Ancaman IS, sejauh mana Malaysia di ambang bahaya?

kpn-isisSerangan bom di Jakarta sungguh mengejutkan Malaysia selaku jiran rapat. Susulan pengeboman di ibu negara Indonesia itu yang dikatakan didalangi oleh kumpulan bersenjata Islamic State (IS), di Kuala Lumpur pula PDRM telah menangkap seorang suspek IS berusia 28 tahun yang berasal dari Terengganu, di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa dan beberapa barangan yang berkaitan turut dirampas.

Tangkapan tersebut menggenapkan empat orang rakyat Malaysia yang dipercayai menganggotai kumpulan IS yang telah ditahan sejak Isnin lalu, termasuk seorang daripadanya dilaporkan merancang serangan berani mati di negara ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Tiga suspek termasuk sepasang suami isteri yang berasal dari Terengganu dan Perak berusia antara 23 dan 28 tahun, ditahan di Gaziantep, Turki, 15 November lalu oleh pihak berkuasa negara itu kerana cuba menyusup masuk ke Syria untuk menyertai IS, seterusnya dihantar pulang ke negara ini dan ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Apa yang memelikkan dengan segala berita ialah tentang perancangan mereka yang dipercayai ingin melakukan serangan tersebut, mesti disasarkan di tempat awam. Jika benar maklumat risikan polis begitu hebat sehingga polis dapat mengesan setiap perbualan dan perancangan yang ingin dilakukan suspek di tempat awam tersebut, persoalannya, apakah objektif yang ingin dicapai oleh suspek ini dengan mensasarkan serangan atau letupan di tempat awam?

Jika niat mereka adalah untuk menimbulkan hura-hara atau ketakutan awam, ya mungkin sahaja ia akan tercapai. Tetapi jika niat mereka sekadar untuk membalas dendam terhadap rakan-rakan mereka yang telah ditangkap lebih awal, maka, selain tidak akan tercapai hajat, mereka pula yang akan menjadi mangsa tangkapan, yang dengan kata lain, tidak ada apa-apa hasil yang dapat mereka raih. Adakah dengan membunuh orang awam dan merosakkan harta benda awam dapat menjadikan dendam terbalas? Siapakah yang mereka dendamkan sebenarnya, sehingga mereka mensasarkan orang awam sebagai mangsa?

Namun, jika objektif mereka ialah untuk melebarkan pengaruh atau sayap mereka di sini, atau ingin melemahkan atau menumbangkan kerajaan, atau untuk menubuhkan negara Khilafah mereka dengan cara yang tidak syarie di negeri ini sebagaimana mereka tubuhkan di kawasan Syria-Iraq, maka tidak ada akal yang sihat yang dapat menerima hakikat tersebut. Ini kerana, sebesar mana pun serangan yang berjaya mereka lakukan di tempat awam, selain haram di sisi Islam dan bukan jalan untuk menegakkan agama Allah, secara fizikalnya ia tidak akan mencapai objektif tersebut. Apakah logiknya serangan di tempat awam dapat menjatuhkan sesebuah kerajaan dan dapat menegakkan kerajaan baru?

Kuat manakah beberapa orang individu untuk melakukan serangan di Malaysia untuk mencapai objektif mereka yang begitu besar, walaupun kita tidak nafikan serangan boleh dilakukan, tetapi untuk mencapai objektif, jauh sekali. Bolehkah serangan berani mati atau letupan di tempat awam yang dikatakan dirancang itu, melumpuhkan kekuatan polis Malaysia yang berjumlah lebih 110,000? Itu belum masuk lagi bilangan tentera yang berjumlah lebih 150,000 yang akan mempertahankan Malaysia dengan segala kelengkapan dan peralatan perang yang ada. Lihatlah realiti serangan-serangan awam yang telah berlaku di seluruh dunia, apakah objektif mereka tercapai?

Jadi, sekiranya semua maklumat adalah benar, kita merasa sungguh aneh dengan objektif pelaku/kumpulan ini, walau apa pun objektifnya, sebagaimana kita juga merasa aneh dengan laporan berita yang menggambarkan seolah-olah negara ini berada di ambang bahaya dengan penangkapan beberapa orang suspek tersebut, walhal realitinya tidaklah sebegitu.

Mungkin atas dasar itu, sejurus selepas letupan, rakyat Indonesia terus melancarkan kempen ‘Kami Tidak Takut’ di media sosial yang menunjukkan mereka tidak merasa gentar atau tergugat dengan apa jua serangan di tempat awam. Malah, jika dilihat realiti letupan terbaru yang berlaku di Jakarta, pihak polis yang justeru kelihatan “takut” dan berselindung di sebalik kenderaan, manakala orang ramai berdiri dengan penuh bersahaja, siap mengambil gambar dan memerhatikan apa yang berlaku dengan penuh berani.

Kita tidak nafikan bahawa nyawa dan keselamatan setiap individu rakyat adalah penting dan pemerintah, polis/tentera wajib menjaganya, sebagaimana mereka wajib menjaga ketenteraman awam. Tetapi dalam masa yang sama kita juga tidak mahu maklumat atau berita-berita yang disajikan yang lebih kuah dari nasi, sehingga meletakkan seolah-olah negara ini di ambang perang. Kita juga tidak mahu berita seumpama ini menjadi pengalih kepada perhatian rakyat dari kerosakan negara yang disebabkan oleh pemerintah melalui pelbagai skandal, rasuah, penyelewengan, pembaziran dan lain-lain yang mereka lakukan.

Justeru, dengan maklumat sepihak yang kita dengar dan dengan segala agenda tersembunyi dari pihak-pihak yang berkepentingan, kita khuatir sebenarnya segala maklumat yang didedahkan itu, malah jika ia benar-benar berlaku sekalipun, ia tidak lebih dari skrip yang sama yang diulang-ulang di seluruh dunia dalam rangka menjaga status quo pemerintah dan sistem yang rosak ini serta mengekang kebangkitan Islam yang sebenar yang menjadi ketakutan Barat dan musuh-musuh Islam.

Wallahu a’lam.

Sumber berita: www.bharian.com.my