Bangga Dengan Keunikan Sambutan Merdeka Ke-53 Namun Pemikiran Masih Dijajah!

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 janji keunikan
 
altKUALA LUMPUR 29 Ogos – Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini menjanjikan persembahan unik berbanding tahun-tahun sebelumnya menerusi penggunaan formasi cahaya serta imej yang menggambarkan semangat 1Malaysia.  Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, walaupun sambutan kali ini diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, namun semua persembahan berupaya menerapkan pengertian dan mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat.  Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kemerdekaan Ke-53 memberitahu, antara mesej berkenaan berkaitan pengertian 1Malaysia serta perkara-perkara yang perlu difahami rakyat seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta Pelan Transformasi Kerajaan.  ”Kira-kira 15,000 rakyat dijangka membanjiri stadium bagi menyaksikan persembahan sempena Hari Kemerdekaan yang banyak melibatkan generasi muda dan pasukan keselamatan.  “Persembahan selama dua jam bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 9.30 pagi itu berkemampuan menjelmakan mesej 1Malaysia dengan pengisian yang lebih tepat,” katanya. 

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan raptai penuh upacara sambutan itu di stadium berkenaan di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.   Rais berharap rasa penyatuan dan kegembiraan menyambut kemerdekaan dapat dikongsi bersama di kalangan rakyat Malaysia menerusi persembahan yang ditonjolkan.  Berdasarkan raptai itu, beliau amat berpuas hati dengan segala usaha yang dilakukan jawatankuasa tersebut selain persembahan yang ditunjukkan para peserta.  “Saya tidak dapat nyatakan sama ada ia akan menjadi sambutan yang terbaik atau tidak, tetapi sambutan ini kena pada tempatnya dan sesuai dengan masa kita menyambutnya iaitu pada bulan Ramadan. “Mungkin ada kekangan dari segi perbelanjaan serta tiada perarakan seperti di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, namun ia tetap ada keunikan tersendiri dan jika mendapat reaksi positif, tidak mustahil kita akan menganjurkannya di stadium yang lebih besar pada masa akan datang,” ujarnya.  Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyeru rakyat negara ini agar terus mengibarkan Jalur Gemilang sesudah sambutan kemerdekaan berakhir.  “Selepas 31 Ogos terus kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara kerana kita bakal menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 30/08/2010

Bangga Dengan Keunikan Sambutan Merdeka Ke-53 Namun Pemikiran Masih Dijajah!

Apalah yang ingin dibanggakan dengan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini jika hanya sekadar menjanjikan keunikan dalam persembahan berbanding tahun-tahun sebelumnya, sedangkan faktanya, umat Islam di Malaysia terutama para pemimpinnya masih lagi dijajah oleh pemikiran sekular peninggalan British. Hakikat yang tidak boleh ditutup dengan kain selebar bumi mahupun seluas langit adalah bahawa sistem pemerintahan dan kehidupan kita hari ini adalah merupakan sistem yang utuh menerapkan dan melaksanakan perlembagaan kufur pemberian Suruhanjaya Lord Reid.

Namun apa yang menyedihkan kita pada hari ini ialah, seperti tahun-tahun yang sebelumnya para pemimpin sekular negara akan terus memalu gendang dan canang mereka dengan mewarwarkan kehebatan dan kemajuan yang dicapai oleh Malaysia setelah merdeka dengan pelbagai tema namun hakikatnya Malaysia, seperti juga negeri-negeri umat Islam yang lain masih terus dibelenggu dengan kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang mengikuti acuan yang ditinggalkan oleh penjajah yang pernah menjajah mereka. Inilah hakikat sebenarnya “kemerdekaan” yang dibangga-banggakan oleh para pemimpin yang berkuasa saat ini.  Tidakkah terlintas di dalam pemikiran mereka bahawa selama 53 tahun “kemerdekaan” dilaungkan, hakikat ‘merdeka’ hanyalah  agaikan fatamorgana di tengah-tengah padang pasir yang panas.  Kita ‘merdeka’ di bawah belenggu penjajahan!! Sesungguhnya, kemerdekaan yang hakiki adalah apabila manusia itu menjadi hamba Allah yang sejati – hambaNya yang tunduk dan patuh kepada seluruh sistem dan peraturan yang diturunkan oleh Penciptanya, Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.