Amalan khurafat: Di mana jabatan agama dan pemerintah?

Gambar BL 240316Dalam sebuah negara yang diselubungi kehidupan sekular, akidah masyarakat sangat terdedah kepada bahaya kegelinciran. Ini kerana, banyak unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah berada di sekeliling kita yang tanpa keimanan yang kukuh, seseorang itu boleh ikut terjerumus dengan mudah, apatah lagi apabila hal-hal sedemikian tidak diambil tindakan yang serius oleh pihak pemerintah.

Selain pelbagai ajaran yang bertentangan dengan Islam yang tumbuh subur dalam negara sekular, kepercayaan kepada benda-benda khurafat dan tahayul juga tidak kurang menjadi amalan masyarakat. Terbaru, agak heboh di media sosial tentang video amalan khurafat oleh seorang bomoh yang berstatus “Datuk” yang melakukan aktiviti membaca mantera dan memecahkan tembikai, kononnya untuk memulihkan cuaca panas yang sedang melanda negara.

Tatkala Islam mengajarkan umatnya agar beriman dengan menggunakan pemikiran yang rasional dan benar, iaitu menggunakan dalil-dalil aqli dan naqli, masih ada amalan khurafat yang bukan sahaja menyalahi akal yang rasional, tetapi menyalahi akidah Islam, yang diamalkan oleh orang yang mengaku Islam. Umum mengetahui bahawa ritual seperti ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh orang yang sama, tetapi sudah beberapa kali dilakukan oleh individu terbabit walaupun telah diisytiharkan sesat dan haram oleh banyak pihak.

Dalam upacara khurafat kali ini, si bomoh tersebut dilihat membaca surah Yasin dengan bacaan yang tidak berapa betul, sebelum memecahkan beberapa biji tembikai bersama pengikutnya bagi memulihkan cuaca panas.

Apa yang menjadi persoalan di sini adalah ketidaktegasan pihak jabatan agama mahupun pemerintah dalam menangani isu-isu sebegini. Bagaimana si pengamal ajaran karut marut ini boleh terus dibiarkan tanpa dihukum dan tanpa dipulihkan akidahnya? Adakah status “Datuk” yang dimilikinya menjadikannya kebal dari undang-undang ciptaan manusia atau dia mempunyai ‘kabel besar’ dalam meneruskan kerja-kerja mungkarnya ini?

Dengan bukti yang jelas terpampang, di manakah jabatan agama untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan mungkar ini? Di manakah pemerintah dalam menjaga akidah rakyatnya? Atau jabatan agama hanya berminat memburu gerakan Islam yang berusaha menerapkan Islam secara kaffah yang tidak disukai oleh pemerintah yang menjadi tuannya?

Pernah terjadi di zaman Rasulullah SAW gerhana matahari semasa kematian anak lelaki Rasulullah SAW iaitu Ibrahim. Ada dalam kalangan sahabat yang berpendapat bahawa kejadian gerhana itu disebabkan kematian anak baginda SAW. Mendengar hal itu, Rasulullah SAW terus menegur sahabat berkenaan dengan mengatakan bahawa kejadian gerhana itu adalah semata-mata kerana tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Di sini jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW tegas dalam membetulkan kefahaman yang salah. Baginda SAW tidak membiarkan umat Islam dalam kejahilan dan kesesatan.

Sesungguhnya keadaan cuaca panas mahupun cuaca sejuk atau gerhana atau banjir besar atau tsunami atau kemarau atau apa sahaja, semuanya itu menunjukkan kekuasaan Allah SWT, di samping menjadi ujian bagi manusia agar sentiasa beriman, bersyukur dan memohon perlindungan kepadaNya kerana manusia merupakan makhluk yang sangat lemah. Jadi, kejadian cuaca yang berubah-ubah ini, seperti juga kejadian malam dan siang, bukanlah dijadikanNya untuk manusia memecahkan tembikai agar Dia merubahnya, tetapi untuk manusia menguatkan lagi keimanan kepadaNya apabila melihat sebahagian daripada tanda-tanda kebesaranNya.

Walaupun terlepas dari sebarang tindakan, kerana negara sekular biasanya tidak akan menghukum orang yang juga berfahaman sekular atau melakukan sesuatu yang tidak menggugat kerajaan, semoga si bomoh berkenaan sedar akan kesilapannya dan kembali ke jalan yang benar.