Amalan Jahiliyyah Lahir Dari Sistem Jahiliyyah

INGATAN KEPADA PENZINA BUANG, BUNUH BAYI

IPOH 31 Mac – Perbuatan membuang dan membunuh bayi yang semakin menjadi-jadi sekarang adalah lebih teruk dan kejam daripada perbuatan membunuh bayi perempuan yang dilakukan di zaman jahiliah.  Penasihat Khas Agama kepada Menteri Besar Perak, Kapten (B) Datuk Mohd. Najmuddin Elias berkata, ini kerana masyarakat sekarang sudah mempunyai fahaman agama serta ilmu pengetahuan, tidak seperti masyarakat jahiliah yang mempercayai anak perempuan membawa sial kepada keluarga.  Menurutnya, kejadian pembuangan bayi sekarang juga dilakukan tanpa mengira jantina anak kecil itu.  “Bertimpa-timpa dosanya kerana barangkali mereka yang membuang bayi itu pernah melakukan zina yang merupakan dosa besar dan kemudian membuang serta membunuh bayi juga satu lagi dosa besar.  ”Mereka mungkin boleh terlepas hukuman dunia tetapi tidak boleh lari daripada hukuman akhirat dan mereka juga akan dibayangi pembalasan Allah atas apa yang mereka buat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.  Beliau mengulas mengenai kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi di seluruh negara sejak kebelakangan ini. 

Terbaru, mayat seorang bayi ditemui tersangkut pada pukat nelayan di Sungai Pasir di Kuantan, Pahang semalam dan pada hari sama, seorang wanita membuat laporan polis selepas seorang ibu tidak mengambil semula anak yang ditinggalkannya sejak seminggu lalu.  Pada Sabtu lalu pula, seorang bayi perempuan dijumpai dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di sini dan beberapa hari selepas itu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dengan tangannya terputus digonggong seekor anjing di sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, Selangor. Mohd. Najmuddin seterusnya memuji usaha Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin kerana ia membuka ruang kepada masyarakat untuk melibatkan diri membantu membendung masalah tersebut.  ”Bagi saya, usaha menangani masalah ini bukan terletak kepada pihak berkuasa semata-mata tetapi perlu melibatkan semua masyarakat tanpa mengira kaum dan usia.  ”Ini kerana perkara itu berlaku dalam masyarakat dan mereka yang mempunyai maklumat perlu melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 01/04/2010

Amalan Jahiliyyah Lahir Dari Sistem Jahiliyyah.

Nampaknya gejala pembuangan bayi terus menjadi isu  hangat dan telah menarik ramai pihak untuk memberikan respons mereka terhadap perkara di atas. Bukan sahaja mereka-mereka yang sedang memegang jawatan di dalam jabatan pemerintah, malahan individu yang rapat kepada pemerintah juga tidak melepaskan peluang untuk memberikan ulasan mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Penasihat Khas Agama kepada Menteri Besar Perak, Kapten (B) Datuk Mohd. Najmuddin Elias. Malangnya kenyataan beliau itu hanya menyentuh sebahagian daripada isu yang berlaku dan tidak sampai ke akar umbinya . Ya, amalan membuang bayi ini menyerupai amalan kuno masyarakat jahiliyyah sejak dahulu lagi dan kini amalan tersebut dilakukan oleh individu-individu yang tidak bermoral di zaman moden yang kehidupan mereka “bebas” dari hukum syara’. Inilah hasil yang dapat kita lihat pada hari ini apabila sistem kehidupan Islam itu tidak diterapkan di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Malangnya Penasihat Khas Agama  kepada Menteri Besar Perak itu hanya menyentuh persoalan nilai-nilai dan fahaman jahiliyyah apabila merujuk kepada amalan membuang bayi itu tetapi pada masa yang sama beliau membutakan matanya kepada sistem pemerintahan ciptaan manusia yang diterapkan oleh kerajaan sekular yang ada pada hari ini termasuklah pemerintahan yang beliau dokong dan sokong hari ini, yang pada hakikatnya tidak terlepas dari amalan jahiliyyah kerana pemerintah yang ada hari ini dengan terang dan jelas tidak menerapkan Islam sebaliknya mereka menerapkan sistem kufur jahiliyyah yang ditinggalkan oleh penjajah. Firman Allah SWT:

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin”?
[TMQ al-Mai’dah (5) : 50].

Wahai Najmuddin! Sudah sampai saatnya kamu juga perlu menegur dan mengingatkan pemerintah sekular yang ada pada hari ini agar mereka meninggalkan sistem pemerintahan jahiliyyah dan kembali menerapkan Islam di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Wahai Najmuddin!  Janganlah kamu hanya melihat perbuatan membuang bayi itu sebagai amalan jahiliyyah tetapi dalam masa yang sama kamu menutup mata dan hati kamu daripada membongkar sistem jahiliyyah yang diterapkan oleh pemerinatah sekular yang ada pada hari ini. Firman Allah SWT:

 “Belumkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Mad-yan, dan (penduduk) negeri-negeri yang telah musnah? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata; maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.[TMQ at-Taubah (9) : 70 -71].