Anak Terabai di Rumah, Salah Ibukah?

Oleh: Syamsiyah Jamil

Akta Kanak Kanak 2001 adalah satu undang-undang di Malaysia yang berkaitan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak. Seksyen 31 (1)(a). Akta tersebut memperuntukkan bahawa tindakan menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau  emosi, merupakan satu kesalahan.

Kewujudan undang-undang ini menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia berusaha untuk memastikan siapa sahaja yang mengabaikan seorang kanak-kanak pasti akan dihukum samada ibu bapanya sendiri atau penjaganya. Kanak-kanak yang tidak mampu menjaga diri sendiri mempunyai hak untuk dijaga, diawasi dan diasuh oleh orang dewasa sama ada dari segi fizikal, jiwa dan akal. Ibu bapa tidak sepatutnya lalai kerana anak juga adalah amanah dari Allah SWT.

Persoalannya, wajarkah kesalahan itu diletakkan sepenuhnya di atas bahu ibu bapa terutamanya si ibu? Adakah seorang ibu yang telah penat mengandung dan bertarung nyawa melahirkan sanggup mengabaikan anaknya? Sudah tentu tidak. Jadi, apakah punca kepada masalah ini?

Realitinya, ada ibu bapa yang terpaksa meninggalkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan kerana tuntutan kerja. Kehidupan dalam sistem kapitalisme hari ini sangat mendesak kedua ibu bapa untuk keluar bekerja. Dengan kos sara hidup dan harga barang keperluan asas yang semakin meningkat, pendapatan seorang suami/ayah tidak cukup untuk memenuhi keperluan seluruh ahli keluarga. Dengan pendapatan kedua dua ibu bapa pun, ada yang tidak mampu membayar upah penjaga atau pengasuh anak.

Kapitalisme telah menarik si ibu keluar dari rumahnya untuk membanting tulang demi memenuhi keperluan hidup. Golongan ibu ini pula diracun dengan pemikiran bahawa wanita bekerjaya telah berjaya mengangkat martabat mereka sebagai penyumbang kepada produktiviti negara dan berjaya menyamaratakan hak lelaki dan wanita.

Begitulah zalimnya sistem kapitalisme yang telah meragut peranan seorang ibu yang berkewajipan menjaga dan mengasuh anaknya di rumah. Padahal kewajipan itu telah diamanahkan oleh Allah SWT kepadanya sekaligus dengan kemuliaan yang tiada tandingan. Nabi SAW bersabda, “Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas kepimpinannya” [HR Bukhari].

Sistem kapitalisme yang menjerat kehidupan ini sepatutnya diganti dengan sistem Khilafah yang akan menerapkan hukum Islam secara kaffah. Khilafah akan menjamin pemenuhan keperluan asas setiap warganegaranya sehingga tiada seorang pun ibu yang terpaksa keluar bekerja dan mengabaikan anaknya. Sudah masanya kita kembalikan sistem Khilafah agar generasi umat Islam hidup dengan sejahtera, selamat dan aman.