memutar-mutarkan lidahnya untuk menggambarkan bahawa apa yang dilakukan adalah Islami melalui penggunaan istilah-istilah Islam bagi terus mengelirukan umat Islam. Apakah kita masih mengharapkan Najib untuk menerapkan Islam secara kaffah bagi meraih rahmat yang dijanjikan Allah melalui sistem kufur yang ada?

Sumber: Utusan Malaysia