Ambil alih Gaza: Trump can go to hell
KUALA LUMPUR 28 Feb – Berikutan keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang ingin mengambil alih Gaza dan “mengusir” penduduknya ke Mesir dan Jordan, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan perhimpunan dan penyerahan memorandum di Kedutaan Amerika bagi mengutuk keputusan sombong dan biadap itu.
Sekitar 200 orang peserta berarak dari Bangunan Tabung Haji menuju ke kedutaan negara penjajah tersebut usai solat Jumaat dengan laungan takbir yang diselang-seli dengan jeritan semangat.
Delegasi HTM yang diketuai oleh Jurucakapnya, Ust Abdul Hakim Othman gagal menyerahkan memorandum berkenaan kerana pihak kedutaan tidak mahu menerimanya, malah pintu kedutaan ditutup rapat. Bagaimanapun memorandum tersebut tetap diletakkan di ruangan kaunter yang terdapat di pintu masuk kedutaan.
Dalam ucapannya setelah penyerahan memorandum berkenaan, Ust Hakim mengutuk tindakan Trump dan menyifatkan Trump sebagai Firaun moden. Jurucakap HTM itu juga menyampaikan mesej bahawa Trump can go to hell dengan perancangannya itu, selaras dengan mesej yang tertera pada banner gergasi dalam perhimpunan kali ini.
Selain Jurucakap HTM, ucapan turut diberikan oleh Prof. Dr. Muhammad Abu al-Ain, yang membacakan ringkasan kandungan memorandum yang mengutuk kesombongan dan kebiadaban Trump.
Di akhir ucapannya, Ust Hakim menegaskan bahawa Trump boleh melakukan semua kejahatannya bukanlah kerana kekuatan Amerika, tetapi kerana kebaculan dan pengkhianatan penguasa umat Islam ke atas Gaza. Para penguasa ini sepatutnya menggerakkan tentera untuk menyelamatkan Gaza dan keseluruhan Tanah Palestin Yang Diberkati, tetapi mereka memilih untuk tunduk kepada Amerika.
“Atas dasar itu, kami menyeru dan mengajak seluruh umat Islam untuk mendukung, malah bergabung dengan Hizbut Tahrir bagi menegakkan Khilafah yang akan menjadi buku dengan ruas terhadap Amerika, yang insya Allah apabila ia berdiri sedikit masa lagi, entiti Yahudi dan Amerika akan dikalahkan, dan seterusnya Tanah Palestin Yang Diberkati akan kembali ke pangkuan umat Islam”, tegas Jurucakap HTM dengan lantang sebagai penutup kepada ucapannya.
Perhimpunan berlangsung kira-kira sejam dan berakhir dengan aman dengan bantuan dan kerjasama sepenuhnya daripada pasukan PDRM.