Hukumlah jika disabitkan terlibat dengan LTTE, namun bukan dengan akta drakonian seperti SOSMA

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan telah menahan tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mewakili DAP di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada Khamis lalu. Penahanan tersebut dibuat atas dakwaan terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang dilabelkan sebagai kumpulan pengganas di Sri Lanka.

Tindakan tersebut mencetuskan bantahan daripada sekumpulan pemimpin berbangsa India dalam komponen Pakatan Harapan daripada dua buah parti iaitu DAP dan PKR. Dalam sebuah kenyataan bersama, mereka menyatakan ‘bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya sesetengah pihak dalam masyarakat Tamil bersimpati dan bimbang dengan keadaan warga Tamil di Sri Lanka’.

Benar, kita memang sewajarnya menolak sebarang bentuk kezaliman dan penindasan terhadap mana-mana kelompok, bangsa, dan etnik termasuklah terhadap masyarakat Tamil. Namun, perlu diketahui bahawa LTTE merupakan kumpulan bersenjata yang mempunyai rekod jenayah termasuklah usaha penghapusan etnik, pengeboman, pembunuhan beramai-ramai, dan rompakan bersenjata. LTTE turut mensasarkan orang awam demi mencapai matlamat dan agenda mereka. Perlu dijelaskan bahawa bukan masyarakat Tamil sahaja yang ditindas dan dizalimi, bahkan komuniti Muslim di sana turut menjadi sasaran dan mangsa dalam konflik yang melanda negara tersebut.

Oleh demikian, perlu dibezakan antara rasa simpati terhadap masyarakat Tamil di Sri Lanka dengan sokongan terhadap LTTE, meskipun LTTE ditubuhkan demi membela nasib masyarakat Tamil di Sri Lanka. Hal ini kerana LTTE turut bertanggungjawab atas kekejaman dan kezaliman berdekad-dekad lamanya. Justeru, perlu disiasat apakah individu-individu yang ditahan ini menyokong aspirasi LTTE dan mengenang perjuangan bersenjata kumpulan tersebut atau mereka sekadar menyatakan keprihatinan mereka terhadap nasib masyarakat Tamil di Sri Lanka seperti yang didakwa. Setakat ini pihak PDRM mendakwa terdapat beberapa bukti yang didakwa menunjukkan keterlibatan mereka yang ditahan dengan kumpulan LTTE. Namun, mereka masih belum terbukti dan disabitkan bersalah atas tuduhan-tuduhan tersebut.

Penahanan mereka di bawah SOSMA merupakan suatu bentuk perlanggaran dari segi hak dan ketidakadilan buat mereka, kerana mereka belum terbukti dan disabitkan bersalah atas dakwaan menyokong dan terlibat dengan LTTE. Hal ini bertentangan dengan prinsip keadilan Islam berasaskan kaedah syarak yang muktabar iaitu al-aslu bara’atu zimmah (tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah). Penahanan di bawah SOSMA menyebabkan seseorang itu dihukum sebelum bersalah.

SOSMA pernah digunakan bagi menahan Siti Noor Aishah, bekas pelajar sarjana Usuluddin di Universiti Malaya atas dakwaan memiliki buku yang didakwa dikaitkan dengan kumpulan pengganas. Sedangkan beliau mendakwa menggunakan buku-buku tersebut untuk penyelidikan ijazah sarjananya. Dalam hal ini, kita tidak sewajarnya bersikap ‘double standard’ dengan menyetujui penggunaan akta drakonian seperti SOSMA hanya kerana kita membenci atau tidak bersetuju dengan pihak yang ditahan tersebut. Segala bentuk kezaliman termasuklah undang-undang zalim seperti SOSMA, POCA, POTA dan sebagainya wajib ditolak kerana bertentangan dengan syariat Islam.