Alangkah indahnya jika kita sensitif dengan keharaman dalam segala aspek
Ekoran tularnya video berhubung dakwaan sebuah restoran di Subang Jaya yang menggunakan daging babi dalam masakan mi kari, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor telah membuat serbuan ke premis tersebut dan merampas bahan mentah yang digunakan untuk ujian makmal dan keterangan oleh pakar. Kes disiasat di bawah kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan jika disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda seperti di bawah Perintah 5 Perintah Perihal Dagangan 2011.
Penularan isu ini jelas menunjukkan sensitiviti umat Islam di negara ini yang rata-rata sangat teliti dalam memastikan makanan yang diambil itu halal dari segi zatnya. Perkembangan ini merupakan suatu yang baik memandangkan ia merupakan suatu kewajipan bagi setiap individu Muslim yang mukallaf untuk memakan makanan yang halal. Tindakan pantas yang diambil oleh pihak KPDNHEP juga wajar dipuji kerana menunjukkan keprihatinan dan komitmen agensi tersebut dalam hal ini.
Namun dalam masa yang sama, alangkah baiknya sekiranya ketelitian, sensitiviti, dan komitmen dalam mematuhi tuntutan memakan makanan halal ini turut dipraktikkan terhadap tuntutan-tuntutan syarak lainnya.
Syariat Islam merangkumi segenap aspek kehidupan, malangnya tidak semua tuntutannya dilaksanakan dalam masyarakat pada hari ini. Umat Islam, apatah lagi pemerintah tidak sepatutnya hanya sensitif pada makanan – halal atau haram – tetapi wajib sensitif pada semua perkara yang melibatkan hukum syarak yang membawa kesan yang sama yakni halal dan haram.
Umat Islam, apatah lagi pemerintah perlu sensitif pada keharaman riba atau rasuah, judi, arak serta kemaksiatan-kemaksiatan lainnya, dan termasuklah kepada aspek kenegaraan seperti memerintah dengan hukum Islam. Haram bagi kerajaan untuk menerapkan sistem dan undang-undang kufur atau buatan manusia, manakala umat Islam pula haram berdiam diri dengan sistem dan undang-undang kufur yang diterapkan ke atas kita sekarang. Kita semua perlu sensitif dalam hal ini.
Wallahu a’lam.