Analisis tentang Keganasan Terbaru Negara Haram Zionis ‘Israel’
Keganasan terbaru yang dilakukan oleh tentera ‘Israel’ terhadap penduduk awam di Gaza telah mengakibatkan ramai yang mengalami kecederaan sementara angka kematian pula terus meningkat. Namun, ia langsung tidak menggentarkan penduduk Gaza yang keluar memprotes sambil memperingati ulang tahun ke-70 peristiwa Nakba, iaitu peristiwa pembentukan negara haram ‘Israel’ setelah wilayah Palestin dibahagi kepada dua wilayah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948. Malapetaka tersebut telah menyebabkan lebih kurang 700,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan wilayah mereka yang diserahkan kepada ‘Israel’ oleh PBB.
Kini, nasib yang melanda umat Islam di Palestin umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf kota Baitul Maqdis sebagai ibu kota ‘Israel’ dengan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke kota suci umat Islam yang ketiga itu, ‘Israel’ semakin berani menguatkan kedudukannya di Timur Tengah. Tindakan ‘Israel’ sebelum ini hanya menangkap penduduk Palestin yang membuat bantahan, namun kini mereka sudah mula meningkatkan kekejaman dengan melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup ke arah rakyat Palestin yang menunjuk perasaan.
Para penguasa Arab terus menunjukan sikap yang memihak kepada AS sehingga langsung tidak bersuara terhadap kezaliman yang telah dilakukan oleh ‘Israel’. Penguasa Mesir masih menutup pintu sempadan di Rafah yang merupakan pintu masuk ke Gaza melalui Mesir. Putera Mahkota Arab Saudi Muhammad Salman melalui lawatan beliau ke AS menyatakan bahawa penduduk Yahudi memang layak mempunyai negara mereka sendiri. Di Arab Saudi sendiri, seorang aktivis wanita telah ditangkap oleh polis kerana mempersoalkan hubungan di antara Arab Saudi dengan ‘Israel’. Rakyat Arab Saudi langsung tidak diberi sebarang ruang untuk mempertikaikan hubungan Arab Saudi dengan AS atau dengan ‘Israel’. Kehadiran pangkalan ketenteraan AS di negara mereka sendiri juga tidak boleh dipertikaikan.
Sementara itu, AS dan ‘Israel’ sebenarnya cuba memainkan propaganda terhadap Iran yang bertujuan untuk menjadikan Iran sebagai negara paling berbahaya di Timur Tengah dan bukannya ‘Israel’ yang merupakan salah satu negara kuasa nuklear dan penjajah wilayah umat Islam Palestin.
Hal ini dikuatkan lagi dengan fakta bahawa Iran memiliki proksi-proksi yang kuat seperti Hezbollah di Lebanon, militia Houthi di Yaman, dan memberikan bantuan secara langsung kepada rejim Assad laknatullah. Tidak ketinggalan juga kerajaan Iraq yang merupakan sekutu kuat Iran di rantau Timur Tengah.
Keganasan ‘Israel’ yang semakin menjadi-jadi juga disebabkan mereka tidak lagi perlu khuatir dengan kekuatan nuklear Iran. Hal ini disebabkan penarikan diri AS daripada rundingan nuklear Iran yang akan menyaksikan Iran terus dikenakan sekatan ekonomi.
Perkembangan terbaru pula menyaksikan pengaruh Iran semakin meluas di Timur Tengah. Inilah yang menyebabkan AS dan ‘Israel’ merencanakan propaganda agar negara-negara Arab melihat Iran sebagai ancaman utama kepada mereka yang boleh mencetuskan konflik dan kekacauan dan bukannya ‘Israel’. Tujuan perancangan ini adalah untuk menjadikan ‘Israel’ terus berkekalan menguasai wilayah Baitul Maqdis. ‘Israel’ amat berharap rencana ini berjaya kerana ia menyedari bahawa sokongan AS tidak akan mungkin kekal selama-lamanya, terutamanya dengan kemunculan gerakan pemikiran di negara AS sendiri yang mempertikaikan sokongan AS kepada ‘Israel’.
Oleh itu, suatu perkara yang sangat penting untuk menjadikan Iran sebagai ancaman berbahaya yang boleh mencetuskan konflik lebih dahsyat di rantau tersebut sehingga akhirnya ‘Israel’ dapat membina sekutu dengan negara-negara Arab. Persepakatan keji itu dilihat hampir menjadi kenyataan apabila Menteri Luar Arab Saudi menyatakan bahawa sekiranya Iran membangunkan senjata nuklear, Arab Saudi juga akan melakukan hal yang sama.
Dr Wan Jeffrey
Ketua Lajnah Siyasiyah Hizbut Tahrir Malaysia